Strategi Taktikal Dalam Dagangan Saham – Apa Nak Buat Bila Market Uptrend, Downtrend Dan Sideway

(Bacaan lanjutan ini sesuai untuk trader saham yang aktif berjual beli di pasaran saham dan bukan untuk pelabur)

Kita sangat-sangat memerlukan strategi taktikal dalam lapangan dagangan saham, bagi menghadapi keadaan pasaran yang tidak menentu. Tapi apa yang dimaksukan dengan strategi taktikal ni?

Strategi taktikal adalah satu perancangan dan tindakan proaktif, untuk kita cepat bertindak mengikut kesesuaian keadaan semasa. Dalam erti kata lain, kita dah tahu dah nak buat apa bila sesuatu perkara berlaku. Takdelah kita terkejut atau kaku, sampai tak tahu nak buat apa. Lagi teruk jika kita panik, dan buat tindakan yang salah.

Di dalam pasaran saham terdapat 3 keadaan trend yang berbeza, yang mana setiap satu trend memerlukan pendekatan dan strategi taktikal yang berbeza.

1. Uptrending / Trend Menaik

– Apabila pasaran dan sesuatu kaunter saham itu berada di dalam ‘uptrending’, ketika inilah nisbah pulangan adalah lebih besar berbanding risiko dengan kadar kejayaan dagangan @ ‘trading success rate’ juga lebih tinggi sekitar 90%.

Ini bermakna, sekiranya anda membuat 10 transaksi dagangan, kebarangkalian memperolehi keuntungan adalah 9 daripada 10 transaksi tersebut. Ketika momentum pergerakan ke atas yang kuat ini biasanya apa-apa teknik dagangan juga berhasil, tetapi teknik biasa yang digunakan untuk momentum trading ini adalah:

i- Beli apabila harga melepasi paras rintangan / Buy On Breakout (BOB)

ii- Beli apabila harga membuat pembetulan/ Buy On Dips (BOD)

Pedagang juga boleh membeli / memasuki pasaran secara aktif untuk mengoptimumkan pulangan keuntungan dengan menggunakan pelbagai strategi dagangan seperti ‘Swing Trading‘, ‘Intraday Trading‘ atau pun ‘Buy Today Sell Tomorrow – BTST‘.

2. Downtrending / Trend Menurun

– Tetapi apabila keadaan pasaran mulai ‘Bearish’ dan berada di dalam ‘downtrending’, nisbah risiko pula menjadi lebih besar berbanding pulangan dan seterusnya kadar kegagalan juga lebih tinggi. Maka para pedagang mahu pun pelabur, perlu lebih berhati-hati dan boleh mempraktikkan strategi taktikal seperti berikut:

i- Keluar seketika dari pasaran, bersedia dengan tunai (Keep Cash) dan tunggu hingga pasaran membuat ‘Reversal’ daripada ‘Downtrend’ kepada ‘Uptrend’

ATAU

ii – Teknik ‘Bottom Fishing’. Perhatikan pasaran dan beli saham berkualiti yang aktif ketika harga rendah akibat jualan panik dan tunggu pantulan harga untuk menjual, ‘Buy on weakness & Sell on rebound‘.

Ketika pasaran dan kaunter saham sedang berada dalam fasa ‘downtrending’ ini, melindungi modal (Capital Preservation) adalah keutamaan yang lebih penting berbanding mencari keuntungan/pulangan. Penjagaan dan kawalan risiko melalui teknik ‘Stop Loss’ sangat kritikal dan perlu diberikan perhatian yang khusus.

3. Sideway / Trend Mendatar

– Keadaan pasaran yang mendatar atau ‘sideway’ ini memberi petunjuk bahawa pasaran sedang berada di dalam keadaan tiada arah tuju yang jelas @ ‘clear direction’. Biasanya trend ini terjadi ketika pasaran sedang mencari petunjuk sama ada untuk membuat ‘reversal’ atau pun ‘continuation’ trend yang sedia ada.

Ketika ini nisbah risiko dan pulangan lebih agak ‘moderate’ dan seimbang berbanding keadaan ‘downtrending’. Di antara strategi taktikal yang mungkin boleh digunapakai:

i- Keluar seketika daripada pasaran, bersedia dengan tunai (Keep Cash) dan tunggu sehingga pasaran / kaunter membuat hala tuju yang jelas sama ada membuat ‘continuation’ atau pun ‘reversal’ .

ATAU

ii- Beli saham yang aktif dan berkualiti pada harga sokongan dan jual pada harga halangan, ‘Buy on Support & Sell on Resistance‘.

Gunakan indikator volume dagangan beserta RSI atau pun Stochastic untuk melihat keadaan terlebih beli (Overbought) atau terlebih jual (Oversold) sebagai indikator sokongan.

Semoga berjaya!

Rothalizam Sumar adalah seorang Remisier berlesen di RHB Investment Bank, Johor Bahru. Beliau berpengalaman lebih daripada 10 tahun sebagai seorang Dealer / Remisier dan merupakan penulis buku Modul Panduan Pelaburan & Dagangan Saham Syariah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Meridian Ditegur Bursa, Didenda RM8,500

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengenakan teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Tang turut dikenakan denda keseluruhan RM8,500 berikutan pelanggaran berkenaan.

Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan berkata, Meridian melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama kerana gagal menerbitkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan diaudit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 dan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025.

Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2023 hanya diterbitkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 31 Mac 2024.

Sementara itu, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025 diterbitkan pada 8 Oktober 2025, iaitu lewat enam hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 30 September 2025.

“Tang, Pengarah Eksekutif Meridian pada masa itu, melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Meridian melakukan pelanggaran berkenaan serta dikenakan teguran secara terbuka selain denda keseluruhan berjumlah RM8,500,” katanya.

Bursa Malaysia Securities turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan LR Utama, khususnya berkaitan penyata kewangan.

Selain itu, lembaga pengarah syarikat diminta menyemak semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan, selain dasar serta prosedur pelaporan kewangan syarikat.

Bursa Malaysia Securities berkata, dapatan pelanggaran dan tindakan terhadap Meridian serta Tang dibuat menurut perenggan 16.19 LR Utama selepas proses sewajarnya selesai dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.

Pertimbangan itu termasuk kepentingan material pelanggaran, kesannya terhadap Meridian serta pemegang saham atau pelabur, selain peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan tingkah laku Tang.

Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran berkenaan kerana penyerahan penyata kewangan dalam tempoh ditetapkan adalah kewajipan asas bagi syarikat tersenarai.

“Amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities serta perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

“Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Meridian dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat serta akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur,” katanya.

Menurut Bursa Malaysia Securities, kelewatan penerbitan laporan tahunan berkenaan berpunca terutamanya daripada kegagalan Meridian menyelenggara serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar.

Keadaan itu turut menyebabkan juruaudit memberikan pendapat penafian terhadap kedua-dua set penyata kewangan diaudit berkenaan.

Pendapat penafian itu mencetuskan kriteria yang ditetapkan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), sekali gus menyebabkan Meridian diklasifikasikan sebagai penerbit berstatus PN17 pada 8 April 2024.