Pengundi Lebih Risau Mengenai Inflasi Berbanding Kenaikan Harga Hartanah — Juwai IQI

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — Kumpulan teknologi hartanah Juwai IQI melihat inflasi sebagai isu terbesar di kalangan pengundi walaupun kemampuan pemilikan rumah masih menjadi topik hangat bagi kebanyakan pihak. 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Kashif Ansari berkata orang ramai tidak bimbang terhadap hartanah kerana harga telah mula stabil tahun ini selain terdapat saluran hartanah baharu yang mencukupi. 

“Isu ekonomi terbesar bagi pengundi ialah inflasi serta peningkatan kos barangan harian seperti makanan dan produk pengguna,” katanya dalam satu kenyataan. 

Secara keseluruhan, inflasi Malaysia masih rendah berbanding negara serantau yang lain.

“Inflasi di Malaysia susut kepada 4.5 peratus pada September dan secara keseluruhan, akan menjadi 3.3 peratus tahun ini. 

“Malah negara jiran lain di Asia Tenggara menghadapi inflasi yang lebih tinggi. Kadar terkini di Filipina mencecah 7.7 peratus. Inflasi telah mencapai 5.98 peratus di Thailand dan 5.71 peratus di Indonesia,” katanya.

Kashif berpendapat Bank Negara Malaysia dan kerajaan telah melakukan kerja yang baik dalam menguruskan ekonomi semasa gangguan global.

“Kami berpendapat kepimpinan ekonomi yang stabil ini akan diteruskan tanpa mengira siapa yang menang dalam pilihan raya.

“Malaysia amat bernasib baik. Inflasi masih lebih rendah berbanding kebanyakan negara di dunia, ekonomi Malaysia melambung tinggi, pertumbuhan pekerjaan kukuh serta trend dalam pasaran komoditi global menjanjikan peningkatan permintaan untuk eksport negara,” katanya. 

Kashif berkata Juwai IQI, yang beroperasi di 20 negara, melihat rakyat di negara lain lebih bimbang tentang inflasi berbanding dengan rakyat Malaysia. 

“Sejumlah 40 peratus daripada responden dalam tinjauan utama di 29 negara baru-baru ini menilai inflasi sebagai kebimbangan terbesar mereka. Kemiskinan, kebimbangan tertinggi seterusnya, adalah isu utama bagi hanya 31 peratus responden,” katanya lagi.

INDUSTRI PERUMAHAN YANG LEBIH MAMPAN SERTA MAMPU DIMILIKI

Industri hartanah berharap Malaysia akan terus berusaha ke arah pasaran hartanah yang mampu dimiliki dan boleh diakses oleh semua segmen masyarakat. 

Ketika negara sedang menuju ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi, pemilikan rumah adalah alat yang paling berkuasa bagi mendapatkan keselamatan kewangan dan pembinaan kekayaan, katanya. 

Beliau berharap kerajaan akan menggubal lebih banyak dasar seperti cadangan pengecualian duti setem, jaminan perumahan untuk pekerja rentan termasuk rumah bersubsidi kepada penduduk luar bandar menjelang 2023 dan seterusnya.

“Selain kemampuan dan aksesibiliti, kami berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam mentransformasikan industri perumahan kepada asas yang lebih mampan. 

“Malaysia akan membina ratusan ribu rumah baharu pada masa akan datang. Melaksanakan amalan lestari boleh meletakkan negara di barisan hadapan dalam industri perumahan global,” katanya.

— BERNAMA 

Artikel asal: https://thekapital.my/pengundi-lebih-risau-mengenai-inflasi-berbanding-kenaikan-harga-hartanah-juwai-iqi/

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA