Pelanggan Perlu Waspada Dengan Penipu Dalam Talian, Aplikasi & Laman Web Palsu – Maybank

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Malayan Banking Bhd (Maybank) mengingatkan pelanggan supaya sentiasa berwaspada dengan penipu dalam talian yang terus mencari cara baharu untuk menipu pengguna yang kurang curiga, terutama dengan peningkatan aktiviti e-dagang yang didorong pandemik COVID-19.

Dalam kenyataan pada Khamis, Maybank menjelaskan memandangkan lebih ramai pengguna kini memilih untuk berurus niaga dalam talian, penipu mencari peluang untuk memperdaya pengguna dengan menggunakan taktik baharu dan canggih.

Selain membangunkan laman web atau aplikasi perbankan palsu untuk memikat atau menarik perhatian pelanggan, penipu kini memasukkan komponen hasad (malware) dalam aplikasi penguatkuasaan undang-undang palsu dan laman web atau aplikasi e-dagang runcit palsu untuk mendapat akses kepada maklumat perbankan dalam talian pelanggan seperti nama pengguna dan kata laluan, tambahnya.

“Penipuan biasa yang selalunya menjerat mangsa bermula apabila pelanggan menemui tawaran atau iklan murah yang luar biasa di laman web media sosial,” jelasnya.

Menurut Maybank, beberapa panduan berguna boleh diikuti pelanggan untuk melindungi diri apabila menggunakan platform dalam talian termasuk mengelakkan memasang/memuat turun fail aplikasi/APK atau klik pada pautan mencurigakan yang dihantar melalui kemudahan sembang seperti sistem pesanan ringkas (SMS), WhatsApp, Messenger atau perkhidmatan lain yang serupa.

“Selain itu, jangan berikan kebenaran untuk mana-mana aplikasi menghantar atau melihat SMS anda. Jangan abaikan sebarang amaran daripada peranti anda, terutama semasa memuat turun atau memasang fail baharu.

“Jangan masukkan butiran perbankan anda, terutama nama pengguna atau kata laluan, dalam mana-mana aplikasi atau laman web yang mencurigakan,” tambahnya.

Maybank menjelaskan, pihaknya terus berkongsi kandungan bermaklumat di laman web Maybank2u serta di Facebook dan Instagram, dalam usaha mengingatkan dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelanggan mengenai bahaya penipuan hasad.

Pelanggan harus sentiasa memberi perhatian kepada peringatan ini supaya mereka terus mengetahui kaedah penipuan terkini demi melindungi diri mereka.

“Bank juga ingin mengesahkan bahawa keselamatan dana dan transaksi perbankan dalam talian pelanggan diutamakan pada setiap masa.

“Platform dan aplikasi perbankan dalam talian Maybank adalah selamat dan menggunakan kawalan keselamatan yang kukuh untuk memerangi ancaman siber,” jelasnya.

Bagaimanapun, pelanggan diingatkan untuk melaksanakan peranan bagi melindungi diri mereka secara berterusan dengan memastikan butiran perbankan dalam talian disimpan selamat dan tidak dikongsi dengan pihak ketiga, sama ada secara sedar atau tidak semasa percubaan ‘memancing data’ atau hasad.

Pelanggan boleh menghubungi talian hotline penipuan Maybank di +603-58914744 dengan segera jika mengesyaki butiran perbankan mereka telah terjejas, dan ia adalah perkhidmatan talian hotline 24 jam tujuh hari seminggu, agar bank dapat membantu pelanggan mencegah kerugian lanjut dengan segera.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/pelanggan-perlu-waspada-dengan-penipu-dalam-talian-aplikasi-laman-web-palsu-maybank/

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.