China Mendahului Amerika Syarikat Dalam Teknologi Penghasilan Kenderaan Elektrik

Perlumbaan dalam pembangunan  kenderaan elektrik kini semakin hangat. Banyak negara maju mula membangunkan kenderaan elektrik bagi membantu mengurangkan kesan daripada perubahan iklim.

Dalam artikel sebelum ini, kita melihat bagaimana Amerika Syarikat dan China berlumba-lumba membangunkan rangkaian 5G. Jika dilihat daripada sudut infrastruktur, China telah berjaya mengatasi Amerika Syarikat dalam perlumbaan tersebut.

Baca: China Mengatasi Amerika Syarikat Dalam Perlumbaan Teknologi 5G. Kenapa?

Jom kita lihat pula bagaimana China berjaya mengatasi Amerika Syarikat sekali lagi dalam penghasilan kenderaan elektrik pula.

Tidak dinafikan bahawa jenama Tesla merupakan jenama yang paling menonjol dalam penghasilan kereta elektrik.

Kejayaan Tesla dalam menghasilkan kenderaan elektrik mewah dapat menarik minat para pembeli dan pelabur juga yang telah menjadikan Tesla sebagai syarikat terbesar dalam dunia automotif dunia pada waktu sekarang dan ia merupakan sebuah syarikat dari Amerika Syarikat.

Daya tarikan yang ada pada Elon Musk juga menjadi punca ramai yang berminat untuk melabur ke dalam Tesla.

Namun jika diperinci dengan teliti, China mempunyai rangkaian yang sangat luas bagi teknologi ini berbanding dengan Amerika Syarikat.

Kerajaan China pada dekad yang lalu telah membangunkan satu visi yang jelas di mana mereka akan menjadi negara kuasa besar dalam menghasilkan kenderaan elekrtik berbanding dengan negara lain di dunia.

Kenapa Kenderaan Elektrik Di China Berkembang Pesat?

Kredit Gambar: Pv Buzz

China meletakan visi tersebut disebabkan negara mereka merupakan negara terbesar pengguna kenderaan ‘enjin pembakaran dalaman’ di dunia. Sehingga begitu teruk sekali pencemaran yang disebabkan penggunaan kereta sebegini yang banyak di China.

Negara ini memberi inisiatif yang luar biasa kepada mana-mana pihak terutamanya pengguna untuk memiliki kenderaan elektrik.

Kerajaan China turut mengurangkan cukai kepada mana-mana individu yang membeli kenderaan elektrik berbanding dengan mereka yang membeli kenderaan dengan enjin biasa.

Mereka turut menguatkuasakan undang-undang yang ketat dan sesetengah bandar besar di sana tidak membenarkan kenderaan biasa memasuki bandar kecuali kenderaan yang dijana dengan kuasa elektrik.

China juga telah memaksa pengeluar automotif negara tersebut menghasilkan kenderaan elektrik dalam kuota tertentu setiap tahun. Tindakan saman akan diberikan kepada pengeluar kenderaan yang tidak memenuhi kuota tersebut.

Teknologi yang sangat penting dan menjadi nadi dalam penghasilan kenderaan elektrik ini adalah teknologi penghasilan bateri. Teknologi  penghasilan bateri berkualiti tinggi akan menjadikan sesebuah kenderaan elektrik berbeza di antara satu sama lain.

Semakin tinggi teknologi bateri yang dipakai, semakin jauh jarak perjalanan dan masa pengecasan untuk bateri menjadi semakin singkat.

Sebaliknya, kerajaan Amerika Syarikat tidak mengambil berat tentang pembangunan kenderaan elektrik kerana pada ketika itu, syarikat gergasi utama di Amerika Syarikat telah pun menguasai pasaran dunia daripada segi bilangan kenderaan yang dijual.

Kredit: CNBC

Disebabkan polisi yang dibuat China, Amerika Syarikat jauh tertinggal di belakang dalam menghasilkan komponen kenderaan elektrik terutamanya bateri kenderaan.

Hanya Tesla Gigafactory sahaja yang menghasilkan bateri kenderaan elektrik di Amerika Syarikat secara besar-besaran berbanding dengan China yang mengeluarkan hampir 60% bateri kenderaan elektrik dunia.

Amerika Syarikat Mengubah Polisi Baru Di Bawah Joe Biden

Kini, presiden Joe Biden menjadi presiden Amerika Syarikat yang baru dan kita dapat lihat bahawa polisi kenderaan elektrik mula berubah.

Joe Biden dilihat lebih cenderung untuk melawan perubahan cuaca telah memberi inisiatif daripada segi cukai ke atas mana-mana syarikat yang menghasilkan kenderaan erlektrik di sana.

Kredit Gambar: FT

Syarikat gergasi automotif di Amerika Syarikat mula fokus dalam menghasilkan kenderaan elektrik mereka yang tersendiri.

Adakah ianya sudah terlambat atau ‘too little too late’?

Kini, China berada di depan Amerika Syarikat daripada segi penjualan kenderaan elektrik sedangkan kerajaan Amerika Syarikat baru nak mula serius terhadap perkembangan kenderaan elektrik.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Pemohon Pembiayaan Peribadi Lebih RM100,000 Wajib Hadiri Modul Pendidikan Kewangan – BNM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Pengguna yang memohon pinjaman peribadi melebihi RM100,000 perlu menghadiri dan melengkapkan modul pendidikan kewangan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Dalam dokumen dasar pembiayaan peribadi yang dikeluarkan di sini hari ini, bank pusat berkata syarat-syarat ini merupakan antara keperluan baharu yang ditetapkan oleh BNM.

Dokumen dasar itu bertujuan memperkenalkan amalan pembiayaan yang berhemah dan bertanggungjawab berhubung dengan penyediaan pembiayaan peribadi oleh penyedia perkhidmatan kewangan, di samping menggalakkan gelagat peminjaman yang bertanggungjawab dalam kalangan pengguna kewangan.

Ia juga untuk memastikan pelaporan yang jelas daripada penyedia perkhidmatan kewangan berhubung jangkaan sedia ada BNM mengenai penggunaan tempoh maksimum 10 tahun untuk pembiayaan yang ditawarkan di bawah produk pembiayaan rumah atau dijamin oleh harta tanpa halangan bagi kegunaan peribadi.

Ia juga melarang tawaran pembiayaan peribadi di mana caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kaedah kadar rata dan/atau Peraturan 78 yang merujuk kepada kaedah pengiraan faedah/keuntungan.

Di samping itu, ia juga mengukuhkan jangkaan untuk penyedia perkhidmatan kewangan mendedahkan kadar faedah/keuntungan yang berkesan kepada pengguna kewangan.

Dengan persaingan yang sengit dalam pasaran kredit runcit, perubahan telah diperhatikan dalam amalan pemberian pinjaman oleh penyedia kredit dalam segmen pembiayaan peribadi, menurut gambaran keseluruhan dokumen dasar. Keadaan ini menyumbang kepada pinjaman yang tidak mampu ditanggung oleh isi rumah.

Apa yang menjadi kebimbangan utama adalah kemunculan produk pembiayaan baharu yang nampak seperti pinjaman mampu milik tetapi sebenarnya menggalakkan pengumpulan hutang yang tidak berhemah. Pengguna kewangan tidak mampu menanggungnya tanpa risiko kesulitan yang ketara sepanjang tempoh pembiayaan disebabkan kekurangan simpanan kewangan yang mencukupi.

Menurut dokumen itu, penyedia perkhidmatan kewangan dikehendaki menjalankan penilaian kesesuaian dan kemampuan membayar bagi setiap kemudahan pembiayaan baharu dan tambahan yang ditawarkan kepada pengguna kewangan, tetapi keperluan yang lebih khusus diperlukan untuk mencegah perkembangan tidak sihat dalam segmen pembiayaan peribadi.

Dokumen dasar ini terpakai kepada semua bank berlesen, bank Islam berlesen dan institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan, berkuat kuasa mulai hari ini.
— BERNAMA