PropertyGuru: Kediaman Bertanah Terus Menjadi Pilihan Utama, Namun Kesulitan Kewangan Telah Menjejaskan Permintaan Pembeli Pada Suku Lepas

PropertyGuru Malaysia mengumumkan bahawa , dikuasakan oleh PropertyGuru DataSense, mencatatkan peningkatan 1.10% QoQ dan 3.64% YoY dalam Indeks Harga Jualan Hartanah Bertanah. Turut direkodkan adalah penurunan sebanyak 1.96% QoQ dalam Indeks Permintaan Jualan Hartanah Bertanah, walaupun mencatatkan peningkatan 5.21% YoY.

Trend dalam pasaran hartanah bertanah ini menunjukkan bahawa kediaman bertanah terus menjadi pilihan utama pembelian, walaupun buat masa ini bakal pembeli rumah terjejas oleh isu kemampuan dan kesulitan kewangan, sekali gus mengakibatkan permintaan yang lebih perlahan.

Shylendra Nathan, Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my) berkongsi, “Walaupun kita perlahan-lahan melihat penambahbaikan dalam pasaran, sentimen pengguna masih terjejas oleh kesan berlarutan pasca COVID-19. Disebabkan kebimbangan terhadap peningkatan inflasi, bakal pembeli rumah lebih berhati-hati, mencari penstabilan semula dan jaminan pekerjaan yang lebih baik dalam iklim ekonomi semasa. Dengan kekurangan insentif kewangan untuk dimanfaatkan, pembeli mungkin teragak-agak untuk meneruskan rancangan pembelian mereka sehingga ekonomi stabil semula.”

Beliau menambah, “Sentimen pengguna dalam pasaran besar kemungkinan akan bertambah baik seiring dengan pemulihan ekonomi negara, yang kami harap dapat dilihat pada tahun ini. Sementara itu, kami dapati potensi untuk permintaan hartanah akan mula pulih pada suku akan datang, kerana rakyat Malaysia yang berkemampuan akan melihat hartanah sebagai lindung nilai terhadap inflasi. Dengan mengambil kira kelebihan nilai tanah, kenaikan harga hartanah bertanah menawarkan margin yang lebih besar untuk naiknilai modal dalam jangka panjang.”

Pasaran Perumahan Terus Berdepan Isu Jumlah Tinggi Unit Tidak Terjual

Menurut Tinjauan Kestabilan Kewangan 2H 2021 Bank Negara Malaysia (BNM), secara keseluruhannya terdapat penambahbaikan nyata dalam sektor ekonomi dan kewangan. Namun begitu, jumlah tinggi hartanah tidak terjual kekal sebagai isu utama bagi industri perumahan. Laporan menyatakan bahawa lebih 180,000 unit dalam pasaran perumahan masih tidak terjual, mencerminkan isu ketidakmampuan sedia ada yang diburukkan lagi oleh pandemik.

Ini konsisten dengan Indeks Bekalan MPMR, dengan trend peningkatan terus berlaku, memperoleh 0.31% QoQ dan 19.10% YoY pada Q1 2022 berdasarkan jumlah keseluruhan hartanah yang disenarai.

Dengan peningkatan inflasi global disebabkan pandemik, pertambahan semula permintaan akan menyebabkan kejejalan komoditi penting seperti bahan mentah, sekali gus mendorong kenaikan harga. Jumlah semasa unit rumah tidak terjual yang tinggi di Malaysia pula boleh menjadi peluang terakhir untuk membeli hartanah sebelum kemungkinan berlakunya kenaikan kos pembinaan.

Indeks Harga Sewa Hartanah Bertingkat Tinggi Meningkat Walaupun Persekitaran Ekonomi Tidak Stabil

Menurut Indeks Harga Jualan Hartanah Bertingkat Tinggi MPMR, harga untuk hartanah berstrata jatuh sebanyak 0.23% QoQ pada Q1 2022 dan hanya mencatatkan kenaikan 0.51% YoY dalam tempoh sama. Walau bagaimanapun, bekalan hartanah bertingkat tinggi terus meningkat sebanyak 3.25% QoQ dan 18.24% YoY. Ini menunjukkan ketidakpadanan harga dengan hasrat pembeli untuk faktor-faktor lain seperti lokasi, kemudahan dan kebolehcapaian.

Walau bagaimanapun, dari sudut sewaan, Indeks Harga Sewa Hartanah Bertingkat Tinggi naik sedikit sebanyak 0.91% QoQ dan meningkat sebanyak 0.20% YoY, manakala Indeks Permintaan Sewa Hartanah Bertingkat Tinggi mencatatkan peningkatan QoQ sebanyak 6.08% dan lonjakan 111.23% YoY pada suku lepas. Ini menunjukkan bahawa bakal pembeli rumah terutamanya mereka yang telah menangguhkan rancangan pembelian buat sementara waktu bagi menunggu penstabilan ekonomi telah mengubah keutamaan mereka kepada menyewa.

“Hasrat pembelian pengguna sedang terjejas buat masa ini, seperti yang dapat dilihat dengan peningkatan dalam Indeks Permintaan Sewa Hartanah Bertingkat Tinggi. Kami telah melihat corak permintaan yang stabil bagi golongan milenial yang menyatakan hasrat terhadap kondominium di lokasi strategik.  Bagaimanapun, kekurangan perolehan dan penanggungan bagi unit bertingkat tinggi ini, walaupun banyak yang tidak terjual, telah menunjukkan ketidakpadanan harga terhadap ‘selera’ semasa pembeli”, sambung Shylendra.

Walaupun terdapat petunjuk optimis yang pasaran akan bertambah baik dan pemulihan beransur-ansur dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini, pembeli rumah terus dihalang oleh ketidakmampuan, ketidakupayaan untuk mendapatkan pembiayaan, jaminan pekerjaan dan kestabilan ekonomi secara keseluruhan. Selain itu, dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia daripada 1.75% kepada 2%, faedah gadai janji pembeli dan pemilik rumah sedia ada dan masa hadapan akan terjejas, seterusnya melemahkan keyakinan pembelian.

“Disebabkan itu, kita berkemungkinan hanya akan melihat penambahbaikan sentimen pengguna seiring dengan pemulihan persekitaran ekonomi dan ketersediaan inisiatif kerajaan yang akan menghasilkan jaminan kewangan yang lebih baik dalam tempoh ini. Pendekatan “tunggu dan lihat” yang diambil pembeli diburukkan lagi oleh ketidakstabilan politik yang berterusan dan ketidaktentuan dasar ekonomi dan kesihatan, yang terus melembapkan pasaran. Sementara kita menunggu penambahbaikan terhadap faktor-faktor luaran ini, penjual perlu mengambil inisiatif untuk memberi insentif kepada pembeli dengan pakej menarik untuk merangsang pasaran”, kata beliau.

Baca juga :

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman