Nasib Industri Kapal Pelayaran Mewah Kini Bagaikan Telur Di Hujung Tanduk

Sebelum ini, kita tahu bahawa industri penerbangan dunia sangat terkesan disebabkan pandemik Covid-19 yang berlaku sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian yang sangat besar.

Banyak syarikat penerbangan dunia terpaksa gulung tikar dan sebahagian pula mendapat suntikan dana daripada pihak kerajaan untuk terus beroperasi.

Sekarang kita akan lihat pula kesan terhadap industri kapal pelayaran mewah yang bernilai USD150 bilion yang ramai orang tidak tahu.

Permulaan Industri Perlayaran Mewah

Industri kapal pelayaran mewah merupakan salah satu industri yang menjana pendapatan berbilion dollar setiap tahun.

Industri ini bermula pada awal kurun ke-20 dan kapal yang paling terkenal dalam sejarah moden manusia adalah Titanic. Ianya merupakan kapal terbesar dan pertama di dunia yang melakukan pelayaran mewah pada ketika itu.

Harga tiket yang mahal iaitu USD300 pada ketika itu (bersamaan dengan USD10,000 pada hari ini) membuatkan hanya golongan berada sahaja yang layak menaiki kapal tersebut.

Kredit Gambar: Hakai Magazine

Ia merupakan kapal terbesar didunia yang pertama di dalam industri pelancongan yang melintasi Lautan Atlantik tetapi tidak berjaya. Titanic juga merupakan kapal pertama di dalam industri ini yang tenggelam di Lautan Atlantik.

Kisah  kapal ini telah diabadikan oleh James Cameron di dalam filemnya Titanic, yang pernah menjadi filem paling laku keras dalam sejarah perfileman dunia.

Industri pelayaran mewah mula merosot ketika penerbangan komersial mula mendapat tempat di era 1960-an. Harga tiket penerbangan yang semakin murah dan masa perjalanan yang semakin pendek menyebabkan ramai orang mula beralih kepada industri penerbangan komersial untuk melancong.

Pada ketika itu, pelancongan melalui kapal pelayaran mewah tidak lagi mendapat tempat di kalangan orang ramai.

Perkembangan Industri Kapal Pelayaran Mewah Dunia

Banyak syarikat baru telah muncul dan di era 1990-an, syarikat yang terkenal pada ketika itu adalah Royal Caribbean International, Norwegian Cruise Line dan Carnival Cruise Line.

Syarikat ini telah berjaya mengubah pandangan orang ramai terhadap industri kapal pelayaran mewah dengan memperkenalkan kapal yang lebih besar disertai dengan taman tema yang luar biasa sehingga dikenali sebagai pulau bergerak.

Kredit Gambar: Traveland Leisure

Dengan harga tiket yang semakin murah dan kapal yang semakin besar, ia telah menarik ramai orang untuk melakukan pelancongan melalui kapal mewah ini.

Tiga syarikat utama dunia yang menawarkan pakej istimewa memberikan banyak pilihan kepada orang ramai untuk bercuti di atas lautan.

Dari dekad ke dekad, industri kapal pelayaran mewah semakin mendapat permintaan yang tinggi. Pada tahun 2019, industri ini telah menjana pendapatan yang sangat lumayan.

Penganalisis percaya bahawa tahun 2020 sepatutnya merupakan tahun dengan pendapatan yang tertinggi mengikut unjuran dari tahun-tahun sebelumnya.

Syarikat pelayaran mewah dikatakan bakal mendapat keuntungan sebanyak USD10 juta setiap kali mereka melakukan pelayaran.

Kredit Gambar: Statista

Langit tidak selalu cerah, apabila tahun 2020 merupakan tahun yang paling perit di dalam industri pelancongan dunia, dan industri pelayaran mewah tidak terkecuali.

Pandemik yang mula melanda dunia pada awal tahun 2020 telah melumpuhkan sama sekali industri ini.

Dalam tempoh satu bulan sahaja, industri ini telah kerugian hampir USD5 bilion.

Amerika Syarikat telah menghalang mana-mana syarikat kapal pelayaran mewah di negara tersebut melakukan pelayaran disebabkan jangkitan Covid-19 yang semakin merebak pada ketika itu.

Sesetengah kapal yang melakukan pelayaran mewah terpaksa dikuarantin kerana terdapat beberapa anak kapal dan penumpang mereka yang dijangkiti oleh virus ini.

Masa Depan Industri Pelayaran Mewah

Kini, sebahagian besar kapal mewah tidak dapat beroperasi dan kebanyakan syarikat pelayaran mewah yang kecil terpaksa menutup operasi syarikat mereka kerana tidak mampu untuk meneruskan operasi.

Walaupun kini sesetengah negara membenarkan operasi pelayaran kapal mewah, orang ramai masih lagi tidak berminat disebabkan keadaan pandemik yang masih lagi belum reda.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.