Sejarah Penubuhan Syarikat Honda, Daripada Pengeluar Kapchai Sehingga Menjadi Pengeluar Kereta Ketiga Terbesar Dunia

Honda merupakan jenama kegilaan masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda atau pun pelajar yang baru sahaja tamat pengajian. Kebanyakan golongan muda kita sangat teruja dengan kenderaan yang berjenama Honda, walaupun harganya agak sedikit keras (mahal).

Honda merupakan salah sebuah syarikat automotif yang berjaya di dunia walaupun usianya masih muda berbanding dengan syarikat-syarikat automotif yang lain. Orang bertanggungjawab yang menaikan Honda adalah pengasas syarikat itu sendiri, iaitu Soichiro Honda. Dari sekecil teknologi mesin rumput sehingga ke jet peribadi, semua itu Honda mampu merealisasikan impian tersebut.

Sumber: Paul Tan

Jumlah kereta penumpang yang dijual di Malaysia pada tahun 2018. Kereta keluaran Honda merupakan pilihan rakyat Malaysia bagi kereta import, jauh mengatasi jenama import yang lain.

Soichiro bermula dari bawah iaitu sebagai mekanik dan mengakhiri kariernya sebagai Presiden dalam syarikat Honda. Beliau dilahirkan pada tahun 1906 di Wata-Gun, Jepun dan merupakan anak kepada seorang penempa besi dan ibunya seorang penenun pakaian.

Tak Minat Sambung Belajar

Sejak daripada kecil lagi, Soichiro tidak suka terhadap alam persekolahan dan beliau telah terdedah dengan kehidupan di bengkel disebabkan oleh ayahnya yang merupakan seorang penempa besi. Karier ayahnya bertukar menjadi seorang mekanik kerana pada masa itu, basikal merupakan kenderaan yang sangat popular di Jepun. Ayahnya mengambil keputusan untuk membuka kedai basikal disebabkan kebanyakan penduduk kejiranannya menghantar basikal mereka untuk dibaiki.

Semenjak daripada itu, ayah Soichiro mengambil keputusan untuk menjadi seorang mekanik basikal kerana hasil pendapatan yang agak lumayan. Ayahnya membeli basikal yang terpakai dan membaikinya, kemudian menjualnya balik bagi meraih keuntungan.

Umur 15 Tahun Dah Mula Kejar Impian

Pada usia 15 tahun setelah tamat pelajaran di peringkat sekolah menengah, Soichiro telah mengambil keputusan untuk bekerja dan tidak meneruskan pelajaranya ke peringkat yang lebih tinggi. Pada suatu hari, beliau melihat sebuah iklan di dalam majalah basikal Ringyo no sekai yang menyatakan sebuah syarikat di Tokyo memerlukan seorang mekanik dengan kadar segera.

Soichiro telah memohon jawatan tersebut dan beliau diterima bekerja sebagai mekanik di usia yang sangat muda di Syarikat Arto Shokai di Tokyo. Soichiro belajar selok-belok automotif yang merupakan minatnya sejak kecil lagi. Selain daripada itu, beliau amat meminati bidang perlumbaan bermotor.

Soichiro Honda ketika bekerja sebagai mekanik dan pelumba di Syarikat Arto Shokai. Beliau banyak memenangi beberapa siri perlumbaan semasa menjadi seorang pelumba.

Minat Mendalam dan Mentor Yang Banyak Membantu

Ketika berada di Arto Shokai, Soichiro berkerja dengan begitu tekun dan rajin, malah beliau seorang yang sangat kreatif dengan mempunyai idea-idea baru. Bakat beliau dikesan oleh pengurus syarikat tersebut yang bernama Yuzo Sakakibara dan Soichiro banyak belajar dari pengurus ini mengenai hal ehwal perniagaan, cara berurusan dengan pelanggan dan tentu sekalilah ilmu automotif. Bagi Soichiro, pengurusnya itu bukan sekadar seorang jurutera malah merupakan seorang guru dan mentor baginya.

Sepanjang berada di Arto Shokai, Soichiro menjadi seorang mekanik yang berwibawa untuk syarikat dan juga seorang pelumba. Oleh kerana beliau seorang yang rajin dan kreatif, beliau telah berjaya mencipta kereta lumba daripada enjin jet yang terpakai iaitu menggunakan enjin syarikat Curtiss-Wright. Kebanyakan spare part yang digunakan oleh Soichiro untuk kereta lumba tersebut adalah hasil ciptaannya sendiri.

Pada tahun 1928, di atas kepercayaan pengurusnya terhadap dirinya itu, Soichiro telah membuka cawangan untuk syarikat Arto Shokai di kawasan Hamamatsu. Di cawangan tersebut, Soichiro telah menyelesaikan banyak permasalahan yang dihadapi oleh kereta lumba terutamanya enjin yang cepat panas. Beliau banyak menyelesaikan masalah tersebut dan membuatkannya bertambah yakin dengan dirinya sendiri terhadap bidang industri automotif ini.

Pernah Alami Kegagalan/Kemalangan

Pada tahun 1936, beliau telah menubuhkan sebuah syarikat pertamanya yang diberi nama Tokai Seiki Heavy Industry. Syarikat ini merupakan pembekal peralatan automotif terutamanya piston, yang merupakan bahagian yang sukar dan memerlukan teknologi tinggi di dalam penghasilannya.

Beliau membekalkan piston kepada syarikat Toyota yang pada masa itu merupakan jaguh utama dalam industri automotif di Jepun. Pada tahun itu juga, Soichiro telah terlibat kemalangan semasa dalam perlumbaan kereta yang disertai olehnya. Beliau telah mengalami patah bahu dan luka di bahagian muka.

Beliau telah dimasukan ke dalam hospital selama 3 bulan dan mendapat berita sedih bahawa daripada sejumlah 30,000 gelang piston yang dibekalkan kepada Toyota, hanya 5 sahaja yang diterima dan mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh mereka. Nasib Soichiro umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Tetapi halangan ini tidak sedikit pun mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang dalam industri automotif.

Perang Dunia Ke-2 Pula Berlaku

Pada era perang dunia ke-2, kerajaan Jepun telah mengambil alih syarikat Tokai Seiki miliknya. Mereka telah ditugaskan untuk menyediakan kipas pesawat tempur untuk tentera Jepun. Syarikat ini tidak bertahan lama kerana telah dibom oleh pesawat tempur Amerika semasa berlangsungnya perang tersebut.

Setelah tamatnya perang dunia ke-2, syarikatnya itu telah hancur berkecai dan beliau mengambil keputusan untuk menjual syarikat tersebut kepada syarikat Toyota. Beliau masih tidak berputus asa walaupun sudah tidak memiliki apa-apa, tetapi impianya dalam bidang automotif masih lagi bersamanya.

Lahirlah Syarikat Honda Pada Tahun 1946

Pada tahun 1946, Soichiro telah menubuhkan sebuah syarikat keduanya yang diberi nama Honda Technical Research Institute. Di sinilah era baru syarikat Honda pun bermula. Pada permulaan perniagaanya, Soichiro telah menjual motosikal yang diberi nama D-type. Ia menggunakan semua enjin yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat beliau.

Dengan pengenalan model ini, Honda semakin berkembang dan pada tahun 1952, Soichiro telah memindahkan pusat operasi syarikatnya dari Hamamatsu ke Tokyo.

Pekerja Syarikat Honda memasang model motosikal pertama Honda yang diberi nama D-type

Untuk menaikkan lagi jenama Honda, Soichiro telah menyertai perlumbaan yang pertama bagi syarikatnya pada tahun 1954 di Brazil. 5 tahun kemudian, Honda melibatkan diri dalam perlumbaan paling berprestij di Isle Island. Perlumbaan ini juga sangat terkenal kerana hanya pelumba yang berani mempertaruhkan nyawa sahaja yang mampu bersaing di dalam litar ini.

Walaupun tidak mendapat tempat yang pertama, jenama Honda semakin dikenali seluruh dunia disebabkan penyertaan syarikat tersebut dalam perlumbaan berprestij ini.

Kejayan Demi Kejayaan Ditempa Honda

Pada tahun 1961, Honda hanya mengeluarkan 100,000 unit motosikal setiap bulan. Tujuh tahun kemudian iaitu pada tahun 1968, Honda telah berjaya mengeluarkan sebanyak 1 juta unit motosikal setiap bulan.

Syarikat ini berada pada landasan yang betul dan pada dekad inilah, Honda telah mengorak langkah kehadapan dengan memperkenalkan kereta mereka yang pertama.

Halangan yang pertama dihadapi oleh Soichiro adalah dari kerajaan Jepun itu sendiri, yang telah menasihat beliau supaya tidak meneruskan impiannya untuk menubuhkan syarikat kereta. Ini kerana Jepun telah dipenuhi oleh pengeluar kereta yang lebih berpengalaman daripada Honda.

Tetapi kata-kata tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangat dan impian Soichiro. Ini kerana dari kecil lagi beliau berlari mengejar kereta Ford Model T sehingga lupa segala-galanya, dek kerana terlalu seronok dan berimpian yang pada suatu hari nanti akan menubuhkan syarikat keretanya sendiri.

Jenama Civic telah menaikan nama Honda dalam industri pembuatan kereta setaraf dengan pengeluar kereta yang lain

Mula Hasilkan Kereta Mesra Alam Sekitar

Kejayaan Honda dalam industri pembuatan kereta bermula pada dekad 1970-an yang mana pada masa itu kebanyakan pengeluar kereta tidak mampu membuat enjin yang mesra alam sekitar. Pada ketika ini, Syarikat Honda berjaya membangunkan teknologi dengan memperkenalkan enjin mesra alam yang mampu mengatasi masalah tersebut.

Enjin ini dimasukkan ke dalam kereta Civic pada tahun 1972 dan benar-benar menaikkan jenama Honda di mata dunia dalam industri pembuatan kereta. Selain daripada itu, Soichiro telah membuka kilang pertama Honda di Marysville, Ohio. Sebelum ini, tradisi Jepun tidak mempercayai bahawa ada bangsa di dunia ini yang mampu memasang kereta untuk syarikat Jepun kerana mereka percaya kualiti akan lebih terjamin sekiranya kereta tersebut itu hanya dipasang di negara Jepun.

Soichiro juga seorang yang menolak falsafah lapuk masyarakat Jepun. Di antaranya adalah beliau memilih seseorang yang berkelayakan berbanding tahap seniority untuk menjawat jawatan penting dalam syarikat.

Prinsip yang dipegang Soichiro Honda yang membuatnya berjaya mengapai apa yang diimpikan beliau

Pada dekad 80-an, Honda berjaya menjadi pengeluar kereta ketiga terbesar di dunia dengan mengambil masa lebih kurang 20 tahun. Kejayaan Soichiro membuatkan sesiapa sahaja percaya bahawa jika kita tidak putus asa dalam hidup, kejayaan akan menghampiri kita.

Seperti yang diungkapkan oleh industrialist terkenal Amerika Thomas Edison yang popular, beliau mengatakan bahawa 99% adalah usaha dan bakat hanya 1%. Bagi Soichiro pula, beliau percaya bahawa 1 kejayaan yang datang adalah hasil daripada 99 kali kegagalan.

Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1991 dan menjadi seorang watak yang penting dalam era moden industri automotif dunia.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.notablebiographies.com/He-Ho/Honda-Soichiro.html
  2. https://world.honda.com/history/limitlessdreams/joyofmanufacturing/
  3. https://www.asme.org/engineering-topics/articles/automotive/soichiro-honda
  4. https://astrumpeople.com/soichiro-honda-biography-a-great-history-of-japanese-car-manufacturer/
  5. https://interestingengineering.com/soichiro-honda-the-founder-of-honda-and-the-legend
  6. https://www.britannica.com/biography/Honda-Soichiro
  7. https://hamamatsu-daisuki.net/lan/en/greatmen/greatmen06.html
  8. http://www.automotivehalloffame.org/honoree/soichiro-honda/
  9. https://www.hondacarindia.com/about/honda-motor-co-founder
  10. https://biography.yourdictionary.com/soichiro-honda
  11. https://www.indiatoday.in/education-today/gk-current-affairs/story/soichiro-honda-839120-2016-11-16
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kita Bajet Insurans, Tapi Lupa Bajet Check-up

Hampir setiap ketua keluarga mempunyai bajet yang cukup terperinci untuk perlindungan kesihatan samada menerusi insurans atau takaful.

Di Majalah Labur, kami percaya ramai pembaca setia kami rata-rata bersetuju yang sejumlah 5% – 15% dari gaji bulanan adalah amaun yang cukup sihat untuk perlindungan kesihatan.

Akan tetapi, ada satu perkara yang sering tidak mempunyai bajet khusus: pemeriksaan kesihatan berkala.

Kita lebih mudah menyediakan RM200 untuk membaiki sesuatu selepas rosak berbanding memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan masalah itu dapat dikenal pasti lebih awal.

Baca : 5 Perkara Medical Card Boleh Bantu Yang Tak Ramai Orang Tahu!

Dalam kewangan peribadi, cara berfikir seperti ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, penangguhan boleh membawa kepada keadaan yang memerlukan lebih banyak masa, rawatan dan perbelanjaan.

Sebab itu preventive healthcare wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga, bukan sekadar perbelanjaan tambahan.

Ada bajet insurans. Bagaimana dengan bajet kesihatan?

Insurans atau takaful penting untuk melindungi kewangan apabila berlaku keadaan yang memerlukan rawatan atau kemasukan ke hospital.

Tetapi perlindungan kewangan tidak semestinya bermaksud kita tidak perlu menyediakan bajet untuk penjagaan kesihatan rutin.

Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko, memberi nasihat pengurusan risiko dan membuat rujukan lanjut jika diperlukan.

pemeriksaan kesihatan

Pada asasnya, terdapat perbezaan antara:

“Saya mempunyai perlindungan jika sesuatu berlaku”

dengan

“Saya memperuntukkan wang untuk mengetahui keadaan kesihatan saya secara berkala.”

Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan kesihatan.

Kesilapan ibu bapa : tunggu anak sakit baru bawa berjumpa doktor gigi

Perkara ini lebih mudah berlaku dalam kalangan ibu bapa. Anak tidak mengadu sakit, jadi pemeriksaan ditangguhkan. Gigi susu pula dianggap tidak begitu penting kerana akhirnya akan tanggal.

Apabila sakit mula berlaku, barulah ibu bapa mencari rawatan. Masalahnya, ketiadaan sakit tidak semestinya bermaksud tiada masalah.

Masalah ini yang cuba diketengahkan oleh Dr. A’tikah U’zed (Doktor Gigi di Klinik Pergigian Aesira) yang melihat ada keperluan untuk ibu bapa di Malaysia mengkhususkan wang untuk rawatan gigi anak mereka atau mereka sendiri!

pemeriksaan kesihatan gigi

Penegasan ini nampak ada intinya selepas kami melihat bahawa data National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 menunjukkan ;

“Prevalens karies dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas ialah 85.1%, manakala dalam kumpulan umur 15–19 tahun pun prevalensnya masih 51.7%. Dalam kalangan orang dewasa yang mempunyai gigi, 40.7% mempunyai keperluan rawatan restoratif, 28.9% keperluan cabutan dan 4.5% keperluan rawatan endodontik.”

Masalah gusi juga tidak semestinya bermula dengan kesakitan.

NOHSA 2020 mendapati hanya 5.1% populasi bergigi mempunyai periodontium yang sihat, sementara 38.2% mempunyai periodontitis. KKM turut menerangkan bahawa penyakit periodontal boleh tidak disedari kerana pada peringkat awal ia boleh berlaku tanpa sakit.

Ini menjadikan pemeriksaan berkala satu perkara yang relevan bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada cara keluarga merancang perbelanjaan.

Kos rawatan gigi sebenarnya boleh dilihat sebagai kos tahunan

BilRawatanAnggaran kosKekerapan /Perspektif
1Konsultasi & pemeriksaan gigiRM30–RM1006–12 bulan / mengikut risikoKos asas untuk mengetahui keadaan gigi sebelum membuat keputusan rawatan
2X-ray gigi kecil (periapikal/bitewing)RM30–RM80Jika diperlukan doktorMembantu melihat masalah yang tidak jelas melalui pemeriksaan biasa
3X-ray panoramic (OPG)RM80–RM200Jika diperlukanBiasanya untuk penilaian keseluruhan rahang, gigi bongsu atau perancangan tertentu
4Scaling & polishingRM80–RM250Mengikut keadaan gigi/gusiPenjagaan berkala yang boleh dimasukkan dalam bajet pergigian tahunan
5Rawatan fluoridaRM50–RM120Berdasarkan risiko, terutama kanak-kanakPreventive care yang boleh dirancang lebih awal
6Fissure sealant±RM50–RM100/gigiTerutama gigi tertentu kanak-kanakPerbelanjaan pencegahan yang dibuat berdasarkan penilaian doktor
7Tampalan gigiRM80–RM300/gigiApabila terdapat kariesContoh kos rawatan yang mungkin timbul selepas pemeriksaan
8Cabutan gigi biasaRM80–RM300/gigiJika gigi tidak dapat dikekalkan / perlu dicabutKos meningkat berbanding penjagaan rutin apabila masalah memerlukan prosedur
9Rawatan saluran akar (root canal)±RM600–RM2,000/gigiUntuk gigi dengan masalah pulpa tertentuContoh bagaimana rawatan boleh menjadi lebih kompleks dan memerlukan bajet lebih besar
10Pembedahan gigi bongsu±RM800–RM2,500/gigiJika impaksi/kerumitan memerlukan pembedahanContoh kos prosedur yang lebih besar dan sukar dirancang sebagai perbelanjaan rutin

Semak : Senarai Harga Rawatan Gigi Terkini

Daripada melihat pergigian sebagai:

“Berapa saya perlu bayar apabila gigi sakit?”

lebih baik keluarga melihatnya sebagai:

“Berapa bajet saya perlu sediakan setiap tahun untuk penjagaan gigi?”

Ini tidak bermaksud seseorang perlu menjalani rawatan setiap tahun.

Sebaliknya, bajet tersebut boleh merangkumi pemeriksaan, penjagaan pencegahan dan rawatan yang diperlukan berdasarkan penilaian doktor gigi.

Kekerapan pemeriksaan pula bukan satu angka yang wajib sama untuk semua orang. Sesetengah individu mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap berdasarkan risiko karies, keadaan gusi, sejarah rawatan dan faktor kesihatan lain.

Matlamatnya ialah tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula merancang.

Contohnya, gigi jarang bukan semata-mata soal kosmetik

Ambil contoh diastema, atau gigi jarang.

Menurut Dr. A’tikah U’zied, diastema ialah ruang antara dua gigi yang paling kerap dilihat pada gigi hadapan atas.

Ia boleh berkait dengan saiz gigi berbanding rahang, faktor struktur semula jadi atau tabiat tertentu. Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah ruang yang jelas antara gigi atau ruang yang semakin melebar.

Tidak semua diastema memerlukan rawatan.

Baca : Mencari Medical Card Terbaik? Tipu Semua Tu. Fahamkan 5 Perkara Ini

Tetapi apabila ibu bapa atau individu menyedari perubahan pada kedudukan atau jarak gigi, pemeriksaan memberikan peluang untuk menentukan sama ada ia sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan pemantauan atau rawatan.

Inilah konsep financial planning yang sering terlepas pandang.

Pemeriksaan bukan bermaksud kita sudah bersetuju untuk menjalani rawatan.

Pemeriksaan bermaksud kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Dengan maklumat itu, keluarga boleh membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, bila ia perlu dilakukan dan bagaimana perbelanjaannya boleh dirancang.

Jadi, enam bulan atau setahun sekali?

Jawapannya bergantung kepada individu.

Jadual pemeriksaan gigi sepatutnya mengambil kira keadaan gigi dan gusi, tahap risiko, umur, sejarah rawatan serta penilaian doktor gigi.

Bagi sesetengah orang, pemeriksaan enam bulan sekali mungkin sesuai. Bagi yang lain, doktor mungkin mencadangkan sela masa yang berbeza.

Yang penting ialah jangan menjadikan “tidak sakit” sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada pemeriksaan diperlukan.

Konsep yang sama digunakan dalam kesihatan secara umum. KKM menerangkan bahawa saringan kesihatan bertujuan membantu mengenal pasti faktor risiko dan penyakit lebih awal supaya pengurusan dapat dimulakan.

Bagaimana keluarga boleh masukkan kesihatan dalam financial planning?

Satu pendekatan mudah ialah membahagikan perancangan kepada beberapa lapisan:

Pertama, perlindungan.
Insurans atau takaful untuk risiko kesihatan yang besar, mengikut kemampuan dan keperluan keluarga.

Kedua, dana kecemasan.
Simpanan tunai untuk perbelanjaan kesihatan atau kecemasan yang tidak dirancang.

Ketiga, preventive healthcare.
Bajet tahunan untuk pemeriksaan dan saringan yang bersesuaian dengan umur serta faktor risiko.

Keempat, penjagaan rutin.
Termasuk pergigian dan keperluan kesihatan lain yang boleh dijangka.

Dengan cara ini, kesihatan tidak hanya muncul dalam bajet apabila sesuatu sudah berlaku.

Baca : Permintaan Sektor Penjagaan Kesihatan Diunjur Meningkat Bagi Jangka Panjang

Kesihatan juga perlukan bajet sebelum ia menjadi kecemasan

Financial planning yang baik bukan sekadar mempunyai wang apabila berlaku masalah.

Ia juga tentang mengetahui perbelanjaan yang boleh dijangka, menyediakan ruang untuk penjagaan berkala dan membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum keadaan menjadi mendesak.

pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan kesihatan tidak menjamin seseorang akan terlepas daripada penyakit atau rawatan mahal. Begitu juga pemeriksaan gigi tidak menjamin seseorang tidak akan memerlukan prosedur kompleks pada masa hadapan.

Namun, pemeriksaan memberikan sesuatu yang penting dalam perancangan kewangan:

maklumat lebih awal.

Dan maklumat lebih awal memberikan keluarga peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang, sama ada perlu merawat sekarang, memantau dahulu atau menyediakan bajet untuk rawatan pada masa akan datang.

Jadi, apabila menyediakan bajet keluarga untuk tahun hadapan, jangan hanya tanya:

“Berapa saya perlu simpan kalau saya jatuh sakit?”

Tanya juga:

“Berapa yang saya sanggup peruntukkan untuk mengetahui keadaan kesihatan saya sebelum ia menjadi kecemasan?”

Kerana dalam pengurusan kewangan kesihatan, bil rawatan bukan satu-satunya kos yang perlu difikirkan.

Masa, ketidakselesaan, kehilangan produktiviti dan keputusan yang dibuat ketika keadaan sudah mendesak juga mempunyai nilai.

Preventive healthcare bukan tentang berbelanja sebanyak mungkin untuk kesihatan.

Ia tentang merancang supaya kesihatan tidak menjadi kejutan kewangan kepada keluarga.

Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat doktor atau doktor gigi. Keperluan pemeriksaan, saringan dan rawatan berbeza mengikut keadaan individu.