5 Tips Maksimakan Manfaat e-Wallet

Trend penggunaan e-wallet di Malaysia semakin meriah. Dan bermula 15 Januari 2020 yang lalu, rakyat Malaysia bakal menikmati RM30 ‘percuma’ sempena kempen e-Tunai Rakyat menerusi 3 e-wallet yang terpilih: Touch & Go, Boost dan Grab.

Kalau diikutkan, sebesar-besar hypermarket sehinggalah ke gerai-gerai tepi jalan pun ada yang dah boleh terima bayaran dengan e-wallet. Mesti ada manfaat kenapa merchant nak mengadaptasi pengunaan e-wallet walaupun dikenakan fee. Di antaranya, terdapat marketing yang boleh disertakan dalam aplikasi e-wallet yang boleh bantu naikkan volume jualan.

Itu serba sedikit dari sudut pandang perniagaan. Macam mana pula dengan pengguna e-wallet? Nak bayar pun senang, tak payah buka wallet, buka handset, scan barcode dekat cashier, masuk amaun, done!

Jadi berikut adalah 5 tips untuk memaksimalkan manfaat e-wallet:

1. Gunakan Sebagai Alternatif Tunai Untuk Perbelanjaan Tetap

Sumber gambar : www.grab.com

Jika ada pilihan untuk gunakan e-wallet, jadikan ia cara pembayaran utama untuk perbelanjaan wajib seperti petrol, bil-bil dan sebagainya. Kedai-kedai serta restoran sekarang pun banyak dah sediakan kemudahan ni. Kalau bayar dengan wang tunai jarang sangat kita akan dapat apa-apa ganjaran.

Dengan e-wallet, banyak tawaran seperti diskaun, rebat tunai dan mata ganjaran yang boleh diterima. Ganjaran e-wallet juga rata-rata nilainya lebih tinggi dan tak ada had maksima macam ganjaran kad kredit.

2. ‘Promosi’ Tak Semestinya Berbaloi, Amalkan Self-Control Untuk Perbelanjaan Sampingan

E-wallet boleh dilihat seakan sama dengan kad kredit yang cuba galakkan kita berbelanja sebanyak mungkin. Ingat yang kita perlu ‘berjimat dalam berbelanja’, dan bukan ‘berbelanja untuk berjimat’.

Kita tidak dikira berjimat sekiranya membayar RM15 selepas diskaun untuk secawan kopi. Kalau bayar RM2.50 untuk secawan bubble tea itu masih boleh diterima.

3. Topup Nilai e-Wallet Dengan Kad Kredit

Kita akan dapat manfaat 2 dalam 1. Walaupun ada bank-bank yang mula nampak tergugat dan dah hentikan ganjaran untuk transaksi tambah nilai e-wallet, namun masih ada lagi yang memilih untuk ‘ride the trend’ terutama yang melibatkan ‘closed e-wallet’ (e-wallet yang tidak ada fungsi pengeluaran tunai).

Ganjaran daripada kad kredit pun dapat, manfaat daripada e-wallet pun dapat.

4. Jana Pendapatan Sampingan Ala ‘Gig Economy’

Lagi banyak belanja, lagi tinggi ganjaran tanpa had. Ambil peluang dengan tawarkan kepada keluarga dan kenalan untuk bayarkan bil-bil, hutang PTPTN, kredit prabayar, bayaran makan di restoran dan lain-lain yang kita boleh gunakan e-wallet.

Kita hanya perlu kutip jumlah yang dibayarkan dan tak perlu kenakan apa-apa caj tambahan. Cashback dan mata ganjaran yang diterima cukup untuk jadi pulangan yang berbaloi untuk usaha tersebut.

Nak jadi ejen top-up pun boleh. Atau lebih advance lagi, kita boleh jadi seorang ‘Personal Shopper’ dengan mengenakan sedikit caj perkhidmatan sebagai pendapatan tambahan selain daripada ganjaran menggunakan e-wallet.

5. Melabur Dalam Syarikat Berkaitan e-Wallet

Kita yang menetap di bandar-bandar utama mungkin merasakan trend penggunaan e-wallet sudah memuncak. Tapi apa yang kita nampak mungkin ialah suatu ‘breakout’ yang boleh mencetus gelombang ke tahap lebih tinggi. Cuba tanya apa pendapat sifu-sifu analisa teknikal di luar sana.

Realitinya, 80-90% transaksi jual beli di seluruh negara masih menggunakan wang tunai. Di antara sebab utama ialah adaptasi e-wallet majoritinya hanya dalam kelompok golongan muda dan mereka yang tinggal di bandar saja.

Maka potensi e-wallet akan semakin meningkat seiring dengan peralihan generasi dan penggunaan yang meluas di luar bandar.

Jika dibandingkan dengan kad kredit yang agak memakan masa untuk menjadi ‘mainstream’, e-wallet dilihat tidak menghadapi masalah yang sama kerana adaptasi e-wallet tidak memerlukan proses yang rumit seperti permohonan kad kredit. Sesiapa pun boleh install aplikasi e-wallet di dalam telefon pintar dan terus menggunakannya.

Sekarang dah timbul pula isu ‘patuh syariah’ membabitkan e-wallet. Tak perlu risau sebab isu macam ni biasanya ada kesan positif juga dengan beri publisiti pada subjek berkenaan. Bila resolusi berkaitan dicapai, pastinya penerimaan e-wallet akan jadi semakin baik.

Kesimpulannya, e-wallet adalah perniagaan masa hadapan!

Ditulis oleh Izzudeen Razali, penulis adalah penganalisis di sebuah firma pengurusan dana dan aset di Malaysia. Penulis adalah ahli Malaysian Association of Technical Analysts (MATA)

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Apa Sebenarnya Isu dengan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT)?

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai usahawan berkongsi pengalaman berhubung kewajipan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ke atas bayaran kepada syarikat luar negara seperti Meta, Google dan platform digital lain.

Ada yang menganggap WHT sebagai cukai baharu LHDN. Ada pula yang mempersoalkan kenapa perlu membayar WHT sedangkan mereka sudah membayar SST.

Sebenarnya, konsep WHT bukan perkara baharu. Persoalannya ialah mengapa ia kini menjadi perhatian ramai, khususnya dalam kalangan usahawan digital. Kenapa sebenarnya Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ini menjadi isu dalam kalangan usahawan yang menggunakan platform pengiklanan digital?

Jawapannya terletak pada bagaimana cara perniagaan beroperasi hari ini.

Dulu, iklan banyak dibelanjakan dalam negara.

Syarikat akan beli ruang iklan di surat khabar, stesen TV atau radio tempatan.

Media tempatan memperoleh pendapatan.

Pekerja mereka dibayar gaji.

Syarikat pula membayar cukai pendapatan di Malaysia.

Hari ini, landskap sudah berubah.

Ramai usahawan beriklan di Facebook, Instagram, Google dan TikTok.

Setiap bulan, ada yang membelanjakan ribuan, malah jutaan ringgit.

Tetapi bayaran itu tidak lagi diterima oleh syarikat tempatan.

Ia dibayar kepada syarikat di luar negara.

Persoalannya…

Patutkah Malaysia mempunyai hak mengenakan cukai ke atas sebahagian daripada pendapatan yang dijana daripada pasaran Malaysia?

Di sinilah perlunya konsep Withholding Tax (WHT).

WHT bukan bermaksud syarikat luar negara tidak membayar cukai di negara mereka. Mereka mungkin tetap dikenakan cukai mengikut undang-undang negara masing-masing. Jadi kerajaan Malaysia berpendapat, negara ini juga patut ada sedikit hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu yang keluar ke luar negara.

Oleh sebab syarikat tersebut berada di luar bidang kuasa LHDN, undang-undang meletakkan tanggungjawab kepada pihak yang membuat bayaran di Malaysia untuk memotong dan meremit cukai tersebut jika bayaran itu tertakluk kepada WHT.

Contoh

Bayangkan ada dua content creator.

Amir tinggal di Malaysia. Sebuah syarikat kosmetik Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan promosi. Amir akan melaporkan pendapatan itu dan membayar cukai di Malaysia.

Alex pula tinggal di Ireland. Syarikat kosmetik yang sama di Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan yang menyasarkan pelanggan di Malaysia. Alex juga mungkin akan membayar cukai di Ireland mengikut undang-undang negara tersebut.

Persoalannya, bayaran RM100,000 itu datang daripada syarikat Malaysia. Adakah Malaysia juga patut mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tersebut?

Inilah antara rasional kewujudan WHT.

WHT bukan bermaksud Alex tidak membayar cukai di Ireland. Sebaliknya, ia merupakan mekanisme yang membolehkan Malaysia mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu kepada bukan pemastautin apabila syarat-syarat di bawah undang-undang dipenuhi.

Antara bayaran yang lazim tertakluk kepada WHT ialah:

  • Royalti (Seksyen 109)
  • Faedah (Seksyen 109)
  • Perkhidmatan, pengurusan atau khidmat khas (Seksyen 109B)
  • Pendapatan artis luar negara (Seksyen 109A)
  • Pendapatan kontrak (Seksyen 107A)

Namun, bukan semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Sama ada WHT terpakai bergantung kepada jenis bayaran, fakta sesuatu transaksi serta jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Apa jadi kalau WHT tidak dipatuhi?

Bayangkan sebuah syarikat kosmetik di Malaysia.

Setiap bulan syarikat ini beriklan di Facebook dan Instagram.

Sepanjang tahun, jumlah belanja iklan mencecah RM1 juta.

Walaupun jumlah itu terkumpul sepanjang tahun, kewajipan WHT tidak timbul di hujung tahun. Sebaliknya, ia perlu dipatuhi bagi setiap bayaran yang dibuat kepada Meta Platforms Ireland Ltd (dahulunya dikenali sebagai Facebook Ireland Ltd) .

Berapa kadar WHT yang perlu dibayar?

Bayaran kepada Meta Platforms Ireland Limited bagi pengiklanan digital tertakluk kepada WHT sebagai royalti. Ramai menyangka kadarnya sentiasa 10%.

Namun bagi Meta, keadaannya sedikit berbeza.

Ini kerana Meta mengeluarkan invois kepada pelanggan Malaysia melalui Meta Platforms Ireland Limited, manakala Malaysia dan Ireland mempunyai Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Jika syarat-syarat DTA dipenuhi, kadar WHT yang dikenakan ialah 8%, berbanding kadar domestik 10%.

Nota: Bagi TikTok Ads, oleh kerana invois dikeluarkan oleh TikTok Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, pembayar cukai perlu memastikan syarikat tersebut benar-benar merupakan pemastautin cukai Singapura sebelum menggunakan kadar WHT (8%) di bawah DTA Malaysia–Singapura.

Jika bayaran kepada Meta Platforms Ireland Ltd tertakluk kepada WHT tetapi syarikat gagal mematuhi kewajipan tersebut, kesannya bukan sekadar perlu membayar WHT.

Perbelanjaan iklan RM1 juta itu juga boleh tidak dibenarkan sebagai potongan cukai di bawah perenggan 39(1)(j) Akta Cukai Pendapatan 1967 sehingga WHT dijelaskan.

Katakan syarikat itu memperoleh untung sebelum cukai RM2 juta.

Jika WHT dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Tolak kos iklan: RM1,000,000
  • Pendapatan bercukai: RM1,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM240,000

Jika WHT tidak dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Kos iklan RM1,000,000 tidak dibenarkan
  • Pendapatan bercukai: RM2,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM480,000

Perbezaan cukai: RM240,000.

Itu belum mengambil kira WHT yang masih perlu dijelaskan serta kenaikan jika lewat dibayar.

WHT bukan untuk iklan di sosial media sahaja

Ramai ingat WHT hanya berkaitan pengiklanan di Meta (Facebook & Instagram), Google Adwords atau TikTok Ads.

Sebenarnya tidak.

WHT telah lama wujud dan melibatkan pelbagai jenis bayaran kepada syarikat atau individu bukan pemastautin.

Antaranya ialah:

🛠️ Perkhidmatan

Contohnya sebuah kilang di Malaysia mengupah jurutera dari Jepun untuk memasang mesin.

💻 Perisian dan langganan digital

Contohnya bayaran lesen perisian, cloud computing atau platform AI kepada syarikat luar negara. (Tertakluk kepada fakta dan jenis bayaran.)

🎬 Content creator atau influencer luar negara

Contohnya syarikat kosmetik Malaysia membayar influencer di Korea Selatan untuk mempromosikan produk kepada pelanggan Malaysia.

🏷️ Royalti

Contohnya, sebuah syarikat Malaysia membayar royalti kepada pemilik jenama luar negara untuk menggunakan jenama tersebut di Malaysia.

Bagaimana hendak membayar WHT?

Jika sesuatu bayaran memang tertakluk kepada WHT, proses pembayarannya kini dibuat secara dalam talian melalui Portal MyTax menggunakan aplikasi e-WHT. LHDN menggalakkan pembayar cukai mengemukakan borang dan membuat bayaran melalui platform ini.

Secara ringkas, prosesnya adalah seperti berikut:

  1. Log masuk ke MyTax.
  2. Pilih ezHasil Services → e-WHT.
  3. Pilih borang WHT yang berkaitan (contohnya CP37 untuk royalti).
  4. Masukkan maklumat pembayar, penerima (termasuk TIN) dan butiran bayaran.
  5. Jana Bill Number.
  6. Buat pembayaran melalui ByrHASiL (FPX) atau saluran pembayaran yang dibenarkan.
  7. Muat turun resit pembayaran untuk simpanan rekod.

Tip: Antara cabaran yang sering dihadapi usahawan ialah mendapatkan maklumat penerima seperti Tax Identification Number (TIN) bagi syarikat luar negara. Jika TIN penerima belum tersedia, pembayar cukai boleh mendapatkan bantuan daripada LHDN melalui [email protected]

Kesimpulannya

Kita perlu faham bahawa WHT adalah mekanisme yang digunakan untuk memberi hak percukaian kepada Malaysia ke atas bayaran tertentu yang mengalir ke luar negara.

Ramai usahawan bukanlah mempertikaikan hak kerajaan untuk mengutip cukai. Apa yang mereka rungutkan ialah beban yang semakin bertambah.

Hari ini, mereka sudah pun membayar SST 8% ke atas perkhidmatan iklan digital. Dalam masa yang sama, timbul pula isu WHT yang memerlukan proses pengemukaan borang CP37 dan bayaran secara manual kepada LHDN.

Sebab itulah ada yang merasakan kos semakin tinggi, walaupun SST dan WHT sebenarnya merupakan dua cukai yang berbeza.

Namun, dalam era ekonomi digital hari ini, mungkin sudah tiba masanya mekanisme ini ditambah baik.

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah:

  • Mewujudkan nilai ambang (threshold), sebagai contoh, hanya syarikat yang mempunyai hasil jualan tahunan melebihi jumlah tertentu diwajibkan mematuhi WHT bagi transaksi digital, manakala perusahaan mikro dan kecil diberi pengecualian
  • Menyediakan mekanisme pemotongan automatik melalui platform seperti Meta atau Google, seperti mana SST digital dikutip hari ini. Ini mengurangkan beban usahawan yang perlu memproses dan meremit sendiri WHT.
  • Memberikan tempoh pengampunan kepada pembayar cukai yang ingin membuat pengakuan secara sukarela tanpa dikenakan penalti 10%.

Bagi pembaca yang ingin memahami bagaimana mahkamah mentafsirkan isu Withholding Tax, berikut beberapa keputusan kes yang boleh dijadikan rujukan:

  • Kes Mahkamah Berkaitan WHT: Glocomp Systems (M) Sdn Bhd
    • Mahkamah Tinggi (Glocomp Systems (M) Sdn Bhd v KPHDN)
      Glocomp mencabar tindakan LHDN yang mengenakan WHT ke atas bayaran kepada Symantec Singapura. Mahkamah Tinggi memihak kepada Glocomp dan memutuskan bahawa bayaran tersebut bukan royalti, sebaliknya merupakan business profits di bawah DTA Malaysia–Singapura.
    • Mahkamah Rayuan (KPHDN v Glocomp Systems (M) Sdn Bhd)
      LHDN merayu keputusan tersebut. Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan LHDN. Namun, keputusan itu bukan kerana mahkamah memutuskan bayaran tersebut semestinya tertakluk kepada WHT. Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Glocomp sepatutnya menggunakan saluran rayuan cukai yang disediakan oleh Akta Cukai Pendapatan, iaitu melalui Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), dan bukannya terus memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
  • Wira Swire Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – Kes ini menunjukkan bahawa tidak semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Jika terdapat Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), hak Malaysia untuk mengenakan WHT mungkin terhad. Dalam keadaan tertentu, pendapatan tersebut hanya dikenakan cukai di negara tempat syarikat itu bermastautin.
  • Alwan Enterprise Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – jika pertikaian itu memerlukan penelitian terhadap kontrak dan fakta transaksi, tempat yang sesuai untuk menyelesaikannya ialah Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), bukannya terus membawa kes ke Mahkamah Tinggi.

Anda juga boleh merujuk:

Artikel ini bertujuan memberi penerangan umum mengenai konsep Withholding Tax (WHT). Contoh yang diberikan adalah untuk tujuan ilustrasi bagi memudahkan pemahaman pembaca. Sama ada sesuatu bayaran kepada bukan pemastautin tertakluk kepada WHT bergantung kepada fakta transaksi, jenis bayaran, peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 serta, jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA). Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada penasihat cukai berlesen atau merujuk LHDN bagi menentukan layanan cukai yang tepat mengikut keadaan masing-masing.