Restoran Cili Kampung: Dari Masak Lomak ke Empayar F&B

Bila orang tanya dekat mana nak makan lauk Melayu yang betul-betul rasa kampung, jawapannya tak semestinya kena “balik kampung.” Kadang-kadang, jawapannya ada di KLCC.

Bila sebut restoran Cili Kampung, mereka yang pernah sampai akan terbayang lauk-lauk kampung yang padu, sambal yang boleh buat berpeluh dan suasana makan macam dekat rumah nenek. Tapi di sebalik wajah “kampung” itu, sebenarnya tersimpan strategi korporat yang sangat moden.

Daripada laman web rasmi mereka, Cili Kampung sudah ada sekurang-kurangnya 6 cawangan:

  • Hartamas Shopping Centre, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur
  • Suria KLCC, Kuala Lumpur
  • The Light Hotel, Seberang Jaya, Pulau Pinang
  • Alamanda Shopping Centre, Putrajaya
  • 1 Utama Shopping Centre (New Wing), Petaling Jaya
  • Sunway Pyramid Mall, Bandar Sunway, Selangor

Outlet di Hartamas, KLCC, The Light Hotel Penang dan Alamanda Putrajaya semuanya telah mempunyai pensijilan HALAL. Outlet 1 Utama dan Sunway Pyramid pula masih “dalam proses”.

Dari segi harga dan lokasi, jelas Cili Kampung ni kedai M40 dan T20. OLutlet mereka hanya dalam mall besar dan hotel: KLCC, 1 Utama, Sunway Pyramid, The Light Hotel. Menu macam Smoked Beef Masak Lomak pun dah RM45 sepinggan. Bukan kategori warung tepi jalan, tapi ini tempat orang sanggup bayar lebih untuk suasana selesa dan “rasa kampung versi premium”.

Tapi jujur nak kata, kalau dah sampai sini, memang susah nak marah dekat harga bila makanan dia memang kena dengan selera.

Ramai menyangka Cili Kampung ialah restoran tradisional milik keluarga. Tetapi menurut dokumen rasmi SSM, Cili Kampung dimiliki sepenuhnya oleh syarikat, bukan individu. Ia berada di bawah payung syarikat pemilikan dan pengurusan makanan profesional.

Berdasarkan profil rasmi Cili Kampung Malaysia Sdn Bhd, struktur pemilikannya adalah seperti berikut:

Pemegang SahamJenis EntitiPegangan
Continuum Hospitality Group Sdn. Bhd.Syarikat F&B50%
KA Food Chain (M) Sdn. Bhd.Syarikat F&B50%

Siapa Individu di Belakang Cili Kampung?

Walaupun tiada individu memiliki saham secara terus, pengurusan syarikat diketuai oleh dua figura dalam industri makanan, iaitu Mohamed Khairul Anwar bin Abdul Azeez dan Kesavan A/L Purusotman, yang memegang peranan pengarah dalam Cili Kampung Malaysia Sdn. Bhd.

Selain itu, mereka juga dikaitkan dengan beberapa syarikat lain yang berada dalam rangkaian pengembangan jenama Cili Kampung, seperti:

  • Cili Kampung Ventures Sdn. Bhd.
  • Cili Kampung Utara Sdn. Bhd.
  • Cili Kampung Restaurant Sdn. Bhd.
  • KA Food Chain (M) Sdn. Bhd.

Ini menunjukkan Cili Kampung bukan sekadar restoran, tetapi structured as a multi-entity growth business.

Cili Kampung juga merupakan sebahagian daripada kumpulan hospitaliti yang lebih besar iaitu Continuum Hospitality Group, yang menguruskan restoran, lounge, nightlife dan hotel di Malaysia. Ini adalah berdasarkan portfolio mereka di continuumgrp.com/portfolio.

Strategi Korporat Di Sebalik ‘Sambal 3 Negeri’

Model perniagaan Cili Kampung dibangunkan melalui struktur syarikat induk (holding) dan pengembangan melalui beberapa syarikat berbeza.

✔️ Tiada individu pegang pegangan secara langsung → semua melalui syarikat
✔️ Mudah untuk francais / IPO pada masa depan
✔️ Lebih profesional dalam kawalan resipi, jenama dan kualiti
✔️ Kekuatan modal dan rangkaian pemasaran lebih besar

Dengan model ini, sebuah restoran yang berasaskan masakan tradisional dapat berkembang secara lebih teratur dan berskala besar di seluruh negara.

Cili Kampung bukan sekadar restoran yang menjual masakan kampung. Ia adalah contoh bagaimana identiti kampung boleh dibina menggunakan strategi korporat moden. Dari dapur kampung ke struktur pegangan syarikat yang semuanya disusun secara profesional.


Masak Lomak di Cili Kampung ada satu menu yang memang padu iaitu Smoked Beef Masak Lomak (RM45). Kalau tak suka daging, boleh pilih ayam (RM38) atau sotong (RM40). Apa pun yang kau ambil, konsep dia sama: kuah pekat, berempah elok dan jenis yang buat kau terfikir nak cedok lagi walaupun nasi dah habis.

Lagi satu yang underrated: Siakap Masak Kicap dia. Luar rangup, tapi kuah kicap dia still manis-masin berempah. Bukan jenis ikan lembik tenggelam dalam kicap. Ini jenis yang bila letak sebelah masak lomak, kau memang serba salah nak suap yang mana dulu.

Bab dessert pula akan buat kau lupa pasal bajet. Antara yang wajib cuba adalah “Bukit Kelapa”: Aiskrim Kelapa (RM25). Aiskrim kelapa atas ketulan nenas, lepas tu siram dengan gula Melaka, tabur crumbs, madu sarang dan kacang. Bukan jenis “aiskrim putih rasa susu cair”, tapi aiskrim kelapa yang betul-betul rasa lemak sejuk berkrim.

Cili Kampung ni macam orang kampung yang pindah bandar, tapi masih pakai resepi nenek. Bezanya cuma sekarang dia duduk dalam mall, bawah lampu cantik dan harga ikut kos hidup di Kuala Lumpur. Nak marah pun tak boleh, sebab bila kuah masak lomak dah serap elok dalam daging, kita sendiri yang lupa diri.

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.