Aplikasi Smart Selangor Parking Dapat Sambutan Umum

SHAH ALAM, 7 JULAI 2022 – Penerimaan penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) dalam kalangan penduduk Selangor semakin mendapat sambutan menjelang suku ketiga tahun 2022. Sehingga Julai tahun ini, lebih dari 2 juta pengguna telah muat turun aplikasi (SSP) dan peningkatan jumlah pengguna baharu menunjukkan penerimaan masyarakat kepada penggunaan aplikasi ini telah berkembang. 

Menurut Ketua Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), En. Mazlan Bin Mahadi, peningkatan pengguna aplikasi tersebut dilihat semakin bertambah apabila SSDU telah melaksanakan kempen pemberian kredit percuma kepada pengguna baharu sepanjang Program Jelajah Selangor Penyayang anjuran Kerajaan Negeri Selangor. 

“Masyarakat dilihat semakin menerima penggunaan aplikasi digital kerana ia lebih memudahkan mereka dalam menguruskan urusan harian. Selain membantu dalam pembayaran tapak parkir pengguna, aplikasi tersebut juga menunjukkan aras kemajuan yang baik kepada Negeri Selangor yang mahu menjadikan negeri ini sebagai negeri pintar berdaya huni di ASEAN menjelang tahun 2025. 

Berbaki dua lagi lokasi jelajah yang akan berlangsung pada Julai ini, SSDU menganggarkan bilangan pengunjung yang akan memuat turun aplikasi ini akan bertambah berikutan lokasi yang amat strategik dengan kepadatan penduduk. Dua lokasi jelajah seterusnya bertempat di Dataran Boulevard, Laman MBPJ Petaling Jaya pada 23 Julai, manakala yang terakhir akan berlangsung di Padang Awam Batu Caves Gombak pada 31 Julai 2022. 

Sebelum ini pengguna perlu membeli kupon di lokasi tertentu untuk melakukan pembayaran parkir kereta. Keadaan ini dilihat agak menyukarkan kerana tidak semua kedai dan juga wakil jualan berada di satu kawasan apabila pengguna memerlukan kupon untuk pembayaran parkir kereta. 

Selepas pembayaran parkir kereta secara digital sepenuhnya dilaksanakan bermula 1 April 2022, bukan sahaja dapat memudahkan pengguna untuk bayar parkir kereta, bahkan turut mengurangkan jumlah penjimatan kertas sehingga hampir 150 kilogram. 

Tambahan lagi, selain dari memperkasakan aplikasi Smart Selangor Parking, SSDU juga telah membina aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat), sebuah platform pembayaran atas talian melibatkan perkhidmatan permohonan lesen, kompaun dan cukai taksiran di lapan PBT di Selangor. 

Kedua aplikasi ini boleh dimuat turun di Apple Appstore bagi pengguna peranti IOS dan juga Google Play Store bagi pengguna peranti Android. 

Previous ArticleNext Article

Audi Q7 S line Baharu – Kini Dibuka Untuk Tempahan

  • SUV 7 tempat duduk flagship Audi kini ditawarkan pada harga anggaran bermula  RM469,000 hingga RM489,000
  • Merupakan model SUV Audi pemasangan tempatan yang pertama di Malaysia dan Asia  Tenggara
  • Menggunakan rangkaian kuasa 3.0TFSI V6 MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) dan  sistem pacuan semua roda sepanjang masa quattro  

KUALA LUMPUR, 10 April 2025 – PHS Automotive Malaysia (PHSAM), pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia hari ini mengukuhkan keberadaannya dalam segmen premium SUV mewah pada tahun 2025 menerusi pengenalan Audi Q7 flagship pemasangan tempatan. Q7 baharu dijangka berada di pasaran pada bulan Mei dan bakal ditawarkan pada harga RM469,000 dan RM489,000. 

SUV flagship ini tampil atletik menerusi garis badan yang berani dan kemasan S line yang meningkatkan lagi  gayaan luaran serta dalamannya. Hadir sebagai ciri standard, ‘Black Styling Package Plus’ pasti akan  menyerlahkan lagi penampilan luaran Q7. 

Rekaan Luaran 

Penampilan luaran Q7 didefinisikan oleh gayaan S line yang merangkumi rekaan bampar hadapan dan belakang tersendiri, serta skirting sisi yang menyerlahkan lagi karakternya yang sporty. Dengan ‘Black Styling Package Plus’, penampilan Q7 yang atletik ditingkatkan melalui penggunaan Audi Singleframe dan lencana Q7. Logo Audi di hadapan dan belakang pula hadir dalam warna kelabu (anthracite grey). Spoiler belakang dan rim Audi Sports 5-V-spoke bersaiz 22 inci itu menyerlahkan gaya yang begitu agresif. 

Sebagai sebuah jentera yang canggih, Q7 dilengkapi lampu utama HD Matrix LED baharu yang terdiri daripada  Audi Laser Light dan Digital OLED pada lampu belakang untuk meningkatkan gaya dan keberadaannya. 

Q7 menggunakan enjin petrol TFSI V6 bersesaran 3.0 liter yang mampu menjana kuasa sehingga 250 kW (340  PS) dan tork 500Nm. Sistem MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) menggunakan teknologi 48V untuk  meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan emisi. 

Rangkaian kuasa ini membolehkan Q7 memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat, dengan pecutan  maksimum mencecah 250km/j. Kuasa tersebut disalurkan menerusi transmisi Triptronic 8 kelajuan dengan  agihan pintar ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda sepanjang masa quattro. 

Ciri Audi Drive Select membolehkan pemandu memilih tujuh mod berbeza untuk mengoptimumkan prestasi di  atas pelbagai permukaan jalan raya.

Keselesaan dan Keselamatan yang Terbaik 

Q7 mendefinisikan kembali aspek keselesaan menerusi penggunaan sistem suspensi udara adaptif (Adaptive  Air Suspension Sport). Ia berfungsi mengubah suai ketinggian dan tahap keselesaan suspensi berdasarkan  kepada mod pemanduan yang dipilih. Ciri All-Wheel Steering pula meningkatkan aspek pergerakan dengan  membuatkan urusan memarkir kenderaan menjadi lebih mudah. 

Sama seperti semua kenderaan Audi, Q7 dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan yang direka bagi  memastikan pemandu sentiasa peka dengan kondisi trafik dan membantu mengelakkan daripada berlakunya  kemalangan. Antaranya termasuklah ciri Head-Up Display dan beberapa sistem keselamatan aktif seperti Audi  Pre-sense (hadapan dan belakang), Side Assist with Exit Warning, Rear Cross Traffic Assist dan Lane Departure  Warning. 

Ruang Dalaman yang Sentiasa Elegan 

Sentuhan S line di ruang dalaman Q7 termasuklah kemasan kulit Valcona pada tempat duduk Sports Seat Plus  dengan sulaman logo S, stereng kulit bersama rekaan rata di bahagian bawahnya dan paddle shifter. Pakej lampu ambien (Ambient Lighting Package Plus) menawarkan 30 pilihan warna untuk pengalaman yang lebih  personal dalam setiap perjalanan. 

Audi Q7 dengan tujuh tempat duduk direka untuk memberikan aspek kemewahan dan praktikaliti yang  seimbang, di samping ruang kaki yang luas pada semua tiga baris tempat duduknya.  

Konfigurasi tempat duduk yang versatil memastikan perubahan boleh dibuat dengan mudah untuk  memaksimumkan ruang kargo jika perlu. Tempat duduk baris kedua boleh dibaringkan. Manakala tempat  duduk baris ketiga boleh menempatkan dua orang penumpang dan boleh diakses dengan mudah apabila kerusi  baris kedua ditolak ke hadapan. 

Q7 mempunyai ciri Power Latching Doors yang mudah untuk dikunci – terima kasih kepada penutup berkuasa  yang berfungsi menarik daun pintu jika ia tidak ditutup dengan sempurna. Ini membolehkan pintu dikunci  dengan senyap secara automatik dan menawarkan pengalaman yang lebih premium. 

Ciri-ciri standard lain termasuklah fungsi urutan pada kerusi hadapan, pendingin hawa 4 zon, pad pengecasan  tanpa wayar, pintu but boleh dibuka dengan pergerakan kaki dan sistem bunyi premium 3D Bang & Olufsen. 

Empat warna luaran ditawarkan – putih (Glacier White), biru (Waitomo Blue) dan hitam (Mythos Black)  merupakan pilihan warna metalik, manakala warna kelabu (Daytona Grey) hadir dengan kemasan mutiara. 

“Audi Q7 merupakan SUV pertama yang diperkenalkan oleh Audi 20 tahun lalu dan ia kekal menjadi penanda  aras dalam segmen SUV premium mewah. Sebagai model pemasangan tempatan, ia akan ditawarkan pada  harga yang kompetif, selain meluaskan portfolio model dan mengukuhkan keberadaan kami di pasaran  Malaysia. Kuasa yang lebih mantap dan pengendalian lancar Q7 bukan sahaja boleh dilihat, malah boleh dirasai  sendiri oleh pemandunya,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Denyu Bostandzhiev. 

Maklumat lanjut mengenai Audi Q7 baharu, sila layari laman web www.audi.com.my atau kunjungi mana-mana  pengedar Audi yang sah.