Pelaburan Sebagai Gaya Hidup

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kenaikan harga bahan mentah seperti ayam dan sayur-sayuran yang melonjak naik di pasaran. Kenaikan harga yang mendadak ini akan menyebabkan kos sara hidup seharian kita meningkat dari semasa ke semasa.

Sebahagian daripada kita akan merasa sangat terbeban dengan masalah ini kerana tidak mempunyai wang atau simpanan yang mencukupi. Oleh itu, kita perlu bersedia daripada sekarang untuk merancang kewangan yang lebih baik. Contohnya, dengan melalui pelaburan.

Sebelum itu, bagi mereka yang baru ingin menceburi bidang pelaburan ini, perlu membuat beberapa persediaan terlebih dahulu kerana setiap pelaburan ada risiko yang tersendiri. Pertama, pastikan kita mempunyai wang lebihan daripada gaji bulanan atau simpanan kita, sekurang-kurangnya mencukupi untuk mendanai kos tetap bulanan selama 6 bulan ke hadapan.

Kedua, jangan sesekali kita usik simpanan kecemasan kerana ianya hanya untuk kegunaan kecemasan atau keadaan-keadaan yang mendesak. Selain itu, kita seharusnya mengkaji dahulu jenis pelaburan yang sesuai dengan keadaan kewangan kita. Risiko, kelebihan dan kekurangan terhadap sesuatu pelaburan adalah di antara aspek yang penting untuk kita ketahui sebelum melabur.

Ketua Penyelidik MIDF Berhad, Zulkifli Hamzah berkata dalam Harian Metro, pelaburan boleh menjadi satu sumber kewangan pasif yang memberi pendapatan tambahan menerusi pulangan tahunan yang diterima. Akan tetapi, masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak memahami konsep pelaburan yang sebenar.

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis pelaburan yang dapat kita ceburi. Antaranya, kerajaan Malaysia telah menyediakan banyak produk pelaburan berisiko rendah menerusi institusi seperti Permodalan Nasional berhad (PNB). Hanya dengan bermodalkan serendah RM10, kita boleh membuat pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Untuk pengetahuan semua, ASB memberikan pulangan dividen yang konsisten setiap tahun sejurus menjadi sumber kewangan pasif kepada kita. Pendapatan pasif bermaksud pendapatan yang akan kita terima setelah melakukan sesuatu pekerjaan dan kita akan terus dapat walaupun telah berhenti melakukan kerja tersebut.

Oleh itu, kita hanya perlu melabur untuk satu tempoh masa yang panjang dan wang yang dilaburkan akan berkembang dari tahun ke tahun. Berikut adalah kelebihan dan kekurangan mengenai pelaburan ASB;

KelebihanKekurangan
Perkhidmatan ejen yang meluasKadar dividen berubah setiap tahun
Boleh membuat potongan bulanan secara automatik (Auto-Labur)Faedah daripada pinjaman ASBF boleh jadi lebih tinggi daripada kadar dividen
Peroleh dividen tahunan 
Boleh membuat pinjaman daripada ASBF untuk menambah pelaburan 
Harga seunit dana yang tetap (RM 1) 
Pengeluaran secara online sehingga RM 1000 
Boleh menggunakan kemudahan perbankan atas talian untuk menambah pelaburan 

Jadual 1: Kelebihan dan kekurangan pelaburan ASB

Selain ASB, anak syarikat PNB, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menawarkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2), Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020), Amanah Saham 1Malaysia (AS1M), Amanah Saham Didik (ASD) Amanah Saham Malaysia (ASM) yang juga berharga tetap dan Amanah Saham Nasional (ASN) dan sebagainya.

Di samping itu, terdapat juga beberapa jenis pelaburan yang tersohor di Malaysia seperti pelaburan saham di Bursa Malaysia, pelaburan hartanah, pelaburan unit amanah dan pelaburan emas. Dalam skop pelaburan saham, anda boleh memilih samada untuk memasuki pasaran tempatan (Bursa Malaysia) ataupun pasaran luar negara, yang mana lebih memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang lebih tinggi disebabkan risiko pasaran turun naik harga dan bilangan pemain yang lebih besar berbanding dengan pasaran tempatan.  

Dengan memasuki pasaran saham untuk tempoh masa panjang, kita boleh menikmati pulangan dividen yang diberikan syarikat, berdasarkan keuntungan yang diperolehi oleh syarikat tersebut, secara tahunan atau setiap suku tahun.

Seterusnya, memilih untuk melabur menggunakan ‘Robo-Advisor’ juga amat digalakkan. Secara umumnya, robo advisor ini adalah sebuah platform maya yang dibina untuk menguruskan portfolio pelaburan penggunanya secara automatik. Proses ini biasanya dilakukan dengan bantuan algoritma dan “artificial intelligence“.

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak aplikasi sebegini di luar sana, contohnya seperti Wahed Invest dan Raiz, yang masing-masing menggunakan kaedah tertentu untuk menguruskan portfolio anda. Berdasarkan data-data ini, robo advisor akan mengimbangi portfolio anda secara berkala, mengikut profil risiko setiap pelabur masing-masing.

Di antara kelebihan menggunakan aplikasi ini ialah ia dapat mempelbagaikan pelaburan anda dan menjamin pelaburan tanpa emosi, yang mana pengurusan emosi ini adalah antara cabaran terbesar buat seseorang pelabur. Mempelbagaikan portfolio dalam pelaburan adalah amat penting bagi menguruskan risiko kita dengan lebih baik.

Namun begitu, sistem ini juga mempunyai beberapa kekurangan, antaranya ialah potensi pulangan yang terhad dan limitasi keatas pengguna dalam memilih instrumen pelaburan.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai jenis pelaburan yang boleh kita masuki untuk mencapai objektif pelaburan yang kita telah tetapkan, dan ini semestinya akan mengubah cara sudut fikir kita sebagai seorang pelabur berbanding orang biasa dalam aspek kewangan seharian.

Namun begitu, ia bergantung juga kepada sejauh mana kita sanggup meluangkan masa dan usaha kita untuk mengkaji setiap pilihan sebelum membuat sesuatu keputusan pelaburan. Oleh itu, kita wajarlah mengambil peluang untuk mengembangkan sumber kewangan kita, persiapkan diri dengan berdisiplin dalam berbelanja, bijak menguruskan kewangan sejurus menjadikan pelaburan sebagai gaya hidup.

Penulis boleh dihubungi di:

Abdul Hanan Bin Nordin ([email protected])
Muhammad Bin Hamidon ([email protected])
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.