Pelaburan Emas Vs Hartanah : Mana Lebih Baik?

Emas dan hartanah merupakan aset yang memberikan keuntungan kepada pemiliknya. Namun, antara dua aset ini manakah yang lebih baik? Bagi pandangan sesetengah individu, kedua-duanya tidak boleh dibezakan disebabkan oleh keistimewaan dan kelebihannya yang tersendiri.

Tidak dinafikan, pelaburan mampu memberikan pulangan yang besar tetapi ianya juga bergantung kepada syarat mengikut modal yang dikeluarkan. Berikut merupakan perbezaanantara pelaburan emas dan juga hartanah.

Pelaburan Emas

1. Modal kecil lebih kurang dalam RM100

2. Mudah untuk dicairkan dengan cara membawa emas ke kedai pajak gadai dan mendapat duit dengan kadar segera

3. Laku di seluruh pelusuk dunia

4. Berisiko kepada kecurian, rompakan, juga bencana alam.

5. Memberikan keuntungan yang besar dalam tempoh setahun

Konsep mudah dalam pelaburan emas adalah dengan cara beli ketika harga emas sedang turun, kemudian simpan, seterusnya barulah dijual ketika harga emas sedang naik.

Emas juga tidak perlu dijual jika anda memerlukan duit dalam kadar segera namun anda hanya boleh pajak emas tersebut seperti di Ar-Rahnu Bank Rakyat atupun di Agro Bank. Untuk pengetahuan anda, kesemua pelaburan emas ini, spreadnya adalah rendah, oleh yang demikian anda tetap mendapat keuntungan walaupun harga emas naik dan turun.

Pelaburan Hartanah

1. Memerlukan modal permulaan dengan jumlah yang besar

2. Wajib memilih lokasi strategik bagi menarik minat orang untuk disewakan.

3. Memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda jika digunakan sebagai sewaan ataupun dibuat sublet.

4. Pelaburan yang sukar untuk dicairkan dan memerlukan masa untuk menunggu orang beli hartanah tersebut.

5. Berkemungkinan besar bakal mengalami kerugian ketika terdesak memerlukan wang dalam tempoh masa segera dengan penjualan hartanah melalui kadar harga yang murah

6. Perlu penyelenggaraan yang kerap dan termasuk sebagai kos tambahan.

7. Berisiko bencana seperti banjir, kebakaran dan sebagainya.

Anda yang memilih untuk melakukan pelaburan hartanah perlu lebih cekap dalam membuat perancangan dengan kemahiran yang tinggi. Anda juga turut perlu mengeluarkan modal yang tinggi dalam pelaburan hartanah.

Jika anda memilih untuk mendapatkan hartanah secara lelong, terlebih dahulu ianya memerlukan satu tempoh masa yang panjang untuk proses ini selesai dan berisiko hartanah tersebut akan dilelong semula ataupun perlu dibeli secara tunai sekiranya pinjaman gagal dalam tempoh yang ditetapkan.

Tidak kira apa jenis pelaburan yang kita ingin mulakan, segalanya mempunyai risiko yang tersendiri. Lain padang, lain belalang. Lain orang, lain objektifnya. Ukurlah baju di badan sendiri dan melabur mengikut kemampuan ilmu dan kewangan setiap individu.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pos Malaysia Memperkenalkan Pos ArRahnu Gold-i, Platform Simpanan Emas Patuh Syariah Bermula Serendah RM10

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 –Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Syarikat”) hari ini melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10 menerusi platform yang mudah dan selamat.

Majlis pelancaran diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Dayabumi, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh Encik Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, bersama-sama Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn Bhd, dan Encik Hong Kok Wah, Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd. Turut hadir ialah wakil daripada Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pasukan Pengurusan Kanan Pos Malaysia, wakil media serta tokoh berpengaruh (key opinion leaders).

Dilancarkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn Bhd, Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan runcit dan digital Pos Malaysia yang dipercayai dengan kepakaran emas Go Capital Growth, sekali gus memberikan pelanggan cara yang praktikal dan mudah diakses untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, emas kekal sebagai simpanan kekayaan yang bernilai. Pos ArRahnu Gold-i menyahut permintaan ini dengan menjadikan pelaburan emas lebih mudah dimulakan bagi penyimpan kali pertama, golongan belia yang bekerja, keluarga dan pelanggan B40.

“Emas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia, melambangkan keselamatan, kestabilan dan sesuatu yang boleh dibina serta diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” kata Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

“Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, kami memudahkan pelanggan untuk memulakan simpanan secara kecil-kecilan dan membina simpanan mereka dengan cara yang mudah serta berpatutan. Dengan titik permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina jaminan kewangan jangka panjang menerusi perkhidmatan dan rangkaian yang telah pun mereka kenali.”

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Pos Malaysia dan Pos ArRahnu sebagai pembekal dipercayai bagi emas tempaan premium dan platform emas digital untuk Pos ArRahnu Gold-i. Komitmen kami adalah untuk sentiasa menyediakan produk emas fizikal yang memenuhi piawaian kebangsaan yang diiktiraf, termasuk SIRIM MS1247 dan NMIM. Emas bukan sekadar logam berharga; ia merupakan warisan kepercayaan, ketahanan dan nilai yang berkekalan. Menerusi kerjasama ini, kami berbangga dapat menyokong Pos Malaysia dalam menjadikan warisan itu lebih mudah diakses, berkualiti tinggi dan boleh dipercayai, sekali gus membantu membentuk masa depan kewangan yang lebih kukuh untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth.

Memperluas Akses kepada Simpanan Emas

Berteraskan lebih 200 tahun kepercayaan dan jangkauan seluruh negara, Pos Malaysia terus memperluas perkhidmatannya melangkaui tawaran pos dan logistik tradisional bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah menerusi penyelesaian yang mudah, praktikal dan bernilai tambah.

Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan nasional Pos Malaysia dengan jaminan emas yang diiktiraf, titik permulaan yang rendah serta fleksibiliti untuk membeli, menjual atau menukar emas menerusi saluran digital atau cawangan Pos ArRahnu di seluruh Malaysia.

Memudahkan Simpanan Emas

Pos ArRahnu Gold-i menawarkan pelbagai kelebihan yang memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mula menyimpan dan memiliki emas dengan mudah:

  • Mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10.
  • Beli, jual dan kumpul emas secara digital berdasarkan harga pasaran masa nyata.
  • Nikmati jurang harga beli dan jual emas yang rendah, antara yang terendah dalam pasaran, menjadikan simpanan emas lebih kompetitif dan mudah diakses.
  • Tukar emas digital kepada emas fizikal atau tunai apabila diperlukan.
  • Jejak, beli dan urus pegangan emas menerusi platform digital mesra pengguna (posarrahnugold.ace2u.com) dengan paparan portfolio masa nyata.
  • Nikmati had belian semula (buyback threshold) yang fleksibel bermula daripada 0.5g.
  • Akses kepada platform yang patuh Syariah sepenuhnya, disokong oleh pentauliahan dan pengesahan yang diiktiraf.

Emas yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i disokong oleh pentauliahan dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM dan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), memberikan jaminan yang lebih tinggi terhadap ketulenan, kualiti dan ketelusan.

Sempena pelancaran ini, Pos ArRahnu turut memperkenalkan produk emas pilihan, termasuk jongkong emas edisi khas “Pos World” 1g, yang dihadkan kepada 500 keping sahaja dan boleh diperoleh bersama-sama produk lain di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

Menyokong Rangkuman Kewangan yang Lebih Meluas

Bagi Pos Malaysia, rangkuman kewangan (financial inclusion) bermakna menjadikan penyelesaian yang praktikal dan dipercayai lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Dengan lebih sedekad pengalaman berkaitan emas menerusi Pos ArRahnu, Syarikat menggabungkan kemudahan digital, jaminan yang diiktiraf serta akses patuh Syariah dalam satu penyelesaian yang fleksibel.

Menerusi gabungan tradisi dan teknologi, perkhidmatan ini bertujuan membantu pelanggan membina tabiat menyimpan yang sihat dan mengukuhkan masa depan kewangan mereka.

Pos ArRahnu Gold-i tersedia mulai 13 Julai 2026 di outlet Pos ArRahnu yang mengambil bahagian di seluruh negara serta menerusi perkhidmatan digitalnya. Pelanggan yang berminat untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka boleh melayari posarrahnugold.ace2u.com, mendaftar, melengkapkan eKYC dengan mengimbas kad pengenalan, dan membeli emas serendah RM10 terus menerusi laman web tersebut. Pelanggan digalakkan untuk menyemak terma produk sebelum menyertainya, memandangkan harga emas tertakluk kepada pergerakan pasaran.

Berpandukan matlamatnya untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang, Pos Malaysia terus mencipta akses, keyakinan dan peluang yang lebih luas untuk komuniti yang dilayaninya.

Ikuti perkembangan Pos Malaysia menerusi www.pos.com.my atau saluran media sosial kami di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan LinkedIn.