Adakah Dikenakan Zakat Pada Emas Yang Telah Digadai?

Soalan

Assalamualaikum, saya ada persoalan berkaitan dengan zakat emas yang telah saya cagarkan. Adakah diwajibkan ke atas saya untuk mengeluarkan zakat sekiranya sudah cukup tempoh setahun. Mohon pencerahan daripada Pejabat Mufti Wilayah. Sekian terima kasih.

Berdasarkan kepada IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-699: ADAKAH DIKENAKAN ZAKAT PADA EMAS YANG TELAH DIGADAI yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Ringkasan Jawapan

Emas yang dicagar atau digadai wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup nisabnya (kadar yang diwajibkan zakat) mengikut perkiraan yang ditentukan oleh pejabat zakat negeri dan telah mencapai haul (tempoh setahun).

Huraian Jawapan

Zakat merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Kewajipan menunaikannya adalah untuk memenuhi hak bagi golongan asnaf yang memerlukan. Hal ini menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang menyeluruh termasuk dalam membantu dan melindungi umat manusia. Bahkan Allah SWT menjadikan zakat sebagai pembersih dosa dan menyucikan diri daripada keburukan akhlak. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Taubah, 103)

Berbalik kepada persoalan di atas, cagaran atau gadaian menurut bahasa arab disebut sebagai al-Rahnu. Menurut istilah fiqh, al-Rahnu adalah meletakkan sesuatu yang barang berharga sebagai jaminan hutang. Konsep ini dijelaskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

جَعْل عَيْنٍ مَالِيَّةٍ وَثِيقَةً بِدَيْنٍ يُسْتَوْفَى مِنْهَا أَوْ مِنْ ثَمَنِهَا إِذَا تَعَذَّرَ الْوَفَاءُ

Maksudnya: Menjadikan sesuatu yang berbentuk harta sebagai perjanjian (jaminan) hutang bagi melangsaikannya atau daripada nilainya apabila berlaku kesukaran untuk menjelaskannya [1]

Nabi SAW juga pernah melakukan cagaran baju besinya kepada seorang yahudi dan ini menunjukkan tentang keharusan untuk melakukannya. Perkara ini diceritakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا إِلَى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW pernah membeli makanan secara tangguh daripada seorang yahudi dengan mencagar baju besinya

Riwayat al-Bukhari (2509)

Zakat emas dan perak wajib dikeluarkan oleh setiap individu muslim yang merdeka apabila memilikinya dengan pemilikan yang sempurna, mencapai nisab dan mencukupi tempoh seperti yang telah ditetapkan syarak.[2]

Begitu juga dalam permasalahan cagaran emas atau perak, pencagar wajib mengeluarkan zakat apabila sudah memenuhi syarat-syaratnya. Ini kerana emas dan perak yang dicagarnya itu masih lagi hak milik sempurna bagi pencagarnya. Imam al-Nawawi menyebut tentang perkara ini di dalam kitabnya:

لَوْ رَهَنَ مَاشِيَةً أَوْ غَيْرَهَا مِنْ أَمْوَالِ الزَّكَاةِ وَحَالَ الْحَوْلُ فَطَرِيقَانِ الْمَذْهَبُ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ وُجُوبُ الزَّكَاةِ لِتَمَامِ الملك

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu mencagar haiwan ternakan atau sesuatu harta zakat yang selainnya, apabila cukup haul maka terdapat dua jalan periwayatan di dalam mazhab, menurut pandangan jumhur ulama, wajib dikeluarkan zakat atas sebab pemilikan sempurna.[3]

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi menyatakan di dalam karyanya, al-Rahnu atau cagaran hanya berlaku dalam transaksi hutang. Oleh itu, dalam mazhab al-Syafi’i hutang tidak menghalang kewajipan mengeluarkan zakat.[4]

Oleh itu berdasarkan kepada perbincangan di atas, emas yang dicagar atau digadai wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup nisabnya (kadar yang diwajibkan zakat) mengikut perkiraan yang ditentukan oleh pejabat zakat negeri dan telah mencapai haul (tempoh setahun).

[1] Wizarah al-Auqaf wa Syuun al-Islamiyyah, al-Maus’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Kuwait: Dar al-Salasil, 1427) 23/175

[2] Abu Bakr bin Muhammad bin ‘Abdul Mu’min al-Husaini al-Hisni, Kifayah al-Akhyar fi Hal Ghayah al-Ikhtisar. (Damsyik: Dar al-Khair, 1994) hlm.171

[3] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Bairut: Dar al-Fikr, t.t) 5/343

[4] Ibid., 5/471

وَالرَّهْنُ لَا يَكُونُ إلَّا بِدَيْنٍ وَفِي كَوْنِ الدَّيْنِ مَانِعًا لِوُجُوبِ الزَّكَاةِ قَوْلَانِ سَبَقَا هُنَاكَ (الْأَصَحُّ) الْجَدِيدُ لَا يَمْنَعُ فَإِنْ قُلْنَا الرَّهْنُ لَا يَمْنَعُ الزَّكَاةَ وَقُلْنَا الدَّيْنُ لَا يَمْنَعُهَا أَوْ يمنعها وكان له مال آخر بقى بِالدَّيْنِ وَجَبَتْ الزَّكَاةُ وَإِلَّا فَلَا

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.