Perodua Akan Manfaatkan Pertumbuhan Dicapai, Kembangkan Kapasiti Pada 2023

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan memberi tumpuan kepada memanfaatkan pertumbuhan yang dicapai setakat ini dan mengembangkan lagi kapasitinya pada 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata dalam merealisasikannya, pengeluar kereta itu berharap harga bahan mentah dan bahan api kekal terurus.

“Pada masa sama, kami turut berharap pertukaran mata wang asing dan kadar faedah akan lebih menggalakkan pertumbuhan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata jika faktor-faktor ini kekal pada paras yang wajar, Perodua akan mengekalkan harga kenderaannya.

“Buat masa ini, keutamaan kami ialah menghantar kenderaan Perodua kepada mereka yang menempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan kerana harga kenderaan ini akan kekal seperti yang dipersetujui sehingga tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya.

Pengeluaran syarikat meningkat 49.5 peratus kepada 289,054 unit pada 2022 berbanding 193,400 unit pada 2021 manakala jualan menyaksikan peningkatan sebanyak 48.2 peratus kepada 282,019 unit berbanding 190,291 kenderaan yang didaftarkan pada 2021.

Selepas jualan pula menyaksikan jumlah pengambilan meningkat kepada 2.6 juta, iaitu kenaikan sebanyak 30 peratus daripada 2.0 juta pengambilan servis pada 2021.

Zainal Abidin berkata Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu dalam produk dan perkhidmatannya pada masa depan serta melabur dalam inovasi teknologi bagi operasinya.

“Selain itu, kami juga akan menggalakkan rakan niaga kami, iaitu pembekal dan pengedar untuk terus melabur dalam teknologi baharu supaya mereka lebih berdaya saing dan produktif.

“Kami akan mengumumkan senarai penuh sasaran kami pada bulan ini dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sokongan yang berterusan, rakan kongsi kami atas dedikasi mereka, kakitangan Perodua atas pengorbanan dan kerja keras mereka serta para pelanggan kami yang dihargai atas sokongan setia mereka,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Lepas Bersara, Nak Buat Apa Sebenarnya?

Majoriti pembaca MajalahLabur hari ini berumur 35 tahun ke atas.
Kita masih sibuk kerja, urus anak sekolah, jaga mak ayah, tapi jauh di sudut hati kita dah mula terfikir juga:

“Macam mana hidup aku bila dah bersara nanti…?”

Zaman sekarang umur 60 bukan tua sangat pun. Badan mungkin tak segagah dulu, tapi akal dan tenaga masih banyak boleh diguna.

Masalahnya ramai yang tak plan langsung apa nak buat lepas bersara.
Bila tiba-tiba tak perlu kerja, tak ada mesyuarat, tak ada KPI, hidup boleh rasa kosong.

Sebenarnya fasa lepas bersara boleh jadi masa paling indah jika dikurniakan kesihatan, masa dan kewangan yang kukuh. Jadi, ini beberapa idea aktiviti bermakna yang boleh diisi bila tiba masanya nanti.

1. Free Tuition untuk Anak Yatim & Asnaf

Ilmu yang kita ada tak akan habis bila dikongsi. Ramai anak keluarga B40 yang perlukan bimbingan asas Matematik atau Bahasa Inggeris. Tak perlu buka pusat tuisyen pun. Boleh buat di rumah atau pusat komuniti.

2. Cuci Telekung & Sejadah di Surau

Kerja kecil, pahala besar. Surau kampung pun selalu kekurangan tenaga sukarela bab ni. Sambil beramal, sambil berjumpa kawan baharu.

3. Belajar Sesuatu Yang Baru

Contohnya kelas menjahit, reka grafik, bahasa asing atau kelas masakan Jepun. Sebab “umur bukan alasan kalau jiwa masih muda”.

4. Sertai Skuad Urus Jenazah Tak Dituntut

Kerja ni tak ramai sanggup buat, tapi sangat tinggi nilainya. Selain membantu masyarakat, kita juga belajar tentang erti kematian dan rasa syukur.

5. Buat Hobi Jadi Sumber Rezeki

Contohnya mencanting batik, melukis, menjahit atau membuat sabun sendiri. Zaman sekarang semua boleh jual online, dari Shopee sampai TikTok Shop.

6. Jual Nasi Lemak Sambil Bina Silaturrahim

Ramai makcik pakcik bersara yang “kembali muda” bila berniaga kecil-kecilan.
Bukan soal nak buat duit sangat tapi rasa hidup kembali bermakna bila orang suka masakan kita.

7. Berkongsi Cerita di Media Sosial

Zaman dulu orang tulis diari, sekarang boleh kongsi kisah hidup di TikTok. Cerita zaman sekolah, kerja, kahwin atau jatuh bangun hidup. Semua tu ilmu dan inspirasi.

8. Buat Projek Kucing

Rescue, jaga dan rawat kucing jalanan. Kucing ni terapi semula jadi. Cuma pastikan bajet makanan tak lebih dari dividen Tabung Haji.

9. Travel Dalam Malaysia

Bila muda sibuk cari rezeki, bila tua bolehlah “claim balik masa.” Tak perlu ke luar negara pun. Naik ETS ke utara atau jalan-jalan pantai timur pun dah cukup bahagia.

10. Sertai NGO & Misi Bantuan

Ramai organisasi memerlukan sukarelawan tetap, dari misi banjir sampai lah program pendidikan luar bandar. Boleh pilih ikut minat dan masa.

Nak hidup tenang masa bersara, duit bukan segala-galanya tapi segalanya perlukan duit.
Bila kewangan kukuh, kita bebas memilih untuk berbakti, berkarya atau berehat tanpa risau hutang, bil, atau komitmen.

Merancang kewangan hari ini bukan untuk jadi kaya semata-mata. Tapi supaya nanti bila bersara, kita boleh hidup dengan hati yang lapang.