
Pemimpin perniagaan global kini berdepan risiko yang semakin meningkat apabila perpecahan geopolitik yang semakin mendalam, di samping cabaran teknologi dan sosial yang kian kompleks, dijangka terus membentuk landskap perniagaan sepanjang 12 bulan akan datang.

Perkara ini dinyatakan oleh kepimpinan kanan di Zurich Insurance Group (Zurich) dan Marsh, berdasarkan dapatan Laporan Risiko Global 2026 yang diterbitkan oleh World Economic Forum hari ini. Zurich dan Marsh merupakan rakan strategik kepada Forum Ekonomi Dunia serta ahli Lembaga Penasihat Risiko Globalnya.
Menurut laporan tersebut, lima risiko paling mendesak pada tahun 2026 dikenal pasti sebagai konfrontasi geoekonomi, konflik bersenjata berasaskan negara, kejadian cuaca ekstrem, polarisasi masyarakat, serta maklumat palsu dan maklumat mengelirukan. Bagi unjuran dua tahun akan datang pula, risiko maklumat palsu dan polarisasi masyarakat melonjak ke kedudukan kedua dan ketiga tertinggi.
Perpecahan sosial menjadi teras kepada pelbagai risiko masyarakat yang dihadapi ketika ini, termasuk fragmentasi sosial, ketidaksamaan, serta kemerosotan kesihatan dan kesejahteraan. Walaupun tahap keterukan risiko global semakin meningkat, banyak kerajaan utama dilihat mula menjauh daripada rangka kerja sedia ada yang dibangunkan untuk menangani cabaran bersama. Keadaan ini mendorong masyarakat yang berpecah semakin hampir kepada ketidakstabilan sosial dan konflik yang lebih serius.
Andrew George, Presiden Specialty, Marsh Risk berkata, perpecahan yang semakin mendalam menjadi punca utama kepada risiko sosial yang kini memberi kesan secara langsung kepada kestabilan masyarakat dan ekonomi global.
Era Baharu Persaingan Global
Dalam jangka panjang, laporan ini menekankan kemunculan era baharu persaingan global, dengan hampir kesemua 33 risiko yang dikenal pasti kecuali konfrontasi geoekonomi dijangka meningkat tahap keterukannya dalam tempoh 10 tahun akan datang. Sebanyak 57% responden meramalkan prospek yang bergolak atau penuh ketidaktentuan dalam dekad seterusnya, dengan risiko alam sekitar dan teknologi mendominasi unjuran jangka panjang.
Pemimpin perniagaan di ekonomi utama turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap isu pencen dan kesihatan awam, yang boleh mengancam kesejahteraan tenaga kerja serta kestabilan sosial. Namun begitu, risiko masyarakat seperti kemerosotan kesihatan, kekurangan infrastruktur awam dan perlindungan sosial hampir tidak diberi penekanan dalam unjuran risiko 10 tahun, walaupun kesannya sudah mula dirasai.
Alison Martin, Ketua Pegawai Eksekutif Life, Health and Bank Distribution Zurich, berkata kegagalan untuk bertindak segera dan secara kolaboratif boleh menyebabkan dunia mengabaikan ancaman sebenar yang bakal menentukan masa depan global.
Teknologi & Infrastruktur Kritikal Jadi Tumpuan
Menurut laporan itu, kemajuan pesat dalam kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum bakal memberi impak besar kepada pasaran pekerjaan, struktur masyarakat, infrastruktur serta geopolitik global, sekali gus berpotensi melebarkan jurang ekonomi dunia.
Infrastruktur kritikal pula semakin terdedah kepada pelbagai ancaman, daripada cuaca ekstrem hinggalah gangguan kabel dasar laut dan satelit. Namun begitu, gangguan terhadap infrastruktur kritikal hanya berada di kedudukan ke-23 dalam senarai risiko global untuk dekad akan datang satu kelompongan yang disifatkan berbahaya.
Peter Giger, Ketua Pegawai Risiko Kumpulan Zurich, menegaskan bahawa kegagalan infrastruktur boleh mencetuskan kesan domino yang menjejaskan semua aspek kehidupan dan ekonomi, sekali gus menuntut pelaburan segera bagi memperkukuh daya tahan sistem sedia ada.
Andrew George turut menambah bahawa kemajuan AI dan teknologi kuantum sedang mengubah pasaran pekerjaan dan geopolitik dengan pantas. Kerajaan dan sektor perniagaan perlu bekerjasama bagi menangani cabaran seperti lebihan peranan pekerjaan, penumpuan ekonomi serta risiko gangguan sistemik terhadap infrastruktur kritikal dan kepercayaan digital.
Mengenai Laporan Risiko Global
Pandangan Zurich dan Marsh adalah berdasarkan edisi ke-21 Laporan Risiko Global oleh Forum Ekonomi Dunia, yang merangkumi maklum balas tinjauan daripada 1,300 pakar dan 11,000 pemimpin perniagaan, serta temu bual dengan ratusan pakar bidang. Laporan ini diterbitkan di bawah Inisiatif Risiko Global, Pusat Ekonomi Baharu dan Masyarakat, Forum Ekonomi Dunia.
Laporan tersebut memberi gambaran jelas bahawa dunia sedang memasuki fasa persaingan baharu yang lebih kompleks, di mana daya tahan, kerjasama dan kesiapsiagaan terhadap risiko jangka panjang menjadi kunci kelangsungan perniagaan dan kestabilan global.












