Nona Roguy: Daripada Pelukis Kepada Pakar Herba

Bagi para ibu dan juga yang bakal bergelar ibu, jenama jamu Nona Roguy sudah pasti tidak perlu diperkenalkan lagi. Produk Nona Roguy merupakan antara jenama jamu yang sering menjadi pilihan para ibu yang baru melahirkan anak untuk memulihkan kesihatan dalaman.

Kali ini kami ingin berkongsi tentang figura hebat disebalik jenama terkemuka ini.

Pengasas kepada produk kesihatan berasaskan herba ini adalah Datin Sharifah Anisah Bt Tan Sri Dato’ Profesor Syed Agil Barakbah. Beliau dilahirkan di Alor Setar Kedah dan mendapat pendidikan awal di Kedah, Perak dan Johor.

Anak kepada bekas hakim ini mempunyai minat yang amat mendalam dalam seni lukis sehingga pernah memenangi beberapa pertandingan melukis di peringkat nasional.

Sumber : MSU

Kalau anda hendak tahu, beliau juga merupakan wanita Melayu pertama yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni halus di Royal Academy of Fine Arts, Munich, Jerman. Setelah meaamatkan pengajian, beliau memilih untuk menjadi seorang pelukis.

Tidak pernah terlintas langsung di fikirannya untuk menceburkan diri dalam bidang yang berasaskan herba ini. Namun, segalanya berubah apabila seorang rakannya mengadu yang rahimnya bakal dibuang akibat ‘turun darah’. Mendengar tentang berita ini, Datin Anisah telah menefon ibunya bagi mendapatkan bantuan.

Melalui petua serta resepi yang diberikan itu, beliau telah meramu sendiri kesemua bahan untuk dijadikan ubat lalu diberikan kepada rakannya itu. Dan tidak sampai sehari, darah sudah berhenti mengalir! Bermula dari situlah minat terhadap perubatan tradisional dan herba mula muncul.

Pada tahun 1965, beliau telah mengambil langkah drastik menukar kerjaya kepada pengusaha jamu tradisi. Pada awalnya produknya dikenali dengan nama ‘Ubat Mak Tuan’ atau ‘Ubat Kak Pah’.

Segala ramuan ini diadun sendiri di dapur rumah beliau. Pada tahun 1983, beliau melangkah setapak lagi apabila membuka sebuah spa di Ampang dan kemudiannya berpindah pula ke Damansara pada tahun 1990.

Pada tahun 1993, Syarikat Nona Roguy telah ditubuhkan. Tahukah anda maksud disebalik nama ini?

Nona Roguy diambil daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud ‘bebas daripada penyakit’. Beliau turut mendapat bantuan daripada kakaknya Sharifah Rogayah untuk menguruskan kilang Nona Roguy di Alor Setar. Bermula dari itu, jenama ini terus berkembang sehingga dikenali di seluruh Malaysia.

Dengan kepakaran serta pengetahuan yang mendalam dalam herba serta perawatan tradisional, Datin Anisah sentiasa menjadi tempat rujukan bagi membongkar misteri perubatan Melayu. Beliau juga seringkali dijemput untuk berkongsi pengetahuannya di dalam dan luar negara.

Jenama Nona Roguy juga telah menjadi peneraju dalam memberikan perkhidmatan Spa Melayu di resort serta hotel yang bertaraf lima bintang. Ini telah membuka peluang yang lebih besar kepada beliau apabila dijemput mengadakan demontrasi serta promosi di gedung terkemuka London iaitu The Harrods!

Sebenarnya banyak lagi sumbangan Datin Anisah kepada dunia perubatan tradisi Melayu. Usaha serta kerja keras beliau dalam mempromosikan herba serta perubatan tradisional telah membolehkan beliau mendapat pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Sumber Rujukan: Success Usahawan

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.