Radical Transparency : Adakah Budaya Ini Akan Menjadi Budaya Kerja Masa Hadapan?

Budaya kerja sesuatu syarikat sangat penting dan ia merupakan salah satu faktor yang menyebabkan sesebuah syarikat itu berjaya. Kita sendiri boleh lihat bagaimana budaya kerja yang diamalkan oleh syarikat Jepun yang mengamalkan budaya kerja keras berjaya menjadikan Jepun sebuah negara maju dalam tempoh yang singkat berbanding dengan negara lain yang menerima nasib sama iaitu kalah dalam perang dunia kedua.

Budaya kerja penuh berdisplin yang diterapkan dalam organisasi syarikat Jepun pada era itu berjaya menaikkan ekonomi Jepun dengan begitu pesat. Teras utama dalam budaya Jepun pada ketika itu adalah mempunyai disiplin yang tinggi dan taat setia pada syarikat.

Kredit Gambar: Business Of Fashion

Kini budaya kerja keras Jepun tidak lagi relevan malah tidak memberi impak yang tinggi kepada syarikat di Jepun. Pekerja Jepun dikatakan pekerja yang paling tidak produktif berbanding dengan pekerja lain di negara maju. Zaman sudah berubah, budaya kerja syarikat juga telah berubah. Antara budaya kerja yang paling terkedepan pada masa kini adalah budaya kerja yang dikenali sebagai Radical Transparency.

Budaya ini popular dan diamalkan oleh beberapa buah syarikat yang terkenal di Amerika Syarikat. Budaya ini kemungkinan besar bakal menjadi satu budaya yang digunakan pada masa depan oleh syarikat-syarikat gergasi untuk bersaing dalam dunia yang semakin mencabar ini.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Radical Transparency?

Radical Transparency adalah konsep atau budaya apabila sesebuah syarikat secara terbuka berkongsi segala maklumat pekerja mereka kepada pekerja yang lain untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Konsep ini merupakan konsep yang sangat terbuka dimana setiap orang dalam sesuatu organisasi tahu kekuatan dan kelemahan yang dimiliki oleh rakan kerja mereka di syarikat yang sama.

Keterbukaan konsep itu bukan sahaja mengenai sikap seseorang terhadap kerja, malah gaji dan pencapaian mereka juga tidak menjadi rahsia kepada pekerja yang lain. Selain itu juga, kebanyakan syarikat yang mengamalkan konsep ini hanya dipenuhi oleh pekerja yang betul-betul berdaya saing serta mempunyai kekuatan mental yang jitu untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan di syarikat tersebut.

Mereka boleh mengkritik antara satu sama lain dan kritikan tersebut boleh diketahui oleh orang ramai. Selain kritikan terbuka, seseorang pekerja yang bekerja di syarikat tersebut boleh mengkritik majikan mereka tanpa rasa bersalah. Keterbukaan ini menyebabkan syarikat terlibat digelar sebagai syarikat yang Radical Transparency.

Kesan Baik Dan Buruk Terhadap Syarikat

Kelebihan syarikat yang mengamalkan radical transparency ini adalah para pekerja mereka boleh belajar sesuatu dengan cepat selain mereka berusaha meningkatkan prestasi masing-masing di tempat kerja. Mereka juga tidak akan melakukan perkara dan kesalahan yang sama pada masa hadapan disebabkan mereka mengetahui apa yang betul dan apa yang salah tentang polisi berkaitan. Selain itu, kebanyakan syarikat yang mengamalkan sikap radical transparency mengamalkan pemberian gaji yang sangat lumayan jika dibandingkan dengan syarikat biasa.

Walaupun terdapat banyak kelebihan, syarikat yang mengamalkan radical transparency ini juga berdepan dengan banyak keburukan. Antaranya, pekerja mereka akan mengalami banyak tekanan berbanding pekerja di tempat lain. Mereka juga akan berdepan dengan kritikan yang kadang kala membina dan ada juga menjatuhkan motivasi diri. Selain itu, kadar pemecatan pekerja yang mengamalkan radical transparency ini juga adalah begitu tinggi jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat lain.

Syarikat Yang Mengamalkan Radical Transparency

Antara syarikat terkenal yang mengamalkan radical transparency adalah syarikat hedge fund Bridgewater Associates yang diasaskan oleh Ray Dalio. Walaupun syarikat ini berjaya menjadi sebuah hedge fund terbesar di dunia, dalam 18 bulan pertama, seramai 30% pekerja baru akan meninggalkan Bridgewater Associates menurut Ray Dalio. Menurutnya lagi, tidak semua orang akan berupaya memahami budaya kerja di Bridgewater Associates.

Kredit Gambar: The Week

Selain Bridgewater Associates, Netflix juga turut mengamalkan budaya radical transparency. Kita boleh lihat bagaimana Netflix dapat bersaing dengan gergasi dunia hiburan dan peruncitan seperti Disney dan juga Amazon walaupun kedua syarikat itu mempunyai pengaruh yang kuat dalam dunia penstriman dan kekuatan dari segi market capitalization.

Sumber Rujukan:

Business Insider

Bloomberg

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.