Kisah Kejayaan Pakar Ekonomi OKU Pertama, Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh

Mungkin ada yang pernah dengar nama Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh di kaca televisyen, suratkhabar, majalah ataupun laman media sosial.  Beliau merupakan insan istimewa yang kekurangan penglihatannya, namun mempunyai nama besar di Malaysia serta di serata dunia.

Jom kami kongsikan kisah beliau untuk tatapan kita sebagai iktibar.

Kisah Awal Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh

Beliau dilahirkan pada 2 September 1947 di Pasir Mas, Kelantan. Sejak berusia 13 tahun, beliau telah hilang deria penglihatannya. Walaupun begitu, beliau dilayan dengan adil dan saksama oleh ibu bapanya seperti mana 8 adik-beradiknya yang lain.

Pada zaman kecilnya pula, walaupun beliau tidak seperti insan lain, beliau juga pernah mengecapi nikmat berlari serta bermain dengan rakan-rakannya yang lain.

Pendidikan Awal Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh

Kredit Gambar: Usahawan OKU Berjaya

Sejak kecil lagi beliau suka bertanya kepada abangnya tentang apa yang dipelajari di sekolah dan beliau juga menunjukkan minat untuk belajar sejak daripada kecil lagi.

Ibu bapanya telah menghantar beliau belajar di Sekolah Princess Elizabeth di Johor Bahru.  Di Sekolah Princess Elizabeth ini, banyak cabaran dan dugaan yang ditempuhi oleh beliau.

Antara cabaran yang dihadapi oleh beliau di sekolah ini adalah tidak ada peralatan membaca braille serta perlu mendengar 100% (memberi tumpuan) sepenuhnya apa yang diajar oleh guru. Di sekolah ini juga, beliau telah diajar kemahiran pengurusan diri seperti mengemas almari, melipat pakaian, mengemas meja makan, mengemas katil serta membasuh.

Pada waktu petang pula, beliau akan belajar ilmu fardhu ain dan kelas pengajian Al-Quran. Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh mula menunjukkan keserlahannya dalam bidang akademik pada darjah 3 dan sering mendapat tempat pertama di dalam kelasnya.

Beliau amat meminati subjek matematik dan sejarah. Apabila tiba hujung minggu, beliau akan diajar cara menggunakan tongkat putih, kemahiran asas di dapur serta kemahiran bergerak.

Pendidikan Menengah Serta Universiti

Beliau pernah belajar di Sultan Ismail College, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1962. Di sini, beliau terpaksa menempuh ujian dan cabaran keseorangan kerana di sekolah ini, hanya beliau seorang saja yang mengalami masalah penglihatan.

Selain itu, beliau juga mengalami kesukaran kerana tidak ada bahan bacaan versi braille namun itu semua tidak menghalang beliau untuk belajar kerana beliau dibantu oleh rakan-rakan sekelasnya yang lain. Beliau juga pernah belajar tingkatan enam rendah di St. John Institution, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1970, Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh telah belajar di State University of New York, Amerika Syarikat di dalam jurusan bidang sains politik dan ekonomi. Kemudiannya pada tahun 1973, beliau telah melanjutkan pelajarannya di peringkat sarjana di University of Illinois di dalam bidang pembiayaan awam.

Tiga tahun selepas itu, beliau melanjutkan lagi pengajiannya pada peringkat doktor falsafah dalam bidang pencukaian.

Anugerah, Pencapaian & Kerjaya Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh

Kredit Gambar: Lina Kama

Tahukah anda, Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh pernah dinobatkan oleh Guinness Book of World Record sebagai OKU pertama dalam kategori kekurangan penglihatan yang pertama di Malaysia mendapat Ijazah Doktor Falsafah.

Beliau juga pernah menjadi pensyarah Jabatan Ekonomi Analisa Universiti Kebangsaan Malaysia dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Jabatan Ekonomi Analisa pada tahun 1982.

Beliau turut terlibat secara langsung dalam menyediakan dasar-dasar kerajaan termasuk Wawasan 2020 dan juga Kawasan Konsep Pertumbuhan Segitiga (EAEC).

Kesimpulannya, Profesor Dr. Ismail Salleh ini bukan sembarangan orang. Kegigihan serta kesungguhannya tanpa jemu telah membuatkan beliau berjaya dinobatkan sebagai Pakar Ekonomi OKU Pertama di Malaysia.

Jadi kepada anda yang sedang menduduki apa-apa pengajian tidak kiralah di dalam negara mahupun di luar negara, jadikan beliau sebagai mentor ataupun idola anda untuk berjaya.

Walaupun mengalami kekurangan penglihatan, namun beliau tetap teruskan perjuangan beliau sehingga ke akhir hayatnya. Dukacita dimaklumkan, beliau telah meninggalkan kita semua pada 27 Ogos 2009 dan satu kehilangan yang amat besar buat kita.

Kata-kata motivasinya yang terkenal adalah “kekurangan bukan satu penghalang untuk berjaya”. 

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

1 Comment

  1. Prof Ismail Salleh pakar ekonomi yg hebat wpun buta. Beliau dpt menjelaskn konsep2 dan fenomena ekonomi lebih jelas drp org celek. Moga Allah merahmatinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.