AOB Denda Juruaudit kerana Ketidakpatuhan dengan Piawaian Pengauditan Antarabangsa

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengumumkan bahawa Sharinah Mohamed Iqbal, rakan audit PKF, telah dikenakan denda kerana melanggar seksyen 31Z(1)(b) Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA) kerana gagal mematuhi Piawaian Pengauditan Antarabangsa semasa mengaudit entiti kepentingan awam (PIE). Mematuhi piawaian audit merupakan syarat pendaftaran untuk semua individu yang berdaftar dengan AOB.

Sebagai Rakan Kongsi Tugasan (Engagement Partner) yang bertanggungjawab ke atas audit PIE, Sharinah telah gagal melaksanakan prosedur audit yang sewajarnya dan memperoleh bukti audit yang kukuh untuk menyokong pendapat audit berkaitan kemampuan PIE untuk kekal beroperasi.

Secara khususnya, Sharinah telah gagal membuat susulan ke atas status pinjaman bank PIE berkenaan dan memperolehi bukti audit yang selanjutnya untuk menyokong kesimpulannya berkaitan dengan kemampuan PIE itu untuk membayar pinjaman banknya. Di samping itu, dia tidak melakukan penilaian kuantitatif ke atas kedudukan aliran tunai PIE yang lemah dan kemampuannya untuk memenuhi semua komitmen dan obligasinya.

Sharinah tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan AOB tersebut dalam tempoh yang ditentukan di dalam SCMA.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Mengenai Lembaga Pemantauan Audit:

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 yang berkuat kuasa pada 1 April 2010 untuk menggalakkan dan membangunkan rangka kerja pemantauan audit yang berkesan dan meningkatkan keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan teraudit di Malaysia. Maklumat lanjut mengenai AOB boleh didapati di laman sesawang www.sc.com.my

Previous ArticleNext Article

Cabaran RIFAR Yang Diterajui Belia Oleh SC Untuk Memacu Kesedaran Dan Inovasi Bagi Sungai-Sungai Di Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan River Flooding Adaptation & Resilience (RIFAR) Challenge untuk memperkasakan golongan muda supaya menyumbang idea dan tindakan yang dapat memperkukuh ketahanan sungai-sungai di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan rakan strategik dalam penglibatan universiti, pelaksanaan dunia sebenar langkah mitigasi banjir dan kepakaran teknikal dalam ketahanan serta kelestarian sungai. Rakan-rakan tersebut ialah:

  1. ICAEW Malaysia
  2. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
  3. Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) – pemaju induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG)
  4. Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC)

Pertandingan seluruh negara ini menjemput pelajar universiti untuk membantu menangani ancaman banjir sungai yang semakin meningkat melalui dua kategori berbeza:
▪ The Sprint: Laluan kesedaran yang memfokuskan komunikasi kreatif, bagi meningkatkan kesedaran awam dan tindakan komuniti mengenai kesihatan sungai di Malaysia.
▪ The Marathon: Laluan inovasi pelbagai disiplin di mana pasukan membangunkan intervensi mitigasi banjir untuk Taman Sri Muda. Penyelesaian menggabungkan konsep kejuruteraan dengan pelan pembiayaan pasaran modal serta manfaat sampingan iklim yang boleh diukur, seperti tenaga boleh diperbaharui.

RIFAR merupakan sebahagian daripada inisiatif Transition, Resilience & Adaptation in Capital Markets (TRAC) oleh SC. Ia selaras dengan objektif lebih luas SC untuk memperkukuh peranan pasaran modal dalam menggerakkan pembiayaan bagi peralihan iklim, adaptasi dan ketahanan, seperti yang digariskan dalam Capital Market Masterplan 2026-2030.

RIFAR ialah cabaran adaptasi dan ketahanan iklim kedua SC, meneruskan kejayaan besar Coastal Flooding Adaptation & Resilience (COFAR) Challenge yang diadakan pada 2025. Inisiatif ini melibatkan 220 pelajar dari 29 universiti untuk membangunkan penyelesaian adaptasi bagi Pulau Carey, Selangor.

Bercakap semasa webinar pelancaran RIFAR Challenge, Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sungai berada di pusat cabaran adaptasi iklim Malaysia.

“Sungai ialah sistem peredaran negara ini, membekalkan 80% bekalan air mentah negara dan mengalir melalui koridor ekonomi paling penting kita.”

“Pasaran modal menilai idea yang bukan sahaja kukuh dari segi teknikal tetapi juga berdaya maju dari segi kewangan. Selepas kejayaan COFAR, kami yakin pelajar universiti Malaysia boleh menyumbang kepada penyelesaian bersepadu yang diperlukan untuk lembangan sungai kita,” katanya.

RIFAR Challenge menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM50,000 untuk kategori Marathon dan RM7,000 untuk Sprint. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar dari semua universiti awam dan swasta di Malaysia, serta rakyat Malaysia yang belajar di universiti luar negara.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: www.sc.com.my/trac/rifar-challenge
Pendaftaran ditutup pada 12 Mei 2026.