Belanjawan 2020 : Industri Hartanah Bakal Terima Kesan Yang Positif

Di sana-sini orang masih berbicara tentang Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan oleh Lim Guan Eng pada 11 Oktober yang lalu.

Ada yang suka dan ada juga yang berduka dengan pembentangan tersebut. Akan tetapi, apakah pembaharuan atau perubahan dalam sektor hartanah yang boleh kita harapkan?

Adakah dasar baru kerajaan dalam Belanjawan 2020 yang lalu dilihat lebih mesra pemaju berbanding pembeli rumah?

Baca : Wishlist Untuk Bajet 2020 Dalam Industri Hartanah

Industri hartanah di Malaysia adalah satu industri yang kompleks di mana ianya memerlukan lebih daripada satu inisiatif yang praktikal untuk menyelesaikan kemelut ini.

Sungguhpun begitu, adalah tidak adil untuk kita mengatakan pihak Kerajaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak melakukan apa-apa usaha yang signifikan.

Berdasarkan Belanjawan 2019 yang lalu pun, terdapat banyak inisiatif yang praktikal diambil oleh pihak KPKT selaras usaha Kerajaan untuk menangani pelbagai kemelut dalam hartanah dan tidak terbatas kepada lambakan hartanah tidak terjual di Malaysia.

Jom kita lihat apa yang dibentangkan oleh Kerajaan berkenaan hartanah pada Belanjawan 2020 yang lalu.

1. Penurunan Kadar Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT)

Ramai berpandangan bahawa kadar cukai Real Property Gain Tax (RGPT) wajar diturunkan bagi menggalakkan pemilik rumah sekunder atau subsale untuk menjual kediaman mereka.

Selaras dengan respons awam, Kerajaan telah menambah baik sistem CKHT ini dengan menetapkan nilai pasaran bermula 1 Januari 2013 sebagai harga pemerolehan hartanah. Ini adalah satu langkah positif berbanding sebelumnya iaitu bermula 1 Januari 2000.

Baca : Kenapa Harga Rumah Semakin Mahal?

Buat pengetahuan anda, CKHT ini mula diperkenalkan pada tahun 1976 di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan hanya boleh dikenakan pada keuntungan modal bersih yang positif hasil jualan hartanah.

2. Skim Perumahan Belia

Sebenarnya ramai anak muda khususnya golongan B40 yang tidak tahu akan kewujudan Skim Perumahan Belia (SPB) oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) ini.

Skim ini diperkenalkan pada Julai 2014 yang lalu dengan fokus untuk membantu golongan bujang dan yang telah berkahwin untuk memiliki rumah pertama dengan lebih mudah.

Harga hartanah adalah bermula RM100,000 sehingga RM500,000 dan pembeli boleh memilih untuk membeli rumah yang sudah siap dibina, sedang dalam pembinaan dan juga hartanah daripada pasaran sekunder (subsale).

Baca : Belia Tanpa Slip Gaji Boleh Miliki Rumah Sendiri Dengan RBN

Peminjam bukan sahaja mampu mendapatkan pembiayaan sehingga 100% daripada harga rumah, bahkan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan untuk dua tahun pertama!

Tarikh Skim Perumahan Belia anjuran BSN ini juga telah dilanjutkan bermula 1 Januari 2020 kepada Disember 2021.

Bukan itu sahaja, bakal peminjam turut bakal menerima 100% pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pemindahan hak milik dan perjanjian pembiayaan bagi nilai hartanah sehingga RM300,000.

3. Skim Sewa Untuk Beli (Rent-To-Own)

Berdasarkan Belanjawan 2020 yang lalu, Kerajaan dan institusi kewangan bakal menyediakan modal pembiayaan sebanyak RM10 Bilion melalui penyediaan jaminan 30% atau RM3 Bilion sebagai inisiatif unggul.

Bajet ini merupakan inisiatif bagi membantu bakal pembeli rumah yang tidak mampu membayar 10% deposit atau pun sukar mendapatkan akses pembiayaan pinjaman perumahan untuk membeli hartanah pertama mereka.

Hartanah yang layak untuk menerima skim ini adalah hartanah yang berada dalam lingkungan harga sehingga RM500,000 dan pemohon wajib menandatangani perjanjian sewaan selama 5 tahun dan boleh membuat pilihan untuk membeli hartanah tersebut selepas 1 tahun.

Pemohon juga layak menerima pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik antara pemaju dan institusi kewangan dan juga di antara institusi kewangan dan bakal pembeli.

4. RM330 Juta Selenggara Kuarters Penjawat Awam

Seperti Bajet yang dibentangkan tahun sebelumnya, kuarters penjawat awam turut menerima impak positif daripada Belanjawan 2020 ini di mana Kerajaan telah memperuntukkan wang sebanyak RM330 juta sebagai kos menyelenggara kuarters penjawat awam.

Menurut Lim Guan Eng lagi, RM150 juta bakal diperuntukkan untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh Malaysia manakala RM250 juta lagi khusus untuk kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

5. RM100 Juta Baikpulih Kediaman Strata Kos Sederhana dan Rendah

Isu kediaman jenis strata yang tidak di selenggara dengan baik bukanlah isu baru di negara kita. Acap kali isu ini dibawa sehingga ke media televisyen dan juga media cetak.

Buat julung kalinya, Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta untuk membaik pulih kediaman strata kos rendah dan sederhana di seluruh negara.

Baca : Ketahui Jenis Hak Milik Tanah Yang Berbeza Sebelum Beli Rumah

Peruntukan ini khusus untuk membaik pulih dan menyelenggara lif, pendawaian elektrik, paip pembetungan dan bumbung; bagi memastikan kediaman strata ini selamat dan selesa untuk didiami.

Tidak terbatas kepada bajet untuk baik pulih kediaman strata sahaja, Kerajaan juga telah memperuntukkan RM15 juta kepada pihak Berkuasa Tempatan sebagai inisiatif mewujudkan Bandar Selamat.

Peruntukan ini akan diguna pakai untuk menyediakan lampu jalan, kawasan parkir motorsikal yang lebih kondusif dan juga menambah ciri iri keselamatan lain seperti pagar antipanjat dan sebagainya.

6. Penurunan Nilai Ambang Hartanah Untuk Pemilikan Warga Asing

Inisiatif ini diambil bukanlah sebagai solusi kepada pemaju semata-mata. Akan tetapi, inisiatif ini adalah langkah ke depan Kerajaan dalam mencairkan aset yang terdiri daripada batu-bata dan konkrit ini yang kini telah bernilai hampir RM8.3 bilion bagi suku kedua tahun 2019.

Bermula 1 Januari 2020, warga asing kini mampu membeli hartanah berharga RM600,000 ke atas berbanding RM1 juta pada tahun sebelumnya dan hanya terhad kepada hartanah jenis high-rise seperti apartmen, kondominium dan service residence sahaja.

Pemilikan hartanah oleh warga asing bagi hartanah jenis landed seperti banglo, teres dan sewaktu dengannya adalah dilarang sama sekali dan hanya terbatas di kawasan bandar sahaja. Kempen ini hanya berjalan selama satu tahun sahaja.

Baca : 6 Hartanah Paling Mahal di Kuala Lumpur

Sememangnya kemelut hartanah di Malaysia adalah sangat subjektif dan memerlukan lebih daripada satu pendekatan yang praktikal.

Akan tetapi, Kerajaan wajar dipuji kerana mengambil pendekatan yang inklusif dan proaktif dalam membantu bukan sahaja pembeli rumah pertama, pemilik kediaman bahkan pemaju di Malaysia.

Ditulis oleh Mehmed Aezhad, beliau merupakan seorang Digital Marketing Specialist yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran digital hartanah.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend