PNB Tag Team Dengan KWSP Beli Battersea Power Station Di London Dengan Harga RM8.76 Bilion

Wah, beberapa hari lepas kita dikhabarkan dengan pengumuman mengenai transaksi terbesar hartanah di United Kingdom dengan penjualan Stesen Janakuasa Battersea kepada dua jerung terbesar dari Malaysia ini dengan harga RM8.76 bilion bersamaan £1.6 bilion Pound.

Nak juga kita ambil tahu kan pasal kisah ini?

Apa Itu Stesen Janakuasa Battersea?

Menurut Wikimapia:

Sebuah stesen janakuasa yang terbengkalai [kerana sudah terlalu lama usianya dan tidak lagi berfungsi] yang menunggu masa untuk dipulihkan tidak lama lagi – ianya adalah mercutanda yang sangat dicintai oleh penghuni-penghuni kota London. Menara putih yang [sudah sebati di jiwa penghuni-penghuni kota London] dan sudah semacam satu ikon menjadi kontroversi [ramai penduduk tempatan membantah lantaran nilai-nilai sentimental dan memori yang terpahat di minda mereka akan hilang sekira Stesen ini betul-betul dirobohkan] kerana akan dirobohkan dan dibina semula kerana dikatakan tidak lagi selamat jika terus dibiarkan.

Dan jika dilihat laman web Battersea Power Station ini pula, ia adalah bangunan yang bersejarah tetapi tidak lagi digunakan kerana telah uzur dan tidak selamat. Daripada dibiarkannya malap, ianya sedang giat dibangunkan semula dengan menyediakan tempat untuk pengunjung tempatan, pelancong dan penduduk di sana menikmati keunikan restoran-restoran, kedai-kedai, taman-taman serta tempat-tempat kebudayaan.

Contoh mudah untuk kita fahami bersama, bayangkan ianya seperti Penjara Pudu yang tidak lagi relevan kerana terletak di segitiga emas Kuala Lumpur. Daripada dibiarkan begitu sahaja, adalah lebih baik ianya dibangunkan bagi memberi manfaat kepada orang ramai.

Di Mana Stesen Janakuasa Battersea?

Sumber: Google Maps

Stesen Janakuasa Battersea terletak di kotaraya London dan sangat strategik kerana ianya terletak di Sungai Thames dan berhampiran mercu tanda tersohor dunia seperti Buckingham Palace, Big Ben, Hyde Park, Royal Albert Hall, Madame Tussauds dan stadium Stamford Bridge milik kelab bolasepak Chelsea.

Beli Daripada Sime Darby dan SP Setia

Stesen Janakuasa Battersea telah pun dibeli oleh konsortium yang diketuai Sime Darby dan SP Setia pada tahun 2012 dengan harga RM2.18 bilion atau £400 juta Pound.

Kalau nak tahu Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah pemegang saham utama bagi kedua-dua syarikat ini, manakala KWSP pula memiliki 20% daripada keseluruhan projek pembangunan sebelum ini. Ini akan membuatkan KWSP bertukar status daripada pemaju kepada pengurus aset dalam pengstrukturan semula ini.

PNB dan KWSP dikatakan akan memberikan suntikan kewangan di dalam pemulihan Stesen Janakuasa Battersea berikutan peningkatan kos dan penangguhan yang telah berlaku. Ini bagi memastikan projek tersebut siap juga akhirnya.

Menurut kepada dokumen yang dikeluarkan tahun lepas juga, kos yang semakin meningkat bagi memulihkan bangunan, permintaan yang lebih rendah terhadap rumah mewah telah menyebabkan pemaju mensasarkan keuntungan lebih rendah – daripada 20% kepada 8.2%.

Keseluruhan projek Stesen Janakuasa Battersea meliputi kawasan 42 ekar dan akan menyediakan 4,364 rumah baru. Sime Property dan SP Setia akan kekal sebagai pemaju kelima-lima fasa pembangunan yang dijangkakan akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2028.

Sumber Rujukan: The Telegraph

Apabila Jerung Mengorak Langkah, Kita Pun Ikut Sama

Nak tahu lebih lanjut siapa jerung-jerung besar di Malaysia dan di mana mereka banyak melabur, boleh baca Kenali 7 Jerung Yang Paling Banyak Melabur di Bursa Malaysia. Sebab modal kita besar mana pun sebagai pelabur runcit kalau dibandingkan dengan ratusan billion ringgit yang dimiliki mereka.

Jadi tak salah sekiranya kita ikut melabur sama ke tempat-tempat yang mereka laburkan duit tadi. Nak beli Stesen Janakuasa Battersea tak mampu, kita boleh beli saham Sime Property dan SP Setia.

Jom tengok prestasi saham-saham mereka:

1. Sime Darby Property

Sumber: Bursa Marketplace

Saham Sime Darby Property walaupun baru sahaja berusia sebulan lebih telah pun menunjukkan kenaikan yang mengagumkan.

Harga Pembukaan 30 November 2017: RM1.20

Harga Semasa 19 Januari 2018: RM1.59

Kenaikan: RM0.39 atau 32.5%

2. SP Setia

Sumber: Bursa Marketplace

Saham SP Setia pula ada turun naiknya sepanjang setahun yang lalu, tetapi lebih kepada pergerakan sideways.

Harga 19 Januari 2017: RM3.26

Harga Semasa 19 Januari 2018: RM3.24

Penurunan: RM0.02 atau 0.01%

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman