Pelaburan Bon Dan Sukuk Serendah RM1,000

Ketika keadaan ekonomi dan pasaran saham berada pada keadaan yang tidak memberangsangkan, kita pasti lebih cenderung untuk mencari jenis pelaburan yang lebih selamat dengan mengurangkan risiko pelaburan kita.

Seperti yang kita ketahui, pelaburan yang mempunyai risiko rendah adalah pelaburan dalam kelas aset berpendapatan tetap seperti bon dan sukuk. Namun, bagaimana jika kita mempunyai modal kecil tetapi ingin melabur dalam bon atau sukuk?

Tapi sebelum itu, apa itu bon dan sukuk?

Apa Itu Bon?

Bon terletak di bawah jenis pelaburan berpendapatan tetap. Ini bermaksud keuntungan yang diperoleh pelabur telah ditetapkan di awal pelaburan dan ianya tidak akan berubah sepanjang tempoh pelaburan dan sukar untuk terdedah kepada risiko sentimen.

Secara ringkasnya, pelaburan bon ini adalah seperti kita memberi pinjaman kepada penerbit bon yang terdiri sama ada dari kerajaan negara itu sendiri atau pun syarikat. Pelaburan dalam bon boleh memperoleh keuntungan melalui dua cara iaitu melalui pembayaran kupon dan juga kenaikan harga bon tersebut.

Apa Pula Sukuk?

Sukuk adalah satu sijil kewangan Islam yang mengambil konsep sama seperti bon dalam kewangan Barat. Sukuk yang dikeluarkan perlu mematuhi undang-undang agama Islam yang dikenali sebagai Syariah.

Sekarang kita dah tahu apa itu bon dan sukuk, jom kita tengok pula apa pilihan yang ada untuk pelabur runcit macam kita.

Exchange Traded Bond And Sukuk (ETBS)

Exchange Traded Bond and Sukuk atau secara singkatnya digelar ETBS adalah bon atau sukuk yang diniagakan di Bursa Malaysia dengan pecahan yang lebih kecil. Dengan wujudnya ETBS ini, bererti pelaburan aset berpendapatan tetap tidak semestinya memerlukan modal yang tinggi.

Dengan modal serendah RM1,000 tidak termasuk kos transaksi, kita boleh membuat pelaburan dalam kelas aset tersebut. Dengan menggunakan akaun CDS yang sedia ada, kita boleh membuat pembelian dan penjualan ETBS sama seperti pembelian dan penjualan saham di Bursa Malaysia.

Di antara contoh ETBS yang kita boleh lihat di Bursa Malaysia adalah DanaInfra Nasional. DanaInfra Nasional (DIN040000223) dijual sekitar harga RM103 seunit dengan pembelian minimum sebanyak 1 lot yang bersamaan dengan 10 unit. Bon ini diterbitkan pada Februari 2013 dan mempunyai tempoh matang sehingga Februari 2023.

Bon ini memberikan keuntungan sebanyak 4% setahun dan dibayar melalui dua kali pembayaran iaitu pada bulan Januari dan Julai. Sekiranya kita membuat keputusan untuk menjual pegangan tersebut sebelum tempoh matang, kita boleh terus membuat jualan seperti mana kita menjual pegangan saham.

Secara ringkasnya, pelaburan melalui ETBS ini adalah sama seperti pelaburan dalam bon yang bernilai besar tetapi yang membezakannya adalah kita boleh melabur dengan menggunakan modal yang lebih kecil.

Pelaburan melalui ETBS ini mungkin dapat mengurangkan risiko terhadap volatility harga terhadap sentimen-sentimen pasaran. Namun begitu, kita perlu mengambil kira isu liquidity (kecairan) jika ingin membuat pelaburan di ETBS kerana tahap kecairannya tidak sama seperti saham.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

SC Keluar Nota Panduan mengenai Sukuk untuk Memperkukuh Penjajaran dengan Maqasid al-Syariah

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Nota Panduan mengenai Sukuk:

Penjajaran dengan Panduan Maqasid Al-Syariah Pasaran Modal Islam Malaysia (Nota Panduan), bagi memperkukuh penjajaran penerbitan sukuk dengan Maqasid al-Syariah.

Nota Panduan ini merupakan inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 yang menyokong pembangunan produk berasaskan etika serta pertumbuhan berterusan pasaran modal Islam Malaysia.

Walaupun rangka kerja sedia ada memastikan pematuhan Syariah, Nota Panduan ini bertujuan memacu penilaian yang lebih holistik terhadap penerbitan sukuk dengan memberi panduan kepada penasihat Syariah untuk turut mempertimbangkan penciptaan nilai yang lebih menyeluruh, termasuk penjajaran dengan objektif strategik penerbit serta impak ekonomi dan sosial.

Nota Panduan ini menggariskan skop, kebolehgunaan dan pertimbangan utama dalam mengaplikasikan Panduan Maqasid Al-Syariah Pasaran Modal Islam Malaysia (Panduan Maqasid) dalam ekosistem sukuk, termasuk peranan penasihat Syariah dan penerbit sukuk.

Ia turut menyediakan petunjuk ilustratif dan soalan panduan yang berstruktur merangkumi enam aspirasi utama dan 15 prinsip teras di bawah Panduan Maqasid, yang meliputi aspek seperti penggunaan hasil terbitan, penstrukturan sukuk, tadbir urus, pendedahan maklumat dan keterangkuman. Di samping itu, Nota Panduan ini turut mengetengahkan ilustrasi praktikal penerbitan sukuk bagi menunjukkan bagaimana penjajaran dengan Maqasid al-Syariah boleh dinilai dan dihuraikan bila dipraktikkan.

SC menggalakkan penasihat Syariah dan penerbit sukuk untuk menerapkan pertimbangan  Panduan Maqasid dalam penstrukturan sukuk, penggunaan hasil terbitan serta pendedahan maklumat yang berkaitan, di samping terus mematuhi semua keperluan Syariah yang berkaitan. Ini termasuk keputusan Majlis Penasihat Syariah SC dan garis panduan lain yang berkaitan.

Maklumat lanjut mengenai Nota Panduan boleh didapati di sini: https://www.sc.com.my/regulation/guidance-notes-and-guiding-principles