Public Gold syarikat Malaysia pertama jadi ahli antarabangsa Shanghai Gold Exchange

KUALA LUMPUR: Syarikat logam berharga bersepadu, Public Gold Group berjaya menjadi ahli antarabangsa dalam Shanghai Gold Exchange (SGE) iaitu satu platform perdagangan emas yang paling berpengaruh di dunia.

Ini menjadikan Public Gold sebagai syarikat Malaysia pertama yang memperoleh pencapaian berkenaan.

Pencapaian bersejarah ini meletakkan kedudukan Public Gold di barisan hadapan dalam industri logam berharga ASEAN sekali gus memberikan akses langsung kepada rangkaian perdagangan global SGE, infrastruktur penghantaran fizikal dan kontrak emas yang dinilai dalam yuan Renminbi.

Syarikat itu berkata, penyertaan ini juga membolehkannya memperoleh serta menghantar emas melalui rangkaian peti simpanan antarabangsa SGE dengan lokasi strategik di Shanghai, Shenzhen dan Hong Kong.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Louis Ng, berkata menyertai SGE bukan sekadar pencapaian perniagaan tetapi ia juga merupakan langkah strategik bagi menghubungkan Malaysia secara langsung dengan pasaran emas terpenting di dunia.

“Dengan kehadiran yang semakin berkembang di Dubai, India, London dan seterusnya, Public Gold bersedia untuk membina rangkaian global yang benar-benar memberi manfaat kepada pelanggan kami serta industri emas Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada keanggotaan SGE, Public Gold kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh keahlian dengan India International Bullion Exchange (IIBX) dan akan memasuki pasaran London, seterusnya memperluas jangkauannya ke satu daripada pusat perdagangan emas terbesar dan paling kukuh di dunia.

“Dengan kehadirannya di Dubai iaitu pusat perdagangan emas utama di Asia Barat, Public Gold kini dapat menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan kerjasamanya di seluruh Asia, Timur Tengah dan tidak lama lagi, Eropah,” kata Public Gold.

Sebagai ahli Persatuan Emas Malaysia dan Singapore Bullion Market Association, Public Gold berhasrat memperkukuhkan peranan Malaysia dalam perdagangan logam berharga global sebagai sebuah syarikat yang bersepadu sepenuhnya.

Ia juga disasarkan beroperasi merentasi seluruh rantaian nilai emas iaitu daripada perdagangan emas borong hingga produk simpanan runcit, penyelesaian penyimpanan dan tawaran emas yang mematuhi prinsip Syariah.

Syarikat itu berkata, peluasan ke dalam SGE, IIBX, dan London mencerminkan komitmennya untuk meningkatkan kecekapan sumber melalui penyertaan langsung dalam pasaran emas utama dunia sambil memperluas peluang eksport produk emas Malaysia ke China, India, Asia Barat dan Eropah.

-BERNAMA

Baca lagi Perbandingan Simpan Emas dalam MIGA-i dan Public Gold

Previous Article

Boleh Beli Jual (Trade) Emas Macam Saham?

GOLDETF: Emas Digital Patuh Syariah di Bursa Malaysia

Ramai yang suka trading saham pun tak perasan yang sekarang dah boleh “trade emas” terus di Bursa Malaysia, sama seperti beli saham biasa. Tak perlu buka akaun khas, tak perlu simpan jongkong emas dalam peti besi. Cukup guna akaun trading sedia ada dan cari kod GOLDETF (TradePlus Shariah Gold Tracker).

Bila harga emas tengah menaik (bullish momentum), ETF emas bagi peluang: masuk ikut setup kau sendiri: breakouts, pullbacks atau DCA. Semuanya boleh di-chart real‑time.

Ramai trader XAUUSD suka “trade gold” melalui platform CFD (Contract for Difference) macam MetaTrader, Exness, IC Markets. Masalahnya, instrumen CFD tidak patuh Syariah.

Sekejap, Apa Itu ETF?

ETF (Exchange-Traded Fund) ialah dana yang mengumpulkan duit pelabur untuk membeli aset tertentu seperti emas atau indeks saham. Ia diniagakan seperti saham di Bursa Malaysia sebab harga bergerak sepanjang hari dan boleh dibeli atau dijual melalui akaun trading biasa. Objektif ETF adalah untuk menjejak (track) prestasi sesuatu indeks atau komoditi, bukan memilih saham secara aktif.

Kos pengurusan ETF biasanya lebih rendah berbanding unit trust, walaupun masih ada caj kecil.

GOLDETF: Emas Digital Patuh Syariah di Bursa Malaysia

ETF emas dianggap sebagai ’emas digital’ kerana ia mengikuti harga emas dunia, tetapi diniagakan di Bursa Malaysia. Ini bermaksud pelabur boleh membeli dan menjual unit ETF ini sama seperti membeli saham menggunakan akaun trading biasa. Jika anda mencari pelaburan yang senang diurus, patuh Syariah, dan tidak perlu simpan emas fizikal, TradePlus Shariah Gold Tracker (GOLDETF) ialah pilihan menarik untuk dipertimbangkan.

Sejak Januari hingga kini, ETF emas ini telah mencatatkan kenaikan sekitar +26% sebelum mengambil kira kos dan yuran pengurusan.

Kelebihan

  • Tidak perlu menyimpan emas fizikal (tiada risiko kehilangan atau kos storan).
  • Boleh dijual bila-bila masa pasaran dibuka — seperti saham.
  • Patuh Syariah, sesuai untuk pelabur Islam.
  • Kos pengurusan lebih rendah berbanding unit trust aktif.

Risiko

  • Risiko kadar pertukaran mata wang USD kerana harga emas global ditetapkan dalam USD.
  • Untuk penebusan emas fizikal, terdapat syarat minimum dan kos logistik serta insurans yang perlu ditanggung pelabur.
  • Harga emas sangat dipengaruhi oleh faktor global seperti inflasi, kadar faedah, dan geopolitik.

Kesimpulan

Jika anda mahu pendedahan kepada pelaburan emas tanpa perlu memegang emas fizikal, GOLDETF ialah pilihan yang mudah dan patuh Syariah. Namun seperti biasa, pelaburan yang bijak bermula dengan ilmu, bukan kerana FOMO.

Disclaimer

Artikel ini bertujuan untuk pendidikan dan maklumat umum sahaja. Ia bukan nasihat kewangan atau pelaburan. Prestasi masa lalu tidak menjamin prestasi masa hadapan. Sila buat penilaian sendiri atau rujuk penasihat pelaburan bertauliah sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Sumber rujukan utama: laman rasmi TradePlus, Bursa Malaysia dan prospektus GOLDETF. Maklumat prestasi (26% YTD) adalah berdasarkan data semasa diakses dan tertakluk kepada perubahan pasaran.