TikTok Shop Iktiraf Pencapaian Usahawan Tempatan Jayakan Kempen Jualan Sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — TikTok Shop dalam usahanya memupuk pertumbuhan perniagaan tempatan, mengiktiraf pencapaian komuniti penjual, pencipta kandungan, dan usahawan yang terlibat dalam kempen jualan #TikTokShopBazarRamadan2024 sepanjang Ramadan lepas pada rumah terbuka #TikTokShopBazarRaya2024 baru-baru ini.

Ketua Perkongsian TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata sepanjang bulan lepas, ia menyaksikan kegigihan, kecekalan dan dedikasi usahawan dan pencipta kandungan tempatan.

“Kami terus bersyukur atas peluang untuk menyokong perniagaan-perniagaan Malaysia, memacu perkembangan dan memperkasakan mereka untuk melakar pencapaian baharu dengan merealisasikan potensi penuh mereka di platform kami,” katanya.

Kempen itu adalah sebahagian daripada inisiatif #JomLokal TikTok Shop, yang diperkenalkan pada 2023 untuk memperjuangkan keusahawanan dan menyokong perniagaan tempatan.

Pada masa ini, 96 peratus penjual di TikTok Shop adalah penjual tempatan, bukti komitmen TikTok Shop untuk menonjolkan bakat tempatan.

Sepanjang kempen ini, TikTok Shop mencatatkan 5.9 bilion jumlah tontonan kandungan sepanjang tempoh Ramadan-Raya dan pertumbuhan 137 peratus dari segi kandungan Ramadan-Raya berbanding 2023.

Bagi kempen yang sama, ia turut menyaksikan pertumbuhan penjual 86 peratus tahun ke tahun, sementara kalangan penjual mencapai purata pertumbuhan jualan sebanyak 153 peratus.

Di samping itu, jumlah khimar (tudung labuh) yang dijual di TikTok Shop adalah lebih kurang 532 kali ganda ketinggian Menara Berkembar PETRONAS (452m), katanya.

Tiga penjual terbaik daripada setiap kategori telah menerima anugerah pada acara rumah terbuka itu, bukti  usaha dan kreativiti mereka dalam mempromosikan produk melalui TikTok Shop.

Penjual terbaik bagi setiap kategori ialah @savebajet untuk elektronik; gaya hidup: @DESSINIMalaysia; fesyen: @pandaeyes; dan barangan pengguna yang cepat laris (FMCG): @SkintificMalaysia.

TikTok Shop juga menyediakan Anugerah Kecemerlangan ACE, bagi meraikan konsep ACE (kepelbagaian, kandungan, pemerkasaan), iaitu satu rangka kerja yang direka untuk memperkasakan jenama dan penjual serta memupuk peluang pertumbuhan di platformnya.

Penjual cemerlang yang menerima anugerah merentasi pelbagai kategori termasuk @Emajie (FMCG), @savebajet (elektronik), @mybookcafe (gaya Hidup) dan @pandaeyes (Fesyen).

Penyampaian anugerah ‘Top Creator’, ‘Top Rising Creator’ dan ‘Top Local Seller’, masing-masing diungguli oleh @anaszahrin, @nl.alchemist dan @Ladybossrafa98.

@anaszahrin telah mencapai pertumbuhan memberangsangkan dengan jualan melebihi 6,000 peratus berbanding musim Ramadan-Raya tahun lepas.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kad Visa Touch ‘n Go: Berbaloikah Guna?

Kad Visa Touch ‘n Go eWallet kini antara kad prabayar di Malaysia yang boleh digunakan di mana-mana terminal Visa seluruh dunia. Ia bukan sekadar kad untuk beli barang, tapi juga boleh keluarkan tunai di mesin ATM bila perlu. Menurut sumber rasmi, Touch ‘n Go Visa Prepaid Card dilancarkan secara rasmi kepada pengguna umum pada 18 Januari 2023.

Apa Itu Kad Visa Touch ‘n Go?
Kad ini ialah kad prabayar (prepaid card) yang menggunakan baki sedia ada dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Ia berfungsi sama seperti kad debit tapi dana datang terus dari eWallet, bukan akaun bank. Maknanya, kalau baki eWallet anda ada RM800, maka itulah had sebenar anda untuk berbelanja atau keluarkan tunai.

Kegunaan Kad Visa Touch ‘n Go

Pembelian di kedai & restoran : boleh digunakan di mana-mana terminal dengan logo Visa, sama seperti kad debit biasa.

Transaksi luar talian (offline) : boleh “tap” menggunakan fungsi PayWave di kedai yang menyokong Visa contactless.

Pengeluaran tunai di ATM : guna mana-mana ATM yang ada logo Visa dengan caj RM1.40 (dalam Malaysia) atau RM10 (luar negara).

Tol & parking : hanya berfungsi di lokasi tertentu yang menyokong integrasi eWallet, bukan semua tol. Untuk laluan tol yang masih menggunakan kad fizikal, pengguna perlu kekal guna kad Touch ‘n Go biasa.

Transaksi rentas sempadan — boleh digunakan untuk pembelian di luar negara (Visa global acceptance) dan caj rentas sempadan buat masa ini dikecualikan oleh TNG Digital.

Caj & Yuran Terkini

Berdasarkan Product Disclosure Sheet (Julai 2025) oleh TNG Digital:

  • Yuran permohonan kad: RM15 (termasuk pos)
  • Yuran tahunan: RM8 (percuma tahun pertama)
  • Caj ganti kad: RM15
  • Pengeluaran ATM tempatan: RM1.40
  • Pengeluaran ATM luar negara: RM10
  • Transaksi rentas sempadan: Dikecualikan (buat masa ini)

Had Pengeluaran & Transaksi

  • Maksimum 5 transaksi pengeluaran sehari
  • Had pengeluaran: RM5,000 sehari
  • Transaksi PayWave: maksimum RM1,250 sehari
  • Transaksi PIN: maksimum RM5,000 sehari

Ingat, semua had ini bergantung kepada baki eWallet Touch ‘n Go anda dan bukan baki akaun bank.

Jadi… Berbaloikah caj RM1.40 tu?
Kalau nak dibanding dengan kad bank, memang ada bank yang kenakan caj RM1.00 atau percuma bila guna ATM dari bank sendiri. Tapi konteks kad prabayar eWallet berbeza.

1. Boleh guna di mana-mana ATM Visa selagi ATM ada logo Visa, boleh guna termasuk luar negara.
2. Mudah kawal bajet debab boleh hadkan baki eWallet.
3. Sangat berguna dalam kecemasan bila dompet hilang atau kad debit bank tak boleh guna.
4. Alternatif kad bank untuk pelajar sekolah (layak dari umur 12 tahun + perlu eKYC dalam app), pelajar universiti dan freelancer — mudah daftar dan kawal melalui aplikasi.

Untuk makluman baki ewallet tidak dilindungi PIDM. PIDM hanya melindungi deposit bank (hingga RM250,000 per pendeposit, per bank) bukan e-wallet.

Bila Tak Sesuai Guna?

  • Kalau selalu keluarkan tunai, caj RM1.40 boleh jadi membebankan.
  • Kalau dah ada kad debit bank dengan ATM percuma, fungsi kad ni mungkin sekadar “backup”.

Untuk Kaki Travel: Kenapa Kad Ini Padu?

1) Kad “basic” menawarkan pulangan tunai sehingga 1% untuk transaksi luar negara, manakala kad “travel” terbaharu memberi ganjaran lebih tinggi, sehingga 3% apabila digunakan di luar negara.

2)Boleh diguna meluas di mana-mana terminal Visa. Ini memudahkan bayaran di kedai, restoran, hotel dan lain-lain. Ramai tanya boleh ke guna kad Visa ini di MRT Singapura? Bila baca dekat laman web operator MRT Singapore, mereka terima kad Visa contactless.
Namun, pihak Touch ’n Go belum mengesahkan sokongan rasmi untuk kad ini, jadi penggunaan di MRT/Transit Singapura tidak dijamin berfungsi 100%. Sebaiknya bawa EZ-Link atau kad Visa bank lain sebagai sandaran semasa travel.

3) Caj pengeluaran ATM luar negara yang jelas: RM10 per transaksi — praktikal untuk ‘emergency cash’.

4) Transaksi rentas sempadan kini dikecualikan caj (buat masa ini) — membantu kawal kos ketika swipe di luar negara.

5) Bajet terkawal sebab ia kad prabayar — anda hanya belanja setakat baki eWallet, sesuai untuk elak overspend semasa travel.

Tips Guna Kad Visa Touch ‘n Go Dengan Bijak

  • Aktifkan fungsi Lock Card bila tak digunakan.
  • Jangan guna WiFi awam bila log masuk aplikasi.
  • Simpan hotline TNG: +603-5022 3888 untuk sekat kad segera jika hilang.
  • Pastikan baki eWallet mencukupi sebelum guna kad visa ini di luar negara.

Kalau guna kad visa ini sebagai pelengkap eWallet dan penyelamat masa kecemasan, maka memang berbaloi. Namun kalau setiap minggu nak keluarkan duit tunai, lebih baik guna kad debit bank biasa.