5 Strategi Pelaburan Hartanah

Pelaburan hartanah ialah pelaburan dengan risiko tinggi namun menjanjikan pulangan yang tinggi. Ilmu dan strategi pelaburan hartanah yang betul perlu digunakan untuk mengelak dari kerugian.

Sekiranya pelaburan tidak menghasilkan pulangan yang diharapkan, hartanah itu sukar untuk dicairkan kerana proses jualbeli rumah mengambil masa yang lama dari urusan pengiklanan, permohonan pembiayaan sehingga penyerahan kunci rumah.

Ada beberapa strategi dalam pelaburan hartanah yang boleh digunakan untuk mendapatkan hasil keuntungan. Setiap strategi pelaburan ada teknik tertentu yang boleh digunakan untuk memaksimumkan keuntungan.

1. Beli Dan Jual Semula

Strategi yang paling mudah untuk pelaburan hartanah ialah dengan membeli rumah pada harga lebih murah dari pasaran dan kemudian jual semula pada harga pasaran.

Strategi ini boleh digunakan untuk rumah dalam pembinaan sekiranya harga pemaju jual lebih murah berbanding harga rumah yang hampir sama di lokasi sekeliling.

Apabila rumah telah siap, harga rumah akan naik dan boleh dijual. Pelabur perlu menanggung kos faedah pembiayaan sepanjang tempoh pembinaan.

Selain itu, strategi ini juga boleh digunakan untuk rumah lelong dengan membeli pada harga murah dari harga pasaran, kemudian dijual semula setelah pengubahsuaian dibuat untuk mencantikkan rumah.

Pelabur perlu sediakan modal awal yang besar untuk membeli rumah lelong dan kos pembaikan serta pengubahsuaian.

2. Sewa Rumah

Strategi kedua ialah dengan menyewakan rumah kepada keluarga yang ingin menyewa satu rumah. Strategi ini juga boleh dikatakan mudah dan pemilik rumah hanya perlu memastikan rumah selamat untuk didiami.

Strategi ini dapat memberi keuntungan dari segi kenaikan harga rumah dan juga aliran tunai bulanan sekiranya kadar sewaan lebih tinggi berbanding bayaran ansuran pembiayaan rumah.

Pemilik rumah juga boleh menyewakan rumah beserta barang perabot asas untuk meningkatkan kadar sewaan.

3. Sublet

Strategi sublet boleh digunakan dengan menyewakan rumah kepada subletter. Subletter akan gunakan rumah untuk disewakan bilik-bilik.

Kelebihan strategi sublet ini ialah kontrak sewaan yang lebih lama. Namun sewa bulanan lebih rendah berbanding sewa rumah terus kepada penyewa.

Strategi sublet ini mungkin menyebabkan aliran tunai negatif kerana kadar sewa bulanan yang rendah kurang dari bayaran bulanan pembiayaan rumah.

Namun begitu, pemilik rumah masih untung selagi sewa bulanan lebih tinggi dari 70% bayaran bulanan pembiayaan. Selain itu, pemilik rumah masih boleh raih keuntungan dari kenaikan harga rumah.

Selain itu, bagi mereka yang masih belum mempunyai rumah boleh menjadi subletter dengan menyewa rumah dari pemilik sebelum menyewakan semula bilik-bilik kepada orang lain.

Pastikan kadar sewaan bilik sedikit tinggi berbanding kadar sewa rumah untuk dapat keuntungan.

4. Sewa Bilik

Strategi sewa bilik mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana pemilik rumah perlu mencari lebih ramai penyewa dan berhadapan dengan pelbagai ragam penyewa. Selain itu, konflik antara penyewa juga boleh menyebabkan kerosakan pada rumah.

Pemilik rumah juga boleh memuatkan katil mengikut saiz bilik untuk memaksimumkan keuntungan. Disebabkan itu, kos awal untuk menyediakan rumah lebih tinggi kerana perlu memasukkan barang perabot, katil dan almari.

Ada risiko kemungkinan bilik tidak penuh menyebabkan keuntungan sedikit terjejas. Namun, strategi ini mempunyai potensi untung yang lebih tinggi dan aliran tunai yang positif.

5. Homestay Dan AirBnb

Strategi homestay dan AirBnb boleh digunakan sekiranya rumah berada dalam lokasi yang mempunyai tarikan pelancong samada pelancong asing mahupun pelancong domestik.

Barang perabot dan keperluan asas perlu disediakan seperti di hotel. Ini bermaksud pelabur perlu mengeluarkan modal yang lebih sebelum boleh menjana pulangan yang memuaskan.

Strategi ini memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi untuk memastikan rumah sentiasa bersih sebelum pelanggan masuk. Cadar perlu ditukar, rumah dibersihkan dan sampah disapu serta dibuang.

Pilih Strategi Yang Betul

Setiap strategi dalam pelaburan hartanah boleh menjanjikan keuntungan sekiranya digunakan dengan betul. Namun, bergantung pada pelabur untuk memilih strategi yang sesuai untuk memaksimumkan keuntungan.

Pelabur perlu membuat kira-kira dari segi modal, jangkaan keuntungan dan kos masa yang diperuntukkan untuk melaksanakan strategi yang ingin digunakan. Lebih banyak modal dan usaha yang diperlukan, lebih banyak keuntungan yang sepatutnya dicapai.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian