5 Cara Nak Tanggung Anak Di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kalau Tiada Simpanan

Kos untuk menyara pengajian di institusi pengajian tinggi adalah sangat mahal terutamanya kalau menyambung di pusat pengajian swasta. Sebab itulah para ibu bapa berusaha keras untuk mengumpul duit selama bertahun-tahun untuk memastikan mereka dapat menyara anak mereka untuk menyambung pengajian di peringkat yang tertinggi.

Tetapi, bukan semua ibu bapa mampu untuk menyediakan simpanan ini. Ada yang mempunyai masalah sehingga tidak dapat menyediakan wang simpanan untuk pengajian anak mereka.

Kalau tak ada simpanan, macam mana nak menyara kos pengajian mereka di universiti? Adakah anak-anak ini terpaksa melupakan cita-cita mereka untuk menggenggam ijazah?

Berikut merupakan beberapa cara yang boleh digunakan untuk memastikan impian ke menara gading tetap tercapai.

1. Biasiswa

Ini merupakan cara yang paling biasa kita dengar. Kebanyakan pelajar akan cuba memohon untuk mendapatkan bantuan biasiswa sebagai salah satu alternatif untuk membiayai pengajian meraka.

Paling best, penerima biasiswa tidak perlu membayar kembali jumlah bantuan yang mereka terima.

Tetapi, bukan semua pelajar berpeluang mendapat biasiswa. Ada kriteria tertentu yang akan dinilai seperti pencapaian akademik, kokurikulum, kepimpinan dan sebagainya.

Penerima juga perlu bersedia dengan syarat yang diberikan oleh pemberi seperti CGPA minima yang perlu diperoleh, perjanjian untuk bekerja dengan organisasi pemberi dan sebagainya.

Terdapat banyak biasiswa ditawarkan oleh pelbagai badan kerajaan, organisasi swasta, NGO dan sebagainya. Walaupun persaingan untuk mendapatkan biasiswa adalah tinggi, tapi kita masih boleh mencuba.

Mana tahu anak kita layak dan rezeki berpihak kepada anak kita?

2. Geran

Sama juga seperti biasiswa, cuma geran akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan seperti pelajar miskin. Biasiswa pula boleh diberikan kepada sesiapa sahaja asalkan mempunyai pencapaian akademik yang tinggi dan juga aktiviti kakurikulum.

Geran juga boleh diberikan kepada mereka yang mempunyai kebolehan tertentu seperti aktif bersukan atau mereka yang aktif dalam projek komuniti.

3. Dermasiswa (Bursary)

Ini merupakan hadiah dalam bentuk kewangan kepada pelajar cemerlang tanpa mengira latar belakang keluarga. Bursary juga tidak perlu dibayar balik.

Tapi sama seperti biasiswa, geran atau dermasiswa ini; kena pastikan anak kita tamatkan pelajaran dalam tempoh yang ditetapkan. Kalau tidak, berkemungkinan besar kena bayar balik.

4. Pengecualian / Diskaun Pengajian

Kalau nak tahu, IPT turut menyediakan pengecualian atau pemotongan yuran kepada pelajar mereka mengikut merit. Contohnya kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian yang baik dalam pelajaran, sukan serta kepimpinan. Ia boleh diberikan sebelum atau semasa program pengajian.

Pelajar boleh mendapat pemotongan sehingga 25% atau pengecualian sepenuhnya sepanjang pengajian. Tetapi selalunya pihak IPT akan memberikan pemotongan ini pada setiap semester untuk memastikan penerima mengekalkan CGPA mereka.

5. PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional)

Ini merupakan alternatif yang selalu diambil oleh kebanyakan pelajar sekiranya tidak mendapat mana-mana peluang di atas. Di Malaysia, kita mempunyai badan khas yang memberikan pinjaman pendidikan kepada pelajar iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Walaupun ia bermula sebagai satu bentuk pinjaman, tetapi pelajar kini berpeluang menukarkan pinjaman ini kepada biasiswa. Seperti biasa, pelajar perlu menunjukkan pencapaian akademik yang sangat baik sepanjang berada di IPT.

Walau bagaimanapun, adalah merupakan tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan pendidikan anak-anak terjaga. Buatlah yang termampu demi masa depan yang lebih cerah untuk mereka.

Sumber Rujukan: MyPF

Jom belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:

1. Aliran tunai
2. Pengurusan aset dan hutang
3. Simpanan
4. Perlindungan
5. Pelaburan
6. Penyucian
7. Pewarisan

Sebagai pengguna, kita patut tahu fungsi dan peranan setiap produk kewangan. Ia saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dapatkan di www.bukuBMW.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings