Kenapa Harga Rumah Semakin Mahal?

Kita kerap mendengar cakap-cakap dan bualan orang kita bahawa harga rumah hari ini semakin mahal sehingga mencapai satu tahap harga yang tidak lagi munasabah dan mustahil untuk dibeli oleh generasi muda.

Adakah harga rumah naik secara mendadak sejak beberapa tahun yang lalu atau kos untuk membina rumah yang semakin meningkat menjadi faktor utama?

“Ada orang kata, harga rumah dah turun, tapi masih ramai lagi rakyat Malaysia yang menyewa.”

Sebenarnya, harga rumah tidaklah meningkat sepanjang tahun. Berdasarkan data dan statistik yang dikeluarkan NAPIC, indeks harga rumah pada tahun 2018 di bandar-bandar utama menurun sehingga -0.6%.

Sumber : Housingwatch.my

Data juga menunjukkan indeks harga rumah di Sabah dan Sarawak menurun kepada 4.8% dan 4.3% pada suku kedua tahun 2018 berbanding 6.6% dan 6.9% pada suku pertama tahun 2018.

Persoalannya di sini, kenapa harga rumah masih mahal?

1. Penawaran vs Permintaan

Punca paling jelas kenapa harga rumah terlalu mahal di Malaysia adalah gara-gara penawaran hartanah oleh pemaju yang tidak selari dengan permintaan hartanah oleh pembeli.

Jika kita lihat pasaran hartanah hari ini, terdapat banyak lambakan projek mewah yang ditawarkan pemaju hartanah dan kurangnya projek perumahan mampu milik yang signifikan dengan gaji isi rumah rakyat Malaysia.

Isu penawaran yang tidak selari dengan permintaan ini akhirnya membentuk satu ekosistem ekonomi yang tidak sihat dan akhirnya menjadi barah buat golongan B40 khususnya anak muda.

Kesan negatif daripada isu ini mampu dilihat dengan jelas apabila penawaran adalah rendah dan permintaan adalah tinggi, maka harga hartanah menjadi mahal.

Berbeza pula apabila penawaran adalah tinggi dan permintaan adalah rendah, maka harga hartanah akan menjadi murah dan terkawal.

2. Kos vs Inflasi

Inflasi bermaksud kenaikan harga umum barang dalam satu rangkaian ekonomi dari semasa ke semasa.

Inflasi juga menjadi cerminan bahawa kuasa beli wang akan menurun berbanding nilainya. Dalam erti kata mudah, perbezaan harga nasi lemak pada tahun 1999 dan 2019 adalah kerana inflasi.

Begitu juga dengan harga rumah yang turut menerima tempias inflasi, di mana harga rumah akan meningkat secara normal pada kadar 3%-4% setahun.

Sungguhpun begitu, peratus median inflasi hartanah di Malaysia adalah sangat berbeza dari tahun ke tahun. Terdapat tahun yang mencatatkan 2% manakala ada juga yang mencatatkan sehingga 6%!

Apa yang menyedihkan tentang inflasi di Malaysia adalah, boleh dikatakan hampir semua harga barang daripada komoditi keperkhidmatan mengalami peningkatan setiap tahun.

Akan tetapi, tangga gaji rakyat Malaysia kekal sama untuk tempoh yang lama menyebabkan kuasa beli di kalangan rakyat Malaysia tidak selari dengan inflasi.

3. Sumber Pendapatan Negara

Tahukah anda, kos asas untuk beli rumah seperti duti setem merupakan salah satu daripada sumber pendapatan negara?

Hal ini tidak mengejutkan apabila Lim Guan Eng mengumumkan pada 20 Januari yang lalu bahawa kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mencatatkan kutipan sebanyak RM137.035 bilion pada tahun 2018.

Selain daripada itu, Sales and Services Tax (SST)  dan Real Property Gain Tax (RPGT) turut merupakan sumber utama pendapatan negara.

Oleh yang demikian, harga rumah sangat berkait rapat dengan polisi dan sistem cukai negara kerana diselia sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

4. Spekulasi Hartanah

Faktor terakhir yakni spekulasi hartanah boleh dikatakan faktor yang paling tidak popular namun memainkan peranan yang besar dalam pasaran.

Apabila pakar-pakar hartanah membuat spekulasi akan turun atau naik sesebuah hartanah atau kawasan, bakal pembeli hartanah sudah pastinya akan mengambil kira pandangan tersebut dan menjadikannya penyebab untuk membeli hartanah.

Spekulasi hartanah asasnya didorong oleh beberapa elemen seperti booster hartanah, kebolehan untuk pelaburan jangka panjang dan kadar sewaan ke atas penyewa di kawasan tersebut.

Kesannya, harga rumah di kawasan tersebut akan meningkat kerana permintaannya yang meningkat.

Oleh yang demikian, apabila terdapat sebarang spekulasi hartanah di dada akhbar atau laman sosial, sila lakukan kajian yang mendalam berkenaan potensi hartanah dan kawasan tersebut agar tidak tersilap langkah.

Ditulis oleh Mehmed Aezhad, beliau merupakan seorang Digital Marketing Specialist yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran digital hartanah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Sime Darby Property Perkenal Logo Baharu, Mengukuhkan Legasi 50 Tahun Dalam Hartanah

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Sime Darby Property Bhd hari ini telah memperkenalkan logo baharu, mengesahkan peranannya sebagai peneraju dan pembina negara dengan rangkuman legasi lebih dari 50 tahun dalam pembangunan hartanah.

Pengerusi, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata pembaharuan jenamanya merupakan evolusi strategik untuk memastikan kumpulan terus memberikan nilai yang mampan kepada semua pihak berkepentingan.

Setiap langkah kumpulan dipandu dengan pertimbangan yang teliti agar kekal relevan, untuk mewujudkan impak yang bermakna dan menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia dengan kaedah, dari kemampanan serta biodiversiti kepada perkongsian dan pengalaman pelanggan.

“Sebagai sebuah syarikat di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB), mandat kami sentiasa melangkaui prestasi perniagaan. Kami berkongsi visi PNB untuk pembangunan negara dan kemajuan sosial.

“Pembaharuan jenama ini mengasah tumpuan kami terhadap tanggungjawab itu, memperkuat peranan kami dalam membangunkan komuniti yang mampan, menyokong perniagaan tempatan serta mewujudkan peluang yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya semasa majlis pelancaran pembaharuan jenama itu di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azmir Merican berkata jenama Sime Darby Property adalah janji yang dibina melalui penyampaian yang sudah sedekad sambil menonjolkan evolusi ini akan memantapkan bertapa relevannya penawaran kumpulan itu.

Beliau berkata dari Sime UEP Properties Bhd ke Sime Darby Property hari ini, legasi kumpulan itu sentiasa tertumpu kepada mewujudkan perbandaran yang berdaya tahan dan komuniti yang berkembang maju.

“Kami tidak cuba melupakan sejarah lampau kami dan kami tidak pinggirkan apa yang telah membawa kami sejauh ini.

“Pembaharuan jenama ini datang pada masa yang penting dalam perjalanan kami. Ia mencerminkan bukan hanya siapa kami pada hari ini tetapi arah strategik yang dicarta untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Pembangunan perindustrian dan logistik kumpulan seperti Bandar Elmina dan Bandar Bukit Raja, bukan sekadar bangunan sahaja memandangkan perkembangan ini juga membentuk koridor ekonomi dan menarik perniagaan global melalui perkongsian strategik.

“Seiringan itu, platform pengurusan pelaburan aset dan pelaburan kami sedang berkembang, dengan aset runcit, komersial termasuk perindustrian yang menyediakan pendapatan berulang serta kestabilan jangka panjang bagi melengkapkan perniagaan teras kami dan menyediakan kestabilan masa depan,” katanya.

Menurut Sime Darby Property, pembaharuan jenama itu juga mencerminkan keutamaan strategik kumpulan di bawah strategi SHIFT25, yang telah memasuki fasa terakhirnya.

“Ini termasuk mengukuhkan aliran pendapatan berulang dan meletakkan dirinya sebagai penyedia penyelesaian perbandaran. Hala tuju ini ini sudah dapat dilihat dalam portfolio perindustrian dan logistik serta kemasukannya ke segmen pusat data di Elmina Business Park,” katanya.

Dengan legasi yang merangkumi lebih dari 50 tahun dalam pembangunan hartanah serta lebih daripada 200 tahun melalui warisan Guthrie, Golden Hope dan Sime Darby, kumpulan itu telah lama memainkan peranan penentu dalam membentuk perbandaran dan komuniti Malaysia.

Bermula dengan projek perintis seperti Taman Melawati dan Subang Jaya ke perbandaran yang memenangi anugerah seperti Bukit Jelutong dan Bandar Elmina, Sime Darby Property telah menyampaikan lebih daripada 100,000 kediaman di 26 perbandaran aktif, hari ini berkhidmat kepada lebih dari 300,000 rakyat Malaysia.
— BERNAMA