Broker Saham Jatuh Muflis Dan Bangkit Semula Dengan Menjual Sandwic

Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997-1998 memberi tamparan hebat kepada banyak pihak. Orang yang makan gaji hilang pekerjaan, pemilik bisnes pula terpaksa gulung tikar dan terperangkap dalam hutang sehingga diisytiharkan muflis.

Sirivat Voravetvuthikun, seorang multi jutawan di awal 90-an yang bekerja sebagai seorang stock broker dan juga kontraktor, adalah merupakan di antara mereka yang terkesan akibat krisis ekonomi ini. Beliau mendiami kondominium termahal di Bangkok dan kesemua anaknya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Setelah terbiasa menjalani hidup yang mewah, beliau kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata.

Beliau menggambarkan dirinya sebagai ahli perniagaan yang jujur, tetapi tamak. Ketika beliau mempunyai simpanan sebanyak 100 juta Baht, beliau merasakan ia masih tidak cukup dan mahukan 1 bilion Baht.

Jadi beliau mengambil risiko dengan membuat pinjaman walaupun terpaksa membayar kadar faedah setinggi 17%.

Sirivat Voravetvuthikun bukan sahaja mengalami kerugian akibat kejatuhan pasaran saham pada tahun 1997 malah beliau terperangkap dengan bebanan hutang pembinaan hartanahnya. Ketika itu projek kondominium mewah bernilai puluhan juta terletak di Timur Laut Bangkok sedang dalam pembinaan dan ia terhenti di tengah jalan setelah ekonomi negara Thailand lumpuh akibat kegawatan.

Hanya beberapa unit sahaja yang terjual dan ini mengakibatkan syarikatnya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar pinjaman bank. Jumlah keseluruhan hutangnya pada ketika itu berjumlah USD30.4 juta.

Beliau diheret ke mahkamah oleh kerana tidak mampu melunaskan hutang dan diisytiharkan bankrap. Para pekerjanya yang berjumlah lebih 40 orang pada ketika itu turut terkesan dan terpaksa dilepaskan.

Keadaan ketika itu amat tidak terkawal. Ramai yang nekad membunuh diri untuk keluar daripada masalah. Malah terdapat satu percubaan membunuh diri di hadapan stock exchange tetapi gagal. Mangsa sebaliknya lumpuh seumur hidup.

Sirivat Voravetvuthikun berasa amat tertekan dan meminta pandangan isterinya kerana beliau benar-benar buntu pada ketika itu. Isterinya, Vilailuck memberi cadangan untuk menjual sandwic.

Tanggal 20 April 1997 merupakan titik tolak mereka sekeluarga untuk bangkit semula daripada kegagalan. Isterinya bangun pada jam 3 pagi bagi membantu menyiapkan 20 sandwic dan kemudian mereka menjualnya di Hospital Bangkok. Mereka berjaya mencatatkan jualan sebanyak 500 Baht pada hari tersebut.

Beliau kemudian mendapat idea untuk menjual sandwic dijalanan sekitar Bangkok menggunakan kotak khas yang disangkut ke leher bagi membantunya membawa barang jualan. Perasaan malu terpaksa dibuang jauh kerana beliau menjadikan isteri dan anak-anak mereka sebagai sumber inspirasi untuk berusaha gigih.

Cabaran utama yang dihadapi pada ketika itu ialah penerimaan orang awam kerana beliau menjual sandwic pada harga yang lebih tinggi daripada kebiasaan kerana menggunakan roti yang berkualiti tinggi. Masyarakat juga mempunyai persepsi bahawa produk makanan jalanan tidak bersih dan berkualiti rendah.

Jadi beliau memastikan produk yang dijualnya segar dan bersih malah mewajibkan pekerja jualannya memakai pakaian yang seragam agar kelihatan kemas. Sirivat Voravetvuthikun juga sentiasa mencari cara untuk menambah baik rangkaian produk yang dijualnya.

Kini beliau dikenali sebagai ‘The Sandwich Man’ dan menjadi insprasi bagi rakyat Thailand. Beliau yang semakin berjaya dengan penjualan sandwicnya telah mengembangkan perniagaan beliau kepada produk-produk lain.

Sirivat Voravetvuthikun turut dijemput sebagai speaker bagi acara-acara antarabangsa untuk berkongsi kisah jatuh bangun beliau.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article
An introverted chocoholic whom happened to be involved in content curation and stock trading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.