4 Sebab Pentingnya Ada Penama KWSP

Apabila kita membuat penamaan, kita hendaklah memilih individu atau institusi yang dipercayai untuk menjadi penerima kepada wang kita. Penama ini boleh diletakkan sebanyak mana yang kita mahu.

Contoh kita ada lima orang anak, maka kita boleh masukkan kesemua nama anak-anak kita sebagai penama.

Tidak dinafikan, masih ada yang menganggap urusan meletakkan penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini tidak penting tetapi tanggapan itu adalah sangat salah.

Apa Itu Penama?

Menurut info yang diambil dari laman web KWSP, penamaan adalah satu pengisytiharan secara bertulis yang dibuat oleh ahli dalam Borang KWSP 4 bagi melantik atau menamakan seseorang atau mana-mana orang sebagai “benefisiari” yang bertindak sebagai wasi/pentadbir (bagi orang yang beragama Islam) ke atas simpanan KWSP ahli apabila ahli meninggal dunia.

Dan berikut adalah sebab mengapa penama adalah sangat penting:

1. Memudahkan Proses Pengeluaran

Kita tidak tahu apa yang terjadi pada masa hadapan. Sebab itu setiap rakyat Malaysia yang berkerja dan mempunyai potongan KWSP wajib meletakkan penama. Sebab utama pentingnya kita kena ada penama KWSP adaalah ianya dapat memudahkan proses pengeluaran.

Jika kita telah meletakkan penama dan sesuatu berlaku kepada kita, ia akan memudahkan penama untuk mengeluarkan wang tersebut untuk kelangsungan hidup. Jika tidak dibuat sebarang penamaan, maka proses tuntutan akan menjadi lebih rumit dan memakan masa yang panjang.

2. Wang Diagihkan Secara Teratur

Untuk orang bukan Islam, penama boleh diletakkan berserta dengan % jumlah yang ingin diberi. Sebagai contoh isteri 60%, anak dua orang dapat 20% tiap seorang. Tetapi berbeza pula dengan orang Islam di mana wang tersebut masih terikat dengan hukum faraid.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 20 September 1973 dan Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada 19 September 2000, memutuskan bahawa penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta dan penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.

3. Menjamin Masa Depan Orang Yang Kita Sayang

Bila meletakkan penama dengan lebih awal, ia akan dapat menjamin masa depan orang yang kita sayang. Jika sebelum ini, mereka bergantung harap kepada kita sepenuhnya, namun apabila kita sudah meninggal dunia, wang tersebut boleh digunakan mereka untuk membina hidup baru.

Lebih baik kita tinggalkan harta kepada waris, daripada meninggalkan hutang kepada mereka.

4. Tak Timbul Isu Tidak Adil Dan Sebagainya

Selain daripada itu, dengan adanya penama tidak akan timbul tuntutan wang kita oleh pihak tidak bertanggungjawab. Dengan adanya penama ini, maka pihak KWSP akan tahu yang itu adalah individu atau pihak yang kita percaya untuk menguruskan urusan pembahagian harta selepas kita tiada.

Dengan ini, tidak berlaku masalah tidak adil dan sebagainya. Malah kes seperti perebutan harta seperti oleh adik-beradik yang menuntut sehingga tidak memberikan apa-apa kepada isteri dan anak si mati juga boleh diatasi.

Disebabkan itu, jika kita sememangnya ada masalah dalam keluarga dan tidak mahu isteri dan anak-anak ditimpa kesusahan, maka ada baiknya kita bertindak sekarang.

Segeralah ke cawangan KWSP yang terdekat dan cepat-cepatlah letakkan nama orang yang kita sayang dan percaya sebagai penama KWSP tersebut.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.