Mahkamah Perintah RBTR dan Lima Lagi Bayar Ganti Rugi Lebih RM13 juta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Mac 2021, memerintahkan RBTR Asset Management Berhad dan lagi defendan untuk membayar sebanyak RM13.352 juta sebagai ganti rugi kerana peranan mereka dalam skim Euro Deposit Investment (EDI).

Mahkamah memerintahkan aset-aset defendan dijejaki dan dibayar kepada SC untuk membuat pampasan kepada pelabur skim EDI. Mahkamah juga mengisytiharkan RBTR, yang merupakan pengurus dana yang dilesenkan oleh SC, telah melanggar obligasi dan/atau tugasnya di bawah garis panduan pengurus dana dan telah gagal melaksanakan ketelitian wajar untuk melindungi wang pelabur.

Pada 2009, SC telah memfailkan saman sivil terhadap RBTR dan lima lagi defendan, iaitu:

  • RBTR
  • Locke Guarantee Trust Limited (LGT), New Zealand
  • Locke Capital Investments Ltd (LCI), British Virgin Island
  • Isaac Paul Ratnam (Issac Ratnam)
  • Joseph Lee Chee Hock (Joseph Lee)
  • Nicholas Chan Weng Sung (Nicholas Chan)

Pada 17 Mei 2012, SC membatalkan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) RBTR.

Saman sivil tersebut telah difailkan susulan siasatan SC pada Ogos 2009 terhadap skim EDI, selepas menerima aduan daripada pelabur. Sejumlah 106 pelabur telah diperdaya untuk menyertai skim tersebut yang menjanjikan, antara lain, pulangan tahunan sebanyak 8% yang akan dibayar apabila matang. Pelabur telah diperdaya dengan mempercayai bahawa pelaburan mereka telah didepositkan ke dalam sebuah bank di Eropah yang diberi penarafan “AAA” dengan perlindungan kepada modal dan pendapatan penuh. Sejumlah RM13.352 juta khususnya pelaburan yang telah matang pada Februari 2009 – Mei 2009, tidak dibayar.

Skim EDI telah dipasarkan oleh RBTR bersama LGT dan LCI, yang bertindak sebagai Pengurus Dana di Malaysia secara bersama dengan RBTR. Defendan yang lain, Nicholas Chan dan Joseph Lee, merupakan pengarah LGT dan LCI, manakala Isaac Ratnam merupakan individu yang dikaitkan dengan operasi kedua-dua syarikat tersebut.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

SC Lancarkan ICM Innovation Lab Untuk Memacu Inovasi Pasaran Modal Islam Berteraskan Maqasid al-Shariah

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan penubuhan ICM Innovation Lab (FIKRALab), sebuah platform kolaborasi berstruktur dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) gunaan untuk membangunkan produk dan instrumen baharu dalam pasaran modal Islam (ICM).

FIKRALab, yang merupakan inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030, bertujuan memperkasa ICM Malaysia dengan berteraskan Maqasid al-Shariah dan berpandukan prinsip Halal-Toyyib.

Melalui FIKRALab, SC berhasrat untuk memangkin pembangunan produk dan perkhidmatan ICM berasaskan Maqasid al-Shariah yang memberikan objektif beretika, nilai ekonomi sebenar serta impak sosial yang lebih luas.

Inovasi ini bertujuan memelihara keperluan asas kesejahteraan manusia agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sambil menyelaraskan modal dengan aktiviti ekonomi produktif serta memajukan kemakmuran bersama yang mampan.

FIKRALab dibangunkan berasaskan usaha berterusan SC dalam memupuk inovasi ICM. Usaha ini bermula dengan FIKRA, program pemecut fintech Islam Malaysia, dan kemudian diperkukuh melalui FIKRA ACE yang memberi tumpuan kepada fasilitasi bersasar, penglibatan industri serta keterhubungan ekosistem dalam bidang fintech.

FIKRALab memperluas pembangunan ekosistem melangkaui inovasi ICM berteraskan fintech semata-mata, dengan membolehkan kolaborasi dan penciptaan bersama yang lebih mendalam antara SC dan industri dalam aspek idea, penyelidikan, reka bentuk produk serta ujian perintis. Ia memberi tumpuan khusus kepada pembangunan instrumen dan penyelesaian baharu yang selari dengan Maqasid al-Shariah.

Hasil yang dijangka daripada FIKRALab termasuk pembangunan kes penggunaan, produk dan infrastruktur ICM baharu yang menunjukkan hasil berasaskan nilai yang jelas, pengukuhan penglibatan antara industri dan pengawal selia, serta peningkatan keyakinan pasaran terhadap inovasi yang berteraskan Maqasid dan disokong oleh industri.

Salah satu ciri utama FIKRALab ialah Klinik Maqasid al-Shariah, iaitu pendekatan berstruktur yang merangkumi penglibatan terpilih oleh SC serta simposium ilmu bersama pakar dalam bidang tertentu bagi menilai dan mempertingkatkan produk ICM sedia ada.

Melalui klinik ini, SC akan bekerjasama dengan pemain industri, penasihat Syariah dan pakar bidang untuk memperkukuh cadangan nilai instrumen ICM sedia ada, mengukuhkan kaitan dengan ekonomi sebenar serta memberikan impak sosial dan ekonomi yang lebih besar.

FIKRALab akan dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan projek perintis yang kini dijalankan oleh SC dengan kerjasama sebuah institusi kewangan. Projek ini bertujuan membangunkan instrumen inovatif bagi membuka potensi pendapatan patuh Syariah dalam kumpulan aktiviti bercampur.

Fasa seterusnya dijangka bermula pada suku keempat 2026, apabila permohonan bagi kohort pertama FIKRALab dibuka. Permohonan kohort dijangka diadakan setiap tahun dengan fokus berbeza bagi setiap kitaran.

Fokus bagi kohort pertama termasuk pembangunan produk dan perkhidmatan ICM generasi baharu yang menawarkan cadangan nilai sepenuhnya baharu, kewangan sosial Islam dan modal sosial, serta pembiayaan kelestarian dan peralihan.

Inovator, institusi kewangan, penyedia teknologi, ahli akademik dan rakan ekosistem yang mempunyai idea atau cadangan inovasi produk ICM dijemput untuk mendaftar minat dan berhubung dengan SC melalui [email protected] mulai sekarang hingga 30 September 2026.