Proton Rekod Pertumbuhan Jualan Empat Tahun Berturut-Turut Pada 2022

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Jenama automotif nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) mengakhiri tahun 2022 dengan pertumbuhan jualan empat tahun berturut-turut pada 141,432 unit (domestik dan eksport), jumlah jualan keseluruhan tertinggi sejak 2013.

Proton menjelaskan jumlah jualan meningkat 23.3 peratus walaupun menghadapi kesukaran pada awal tahun apabila pembekalan alat ganti terjejas akibat banjir, dan kekurangan cip di peringkat global menyebabkan penurunan jumlah jualan untuk empat bulan pertama.

“Sementara itu, jumlah jualan untuk pasaran antarabangsa pula meningkat kepada 5,406 unit, berkembang 79.1 peratus dan membolehkan Proton mengakhiri tahun ini sebagai pengeksport utama industri.

“Secara keseluruhan, syarikat telah mengekalkan kedudukan di tangga kedua dalam industri dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 19.6 peratus,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2022 dianggarkan melebihi 720,000 unit — catatan tinggi baharu industri di samping jualan pada Disember yang memecahkan rekod.

Jualan untuk lima daripada enam model Proton meningkat pada 2022 dengan tiga model mengakhiri tahun lepas sebagai peneraju segmen.

“Proton X50 terus menjadi SUV (kenderaan utiliti sukan) terlaris di Malaysia dengan jualan 3,764 unit pada Disember sekali gus mengakhiri tahun itu dengan rekod jualan tahunan SUV baharu sebanyak 40,681 unit.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 41.4 peratus berbanding 2021 dan menjadikan SUV segmen B ini model kedua paling laris antara barisan model Proton,” tambahnya.

Proton X70 pula mengekalkan kedudukannya sebagai SUV segmen C terlaris untuk empat tahun berturut-turut walaupun menghadapi cabaran kuat daripada pesaing baharu.

X70 mengakhiri 2022 dengan 1,787 unit terjual pada Disember dan angka keseluruhan sebanyak 18,533 unit, meningkat sebanyak 13.1 peratus daripada jumlah tahun sebelumnya, jelas Proton.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata dalam melangkah di tahun 2023, Proton yakin dapat merekodkan lebih banyak pertumbuhan dengan penambahan rangkaian tawaran serta pelancaran model baharu tahun ini.

“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan TIV menyusut daripada angka tahun 2022 kerana penghantaran pesanan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan akan dibuat pada akhir Mac.

“Kadar faedah juga dijangka meningkat lagi tahun ini jadi, ia akan menyukarkan industri automotif untuk terus meningkatkan jualan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kad Visa Touch ‘n Go: Berbaloikah Guna?

Kad Visa Touch ‘n Go eWallet kini antara kad prabayar di Malaysia yang boleh digunakan di mana-mana terminal Visa seluruh dunia. Ia bukan sekadar kad untuk beli barang, tapi juga boleh keluarkan tunai di mesin ATM bila perlu. Menurut sumber rasmi, Touch ‘n Go Visa Prepaid Card dilancarkan secara rasmi kepada pengguna umum pada 18 Januari 2023.

Apa Itu Kad Visa Touch ‘n Go?
Kad ini ialah kad prabayar (prepaid card) yang menggunakan baki sedia ada dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Ia berfungsi sama seperti kad debit tapi dana datang terus dari eWallet, bukan akaun bank. Maknanya, kalau baki eWallet anda ada RM800, maka itulah had sebenar anda untuk berbelanja atau keluarkan tunai.

Kegunaan Kad Visa Touch ‘n Go

Pembelian di kedai & restoran : boleh digunakan di mana-mana terminal dengan logo Visa, sama seperti kad debit biasa.

Transaksi luar talian (offline) : boleh “tap” menggunakan fungsi PayWave di kedai yang menyokong Visa contactless.

Pengeluaran tunai di ATM : guna mana-mana ATM yang ada logo Visa dengan caj RM1.40 (dalam Malaysia) atau RM10 (luar negara).

Tol & parking : hanya berfungsi di lokasi tertentu yang menyokong integrasi eWallet, bukan semua tol. Untuk laluan tol yang masih menggunakan kad fizikal, pengguna perlu kekal guna kad Touch ‘n Go biasa.

Transaksi rentas sempadan — boleh digunakan untuk pembelian di luar negara (Visa global acceptance) dan caj rentas sempadan buat masa ini dikecualikan oleh TNG Digital.

Caj & Yuran Terkini

Berdasarkan Product Disclosure Sheet (Julai 2025) oleh TNG Digital:

  • Yuran permohonan kad: RM15 (termasuk pos)
  • Yuran tahunan: RM8 (percuma tahun pertama)
  • Caj ganti kad: RM15
  • Pengeluaran ATM tempatan: RM1.40
  • Pengeluaran ATM luar negara: RM10
  • Transaksi rentas sempadan: Dikecualikan (buat masa ini)

Had Pengeluaran & Transaksi

  • Maksimum 5 transaksi pengeluaran sehari
  • Had pengeluaran: RM5,000 sehari
  • Transaksi PayWave: maksimum RM1,250 sehari
  • Transaksi PIN: maksimum RM5,000 sehari

Ingat, semua had ini bergantung kepada baki eWallet Touch ‘n Go anda dan bukan baki akaun bank.

Jadi… Berbaloi Ke Caj RM1.40 Tu?
Kalau nak dibanding dengan kad bank, memang ada bank yang kenakan caj RM1.00 atau percuma bila guna ATM dari bank sendiri. Tapi konteks kad prabayar eWallet berbeza.

1. Boleh guna di mana-mana ATM Visa — selagi ATM ada logo Visa, boleh guna termasuk luar negara.
2. Mudah kawal bajet debab boleh hadkan baki eWallet.
3. Sangat berguna dalam kecemasan — bila dompet hilang atau kad debit bank tak boleh guna.
4. Alternatif kad bank untuk pelajar sekolah (layak dari umur 12 tahun + perlu eKYC dalam app), pelajar universiti dan freelancer — mudah daftar dan kawal melalui aplikasi.

Untuk makluman baki ewallet tidak dilindungi PIDM. PIDM hanya melindungi deposit bank (hingga RM250,000 per pendeposit, per bank) bukan e-wallet.

Bila Tak Sesuai Guna?

  • Kalau selalu keluarkan tunai, caj RM1.40 boleh jadi membebankan.
  • Kalau dah ada kad debit bank dengan ATM percuma, fungsi kad ni mungkin sekadar “backup”.

Untuk Kaki Travel: Kenapa Kad Ini Padu?

1) Boleh diguna meluas di mana-mana terminal Visa. Ini memudahkan bayaran di kedai, restoran, hotel dan lain-lain. Ramai tanya boleh ke guna kad Visa ini di MRT Singapura? Bila baca dekat laman web operator MRT Singapore, mereka terima kad Visa contactless.
Namun, pihak Touch ’n Go belum mengesahkan sokongan rasmi untuk kad ini, jadi penggunaan di MRT/Transit Singapura tidak dijamin berfungsi 100%. Sebaiknya bawa EZ-Link atau kad Visa bank lain sebagai sandaran semasa travel.

2) Caj pengeluaran ATM luar negara yang jelas: RM10 per transaksi — praktikal untuk ‘emergency cash’.

3) Transaksi rentas sempadan kini dikecualikan caj (buat masa ini) — membantu kawal kos ketika swipe di luar negara.

4) Bajet terkawal sebab ia kad prabayar — anda hanya belanja setakat baki eWallet, sesuai untuk elak overspend semasa travel.

5) Sesuai sebagai ‘backup card’ kalau kad bank utama bermasalah.

Tips Guna Kad Visa Touch ‘n Go Dengan Bijak

  • Aktifkan fungsi Lock Card bila tak digunakan.
  • Jangan guna WiFi awam bila log masuk aplikasi.
  • Simpan hotline TNG: +603-5022 3888 untuk sekat kad segera jika hilang.
  • Pastikan baki eWallet mencukupi sebelum guna kad visa ini di luar negara.

Kalau guna kad visa ini sebagai pelengkap eWallet dan penyelamat masa kecemasan, maka memang berbaloi. Namun kalau setiap minggu nak keluarkan duit tunai, lebih baik guna kad debit bank biasa.