Pelabur Baru, Sila Baca 10 Checklist Ini Sekarang

Jika anda serius nak buat duit dan berjaya di pasaran saham, hentikan mindset ‘main’ saham sekarang dan set dalam kepala untuk melabur saham. Kalau hartanah pandai pula kau sebut melabur dalam hartanah.

Bagi pelabur baru, ikut panduan yang disediakan di bawah:

1. Buka Akaun CDS

Nama penuhnya ialah Central Depository System, iaitu di mana anda mendepositkan wang tunai bagi membolehkan anda membuat jual beli saham. Nak beli, masukkan duit dan boleh beli ikut modal, dan bila dah jual, hasil penjualan tersebut masuk semula ke akaun CDS.

Kos untuk membuka akaun CDS hanyalah RM10.00, tetapi ada juga broker boleh membuatkannya secara percuma.

Di Malaysia, sehingga kini terdapat 10 broker patuh syariah seperti berikut:

  1. Affin-Hwang Investment Bank (window)
  2. AmInvestment Bank (window)
  3. BIMB Securities Sdn Bhd (full-fledged)
  4. CIMB Investment Bank (window)
  5. Hong Leong Investment Bank (window)
  6. Jupiter Securities Sdn Bhd (window)
  7. Kenanga Investment Bank (window)
  8. Malacca Securities Sdn Bhd (window)
  9. Maybank Investment Bank (window)
  10. RHB Investment Bank (window)

Kami juga syorkan anda untuk baca :
1. Perbezaan Akaun CDS Islamik dan Konvensional
2. Senarai Perbandingan Brokerage Fee Untuk Syarikat Broker Patuh Syariah Di Bursa Malaysia

2. Masukkan Duit Dekat Trading Platform

Dah buka akaun CDS dengan mana-mana bank pelaburan / broker daripada senarai di atas, langkah seterusnya adalah log masuk ke trading platform yang diberi. Broker biasanya akan emel anda maklumat username dan password selepas akaun CDS dah lulus.

Trading platform merupakan aplikasi komputer / sistem yang membolehkan anda melihat, mengkaji, membeli dan menjual saham-saham yang tersenarai di Bursa Malaysia. Boleh bertanya kepada remisier anda jika ada masalah menggunakannya

Lain broker, lain rupa bentuk trading platform – tapi asasnya tetap sama.

3. Duit Modal

Ini subjektif, ikut kemampuan. Ada yang bermodalkan 5 ribu, 10 ribu, ada 30 ribu, tak kurang juga 100 ribu.

Banyak saham syarikat di Bursa Malaysia yang didagangkan bawah RM1.00 untuk sesaham, dan minima pembelian adalah 100 unit saham atau pun dikira sebagai satu lot.

Jika kita ambil contoh sebuah syarikat yang berharga RM1.00 sesaham, ini bermakna modal permulaan hanyalah RM100 bagi membeli 1 lot saham syarikat tersebut.

Saham bawah RM1

Gambar : Contoh saham syarikat berharga bawah RM1

Kalau tak berani guna duit sendiri, boleh mulakan dengan paper trade terlebih dahulu. Buat pembelian dan penjualan secara olok-olok dan merekodkannya menggunakan sebuah jurnal.

Boleh lah tahu saham apa anda beli, tarikh, masa dan kenapa anda beli saham tersebut. Bila anda jual saham tersebut, rekodkan juga benda yang sama.

Baca juga Dah Beli Saham Olok-Olok Di BursaMarketPlace?

4. Scanner

Tahu kan di Bursa Malaysia terdapat lebih daripada 600 saham patuh syariah? Sempat ke nak tengok saham mana yang sedang menaik, saham mana yang sedang menurun, saham mana nak isytihar dividen, saham mana baru menang kontrak jutaan ringgit?

Mesti tak sempat punya lah…

Sebab tu kita perlukan scanner, iaitu sebuah aplikasi yang boleh memberitahu anda semua maklumat ini.

Ada scanner yang anda perlu bayar ratusan ringgit untuk penggunaan selama setahun, ada yang berharga ribuan ringgit juga. Boleh cuba Bursa Station atau Share Investor. Tapi ada juga yang percuma – antaranya KLSE Scanner (Bursa) & BursaMarketPlace

 5. Trading Plan

Belajar saham. Trading plan
Sumber gambar : The Protege, Asri Ahmad Academy

Dengan menggunakan scanner tadi, tibalah masa untuk anda membuat Trading Plan. Apa tu?

Trading Plan ni lah yang akan anda gunakan untuk menetapkan pada harga apa anda patut membeli sesebuah saham, pada harga apa anda patut jual selepas mencapai sasaran anda, dan pada harga apa anda patut jual bagi meminimakan kerugian.

Bila dah ada Trading Plan tu, pastikan anda ikut dan jangan mengelat pula.

Contoh jika dah set target nak untung 10% dalam masa seminggu tu, sila jual jika ia mencapai target tersebut – jangan tunggu lama-lama takut harganya turun semula dan akhirnya anda tidak untung apa-apa.

Baca lagi Anda Wajib Ada Trading Plan Sebelum Membeli Apa-Apa Pun Saham

6. Persediaan Emosi

Boleh dikatakan perkara inilah yang paling ramai orang gagal.

Ramai yang terlalu mengikut emosi apabila membuat pelaburan saham. Bila dah rugi, tak reti nak Stop Loss (jual pada harga anda sanggup rugi).

Bila dah capai sasaran untung atau melepasinya, tak reti pula nak jual; simpan lagi kot-kot naik harganya.

Itulah pentingnya anda mengikut trading plan yang rasional, supaya anda ada garis panduan yang kukuh. Dan bukan setiap hari merupakan hari yang baik untuk membeli atau menjual, kadang-kadang anda perlu juga menjadi pemerhati.

 7. Ilmu

Belajar saham bersama Tn Hj Asri

Senang ke senang ilmu pelaburan saham ni? Ada yang masuk-masuk je terus kaya tak?

Jawapannya, tanpa ilmu tak ke mana jua. Apa pun ilmu tersebut, tanpa bahan bacaan yang betul, guru yang mengajar dan tahap penghadaman ilmu yang baik, ada wang sejuta pun belum tentu boleh gandakan duit tu.

Tapi kalau ada ilmu, duit RM 10 ribu pun boleh dikembangkan menjadi sejuta dalam tempoh 20-30 tahun akan datang.

8. Banyakkan Membaca

Dah ada ilmu, jangan lupa membaca dan teruskan usaha menambah ilmu. Setiap hari, ada je perkara baru yang berlaku dan bakal memberi kesan terhadap pasaran saham.

Contoh 1 : Ringgit jatuh, bukan bermakna semua syarikat akan turut terkesan – syarikat pengeksport ada kelebihan kerana dapat keuntungan lebih (sebab mereka berniaga dalam USD)

Contoh 2 : Tarif elektrif naik, jangan lupa ‘tengok’ saham Tenaga Nasional; iaitu pembekal elektrik utama Malaysia apa jadi dengan saham tersebut.

Contoh 3 : Apabila harga minyak dunia menurun, cuba tengok apa jadi dengan syarikat-syarikat oil & gas. Banyak yang terpaksa buang pekerja dan kurangkan kos.

9. Praktis, Praktis, Praktis!

Pepatah seorang pahlawan ada mengatakan yang berbunyi, “Saya tak takut dengan seseorang yang berlatih 1000 jenis tumbukan hanya sekali, tapi saya gentar dengan seseorang yang berlatih satu tumbukan sebanyak 1000 kali.”

Apabila kita mempelajari sesuatu teknik di dalam pelaburan saham, pastikan anda praktis dan praktis dan praktis sampai anda betul-betul mahir. Tak guna belajar seribu teknik sekalipun tapi tak praktis.

Rugi dalam saham itu pasti, tapi apabila anda mula mengasah teknik anda sampai jadi, risiko kerugian tu dapat dikurangkan.

10. Mula Membeli Saham

Pasaran saham di Bursa Malaysia (Bursa Stock Exchange) dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 petang untuk sesi pagi, dan bersambung semula jam 2.30 petang hingga 5.00 petang.

Log masuk ke trading platform, cari saham syarikat yang anda nak beli (biasanya ada fungsi carian). Masukkan kuantiti, pilih harga yang ingin dibeli, masukkan PIN Number, baca Bismilllah….tekan Buy.

Ingat fakta ini, terutamanya kepada yang menggunakan khidmat remisier untuk jual beli:

1 lot =100 unit bukan lagi 1,000 unit.

Jika nak beli sebutlah dalam unit, lebih mudah. Nak beli 1,000 unit jangan sebut 10 lot tapi sebutlah 1,000 unit supaya remisier yang dengar tu senang faham sebab bila sebut 10 lot takut ‘remisier lama’ akan ingat anda nak order 10,000 unit dan bukan 1,000 unit.

 BONUS

Eh ada bonus pula? Ini sudah bagus.

11. Tawakkal

Apa pun yang kita rancang dan buat, Tuhan yang menentukan. Pastikan hubungan anda dengan Tuhan sentiasa dalam keadaan baik, jaga solat wajib, rajin baca Al-Quran, lakukan solat dhuha, banyakkan sedekah, banyakkan berdoa dan bermacam-macam lagi.

Dengan izin Allah, semua yang baik-baik pasti datang.

12. Kumpulan Sokongan

Ramai pelabur saham baru apabila sekali rugi; terus rasa serik. Tapi dengan adanya kumpulan sokongan, masing-masing dengan minat yang sama, tolong-menolong adalah kuncinya.

Biasa tengok orang main bola sorang-sorang ke secara berkumpulan?

Carilah mentor yang menyediakan kemudahan ulangkaji atau kumpulan sokongan (WhatsApp, Telegram Group). Banyak yang boleh dikongsikan bersama, kajian-kajian yang dijalankan, apa sentimen terbaru pasaran, tips-tips semasa.

Kan ada 600+ syarikat patuh syariah, kalau ada 60 orang dalam kumpulan, seorang kaji 10 syarikat dah cukup, daripada anda seorang diri nak kaji semua 600+ syarikat; memang tak lah kan?

Previous ArticleNext Article

Pinduoduo: Ancaman Baharu kepada Shopee dan MR DIY?

Selama ini, pengguna Malaysia sudah terbiasa membeli barangan murah melalui Shopee. Untuk barangan rumah, aksesori, perkakasan dan keperluan harian pula, MR DIY menjadi antara pilihan utama pengguna yang mementingkan harga berpatutan.

Tetapi kini, muncul satu lagi pemain yang berpotensi mengubah landskap persaingan tersebut: Pinduoduo.

Platform e-dagang dari China ini mula menjalankan kempen khusus untuk pengguna Malaysia pada Disember 2025. Menjelang Mac dan April 2026, aplikasinya semakin mendapat perhatian apabila pengguna berkongsi penemuan produk yang dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran tempatan.

Menurut laporan The Edge Malaysia pada September 2026, seorang pengguna membeli krim pada harga RM8 berbanding lebih RM24 di pasaran tempatan. Seorang lagi membeli 30 gulung tisu tandas pada harga RM20.

Malah, laporan yang sama membandingkan harga selipar di kedai fizikal, sekitar RM16 dengan produk serupa di Pinduoduo pada harga RM3.50. Perbezaan harganya kira-kira 78%!

Ini bukan lagi sekadar persaingan antara dua aplikasi membeli-belah. Ia membuka persoalan lebih besar tentang bagaimana produk dihasilkan, diedarkan dan dijual kepada pengguna.

1. Apa sebenarnya kelebihan Pinduoduo?

Pinduoduo diasaskan di China pada 2015 dan syarikat induknya, PDD Holdings, disenaraikan di Nasdaq pada 2018.

Model perniagaannya menggabungkan beberapa pendekatan yang menarik.

Pertama, platform ini menghubungkan pengguna dengan rangkaian pengeluar dan penjual, termasuk pengeluar yang mampu membekalkan barangan pada kos rendah.

Kedua, Pinduoduo membangunkan model social commerce, termasuk pembelian berkumpulan atau team purchase. Pengguna boleh berkongsi tawaran dengan orang lain bagi mendapatkan harga yang lebih menarik.

Ketiga, platform ini memanfaatkan skala permintaan. Apabila ramai pengguna membeli produk yang sama, penjual mempunyai peluang untuk meningkatkan jumlah jualan dan mengoptimumkan kos pengeluaran serta pengedaran.

Walau bagaimanapun, harga murah bukan bermaksud semua produk semestinya lebih berkualiti rendah atau setiap produk pasti lebih murah daripada Shopee. Pengguna masih perlu membandingkan spesifikasi, kualiti, kos penghantaran dan syarat pembelian.

2. Berapa murah produk Pinduoduo berbanding pasaran tempatan?

Laporan The Edge Malaysia memberikan beberapa contoh yang menunjukkan jurang harga yang ketara.

ProdukHarga di PinduoduoHarga perbandingan tempatan
KrimRM8Lebih RM24
30 gulung tisu tandasRM20Dilaporkan 30%–40% lebih murah berbanding kedai runcit tempatan
SeliparRM3.50Sekitar RM16 di kedai fizikal

Sumber: The Edge Malaysia, September 2026. Harga ialah contoh yang dilaporkan, bukan purata harga pasaran atau perbandingan bagi semua produk.

Bagi selipar, perbezaan RM12.50 bersamaan kira-kira 78.1% daripada harga runcit RM16.

Namun, perbandingan ini perlu dilihat secara berhati-hati. Produk yang kelihatan serupa mungkin berbeza dari segi bahan, ketahanan, spesifikasi, jaminan dan kos selepas jualan.

Selain itu, laporan tersebut menyatakan bahawa penghantaran percuma melalui laluan laut boleh mengambil masa sekitar 15 hingga 30 hari untuk transit, tidak termasuk keseluruhan proses pemenuhan pesanan.

Maka, pengguna sebenarnya membuat pertukaran antara harga dengan masa menunggu dan kemudahan mendapatkan produk.

3. Adakah Shopee berada dalam bahaya?

Shopee bukan pemain kecil yang mudah diketepikan.

Shopee dikendalikan oleh Sea Limited, syarikat teknologi yang turut mempunyai perniagaan permainan digital Garena serta perkhidmatan kewangan digital Monee.

Berdasarkan keputusan kewangan tahun penuh 2025, Sea Limited mencatatkan:

  • Hasil kumpulan sebanyak US$22.9 bilion, meningkat 36.4% berbanding 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak US$1.6 bilion, berbanding US$447.8 juta pada 2024.
  • Shopee merekodkan nilai barangan kasar atau GMV sebanyak US$127.4 bilion, meningkat 26.8%.
  • Hasil Shopee mencapai US$16.6 bilion, meningkat 33.4%.
  • Shopee mempunyai kira-kira 400 juta pembeli aktif dan 20 juta penjual sepanjang 2025.

Angka ini menunjukkan bahawa Shopee masih mempunyai skala operasi yang besar.
Sumber: Sea Limited, keputusan kewangan 2025.

Tetapi skala besar tidak bermaksud tiada tekanan persaingan.

Shopee perlu mengekalkan keseimbangan antara harga yang menarik, kos penghantaran, subsidi promosi, komisen penjual dan keuntungan platform.

Jika pengguna mula membandingkan setiap produk dengan harga terus dari China, penjual yang bergantung kepada produk generik mungkin berdepan tekanan margin keuntungan.

Sebahagian penjual juga mungkin perlu mengurangkan harga, mencari pembekal lebih kompetitif atau menawarkan produk yang mempunyai nilai tambah.

Dalam jangka panjang, persaingan bukan hanya tentang siapa yang mempunyai aplikasi paling popular, tetapi siapa yang mampu menawarkan gabungan harga, kualiti, penghantaran dan pengalaman pelanggan yang paling menarik.

4. Bagaimana pula dengan MR DIY?

Bagi MR DIY, ancamannya berbeza daripada Shopee.

MR DIY mempunyai rangkaian kedai fizikal dan menawarkan pelbagai barangan perkakasan, aksesori rumah, produk dapur, alat tulis serta keperluan harian.

Pengguna boleh datang ke kedai, melihat barangan dan membawanya pulang pada hari yang sama. Kelebihan ini tidak mudah digantikan oleh penghantaran rentas sempadan yang mengambil masa lebih lama.

Namun, terdapat kategori produk yang lebih mudah dibandingkan dari segi harga, seperti bekas penyimpanan, aksesori dapur, barangan plastik, hiasan rumah dan peralatan kecil.

Jika produk serupa boleh diperoleh pada harga yang jauh lebih rendah melalui platform luar negara, sebahagian pengguna mungkin mengubah tabiat membeli-belah mereka.

Prestasi kewangan MR DIY masih menunjukkan pertumbuhan

Bagi tahun kewangan 2025, MR DIY mencatatkan:

  • Hasil sebanyak RM4.95 bilion, berbanding RM4.65 bilion pada 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak RM632.69 juta, berbanding RM568.94 juta pada 2024.
  • Rangkaian sebanyak 1,556 cawangan, meningkat 8.4% berbanding tahun sebelumnya.
  • Jumlah transaksi sebanyak 197.8 juta, meningkat 8.2%.
  • Purata nilai setiap bakul pembelian menurun 1.6%.

Angka tersebut dilaporkan oleh Bernama berdasarkan keputusan kewangan MR DIY.
Sumber: BernamaBiz, Februari 2026.

Data ini penting kerana ia menunjukkan bahawa MR DIY masih berkembang ketika persaingan e-dagang semakin sengit.

Penurunan purata nilai bakul pembelian pula tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan Pinduoduo. Ia hanya satu petunjuk yang wajar diperhatikan bersama faktor lain seperti strategi harga, campuran produk dan keadaan pengguna.

Bagi MR DIY, cabarannya ialah memastikan pengguna masih mempunyai sebab untuk membeli di kedai fizikal walaupun terdapat alternatif lebih murah dalam talian.

5. Berapa harga saham PDD Holdings, Sea Limited dan MR DIY?

Jika mahu melihat isu ini daripada perspektif pelaburan, tiga saham yang boleh diperhatikan ialah PDD Holdings di Nasdaq, Sea Limited di New York Stock Exchange dan MR DIY di Bursa Malaysia.

Berikut ialah harga penutupan pada 23 Oktober 2026.

SyarikatKod sahamHarga penutupanPasaran
PDD HoldingsNASDAQ: PDDUS$79.04Amerika Syarikat
Sea LimitedNYSE: SEUS$74.63Amerika Syarikat
MR DIY GroupBursa: 5296RM1.15Malaysia

Sumber: StockAnalysis, Sea Limited Investor Relations dan The Star Market Watch. Harga dalam mata wang asal dan bukan harga masa nyata.

Saham PDD Holdings, syarikat induk kepada Pinduoduo dan Temu, pernah mencecah paras tertinggi 52 minggu pada US$139.41 pada 29 Oktober 2025. Namun, pada 23 Oktober 2026, sahamnya ditutup pada US$79.04, iaitu penurunan sekitar 43.3% daripada paras tertinggi tersebut. Berdasarkan semakan terkini pada Oktober 2026, saham PDD Holdings diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah oleh beberapa platform saringan saham Islam seperti Musaffa dan HalalScreener.

Ini bermakna harga penutupannya kira-kira 43.3% di bawah paras tertinggi 52 minggu yang dipaparkan. Walau bagaimanapun, pergerakan tersebut tidak boleh dianggap berpunca daripada persaingan di Malaysia kerana PDD Holdings mempunyai operasi besar di China dan turut mengendalikan Temu.

Bagi Sea Limited, harga penutupannya ialah US$74.63. Sea turut mempunyai pendedahan kepada permainan digital dan perkhidmatan kewangan, jadi prestasi sahamnya tidak mencerminkan Shopee sahaja.

Sementara itu, saham MR DIY ditutup pada RM1.15, penurunan 25.81% sejak awal tahun (YTD), bersamaan susut RM0.40 sesaham daripada RM1.55 pada awal tahun.

Nota: Ketiga-tiga saham ini tidak boleh dibandingkan secara terus berdasarkan harga seunit. Jumlah saham diterbitkan, struktur modal, mata wang, pertumbuhan keuntungan dan penilaian pasaran mereka berbeza. Harga saham yang menurun juga tidak membuktikan bahawa Pinduoduo telah menjejaskan prestasi kewangan pesaingnya.

6. PDD Holdings sendiri mencatatkan hasil lebih RMB400 bilion

Saiz perniagaan syarikat induk Pinduoduo turut menjelaskan mengapa model perniagaannya wajar diberi perhatian.

Bagi tahun kewangan 2025, PDD Holdings melaporkan:

  • Hasil sebanyak RMB431.85 bilion, meningkat kira-kira 9.7% berbanding 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak RMB97.84 bilion, menurun daripada RMB112.43 bilion pada 2024.

Angka ini merangkumi perniagaan kumpulan PDD Holdings, termasuk Pinduoduo dan Temu, bukannya prestasi Pinduoduo di Malaysia sahaja. Sumber: Laporan tahunan PDD Holdings 2025 kepada SEC.

Hasil yang besar memberikan gambaran tentang skala operasi kumpulan tersebut. Namun, penurunan keuntungan bersih pada 2025 menunjukkan bahawa pertumbuhan hasil tidak semestinya membawa kepada pertumbuhan keuntungan pada kadar yang sama.

Bagi pelabur, perkara yang lebih penting ialah sama ada syarikat dapat mengekalkan pertumbuhan, mengurus kos, mempertahankan margin dan memenuhi keperluan kawal selia di pasaran yang diceburinya.

7. Isu lebih besar: Adakah semua pemain bersaing di padang yang sama?

Persaingan harga bukan semata-mata isu antara platform e-dagang.

Peniaga tempatan perlu menanggung pelbagai kos, termasuk sewa premis, gaji pekerja, caruman berkanun, pergudangan, pengedaran dan pematuhan peraturan yang berkaitan.

Penjual yang menghantar barangan terus dari luar negara mungkin mempunyai struktur kos yang berbeza. Perbezaan ini boleh memberi kesan kepada harga yang mampu ditawarkan kepada pengguna.

Dalam laporan September 2026, The Edge Malaysia mengetengahkan kebimbangan pemain industri tentang kesamarataan syarat persaingan, termasuk isu pematuhan dan struktur kos.

Pada masa yang sama, pengguna mendapat manfaat daripada pilihan yang lebih banyak dan harga yang lebih kompetitif.

Cabaran kepada pihak berkuasa ialah memastikan peraturan dilaksanakan secara adil tanpa menafikan manfaat e-dagang rentas sempadan kepada pengguna.

Bagi peniaga Malaysia, jawapannya juga bukan sekadar meminta perlindungan daripada pesaing luar. Mereka perlu meningkatkan produktiviti, memperkukuh jenama, memperbaiki pengalaman pelanggan dan membangunkan produk yang tidak mudah digantikan oleh barangan generik.

Kesimpulan: Persaingan baharu bukan lagi sekadar siapa menjual paling murah

Kehadiran Pinduoduo memberi isyarat bahawa persaingan runcit semakin merentas sempadan.

Shopee mempunyai skala pembeli dan penjual yang besar. MR DIY mempunyai rangkaian kedai fizikal serta kemudahan pembelian segera. Pinduoduo pula membawa pendekatan yang menekankan harga rendah dan hubungan terus antara pengguna dengan penjual.

Ketiga-tiganya mempunyai kekuatan dan cabaran yang berbeza.

Bagi pengguna, perkembangan ini membuka lebih banyak pilihan. Bagi peniaga dan pelabur, ia menimbulkan persoalan tentang kemampuan mengekalkan margin keuntungan apabila pengguna semakin mudah membandingkan harga di seluruh dunia.

Akhirnya, syarikat yang mampu menggabungkan harga kompetitif, kualiti, kemudahan, kepercayaan dan keuntungan yang mampan akan mempunyai kedudukan lebih baik dalam persaingan jangka panjang.

Persoalannya, adakah peniaga tempatan mampu menyesuaikan diri dengan era harga terus dari China, atau mereka akan terus bersaing menggunakan model perniagaan yang sama?

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global (China, Hong Kong, Singapura, Indonesia)

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.