Nak Beli Saham Mahal Ke Murah?

Pernahkah anda mengalami dilema ketika nak beli saham? Watchlist ada sehingga 10 tetapi modal pelaburan pula hanya cukup untuk membeli saham dalam kuantiti yang terhad sahaja.

Jadi timbullah dilema dalam diri tak tahu nak beli saham apa. Ditambah pula, Bursa Malaysia ada lebih dari 900 saham yang didagangkan. Daripada jumlah tersebut, 746 saham yang tersenarai adalah berstatus patuh syariah. Jika anda sedang mencari senarai saham patuh syariah di Bursa Malaysia, anda boleh dapatkan di laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Seperti yang diterangkan di atas, terdapat 746 saham patuh syariah di Bursa Malaysia. Namun, harga saham pula adalah berbeza-beza. Ada saham yang mahal, ada saham yang murah. 

Berdasarkan gambar rajah di bawah, harga sesebuah saham sering menyebabkan kita mengalami dilema ketika ingin membuat pembelian. 

Jika beli saham murah, boleh beli banyak saham. Contohnya, anda ada modal sebanyak RM1,000. Saham ‘A’ berharga RM0.10 manakala saham ‘B’ pula berharga RM1.00. 

Berdasarkan pengiraan secara kasar, jika beli saham A maka bolehlah beli sebanyak 10,000 unit. Dengan modal yang sama, hanya 1,000 unit saham B yang boleh dibeli. Melalui pengiraan ini sahaja cukup untuk membuatkan pelabur tertarik untuk memilih saham A.

Tidak dinafikan dengan saham murah, anda boleh beli saham dalam jumlah lot yang lebih besar. Namun, adakah saham murah menjanjikan keuntungan kepada anda? 

Banyak saham yang harganya menjadi terlampau murah kerana saham tersebut tidak mempunyai nilai dan penjual mula membuang saham-saham yang tidak berkualiti tersebut. 

Percaya atau tidak, saham super penny kebiasaannya tidak mempunyai fundamental yang baik. Syarikat-syarikat ini sentiasa melaporkan kerugian setiap suku tahunan. 

Daripada anda fokus mencari saham yang murah, lebih baik anda mencari saham yang sedang di bawah nilai ataupun undervalue.

Berbeza dengan saham murah, pelabur sering beranggapan saham mahal akan memberikan pulangan yang tinggi.

Saham mahal kebiasaannya terdiri daripada saham syarikat yang mempunyai fundamental yang kukuh, sentiasa mencatatkan keuntungan dan mempunyai nilai yang tinggi. Apabila sesebuah syarikat dinilaikan tinggi, maka para pelabur tidak kisah untuk terus membeli saham tersebut kerana masih berada di bawah nilai. 

Namun begitu, pelabur haruslah tahu strategi apa yang ingin digunakan untuk membeli saham yang mahal. Sebelum itu, tanya diri sendiri terlebih dahulu apakah sasaran yang ingin dicapai daripada saham mahal tersebut. Adakah capital gain atau dividen? 

Hal ini kerana, terdapat banyak saham mahal yang memberi dividen tinggi tetapi carta menunjukkan saham tersebut berada dalam fasa sideways selama bertahun-tahun lamanya. Oleh itu, saham mahal seperti ini hanya sesuai untuk pelabur yang mahukan dividen dan bukannya capital gain.

Selain itu, ada juga saham yang berada dalam jajaran uptrend dan mampu memberikan pulangan yang sangat tinggi dalam bentuk capital gain kepada pelabur. Sekiranya pelabur berminat untuk mendapatkan pulangan dalam capital gain, saham seperti ini adalah saham yang tepat. Saham mahal seperti ini pula mungkin tidak semestinya memberikan dividen yang tinggi.

Jangan risau kerana dilema dalam memilih saham adalah normal dalam kalangan pelabur baru. Bagi pelabur yang berpengalaman pula, mereka tahu saham apa yang sesuai dengan diri dan strategi mereka. 

Pelabur baru kena tahu kenapa anda beli sesuatu saham tersebut tidak kiralah saham tersebut murah ataupun mahal. Saham murah dan saham mahal kedua-duanya tetap ada risiko masing-masing. 

Ada saham mahal yang harganya boleh menjunam, ada juga saham murah yang berpotensi menyebabkan pelabur mengalami kerugian yang besar. Apabila anda bertindak dengan ilmu, maka risikonya boleh dikurangkan.

Perkara yang paling penting adalah apabila anda telah membuat kajian terhadap saham, jangan pula terikut buy call orang lain. 

Nasihat untuk semua pelabur, bertindaklah dengan ilmu.

Semoga anda menjadi pelabur yang bijak !

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.