Pergerakan Penumpang Melebihi Paras 7 Juta Pada Mei, Tertinggi Dalam Tempoh Dua Tahun – MAHB

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) — Prestasi trafik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk keseluruhan rangkaian lapangan terbangnya mendapat tarikan pada Mei 2022, mencatatkan pergerakan penumpang tertinggi setakat ini melepasi paras tujuh juta buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik, masing-masing mencatatkan trafik tertinggi pada tahun ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia adalah menggalakkan, mencecah jumlah satu juta pada Mei 2022, hanya dalam tempoh sebulan selepas pembukaan semula sempadan.

“Lanmei Airlines, syarikat penerbangan berjadual baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mula beroperasi pada 28 Mei, dengan kekerapan sekali seminggu dan merancang untuk meningkat kepada tujuh kali seminggu.

“IndiGo Airlines, Jin Air, Thai Smile Airways, Royal Brunei dan Philippine AirAsia telah beroperasi semula pada Mei.

“Sementara itu, AirAsia, Himalaya Airlines, Indonesia AirAsia, Jetstar Asia, Oman Air, Saudi Arabian Airlines, Scoot Airlines, Thai AirAsia, Thai Airways, US Bangla, Vietjet dan Vietnam Airlines turut meningkatkan kekerapan, menyumbang kepada tambahan 209 kekerapan mingguan pada Mei,” katanya. 

Bagi pergerakan penumpang domestik, pengurus lapangan terbang itu berkata ia adalah sama menggalakkan, mencecah lebih tiga juta penumpang atau 91 peratus daripada paras sebelum COVID.

“Pertumbuhan itu didorong oleh sambutan Aidilfitri pada awal Mei dan sambutan musim menuai Sabah dan Sarawak pada akhir bulan.

“Momentum trafik pada Mei turut berterusan hingga Jun dengan peningkatan 11 peratus dalam purata pergerakan penumpang harian kepada 163,000,” katanya.

Sementara itu, MAHB berkata pergerakan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA) Istanbul juga terus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, didorong oleh trafik percutian, laluan syarikat penerbangan dan peningkatan kapasiti.

“Pergerakan penumpang antarabangsa mencatatkan jumlah tertinggi setakat ini pada 2022, mencatatkan 1.2 juta penumpang.

“Anadolujet dan Pegasus memulakan perkhidmatan baharu ke Milan-Bergamo dan Helsinki dengan penerbangan harian dan empat kali seminggu, masing-masing pada 16 dan 26 Mei,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/pergerakan-penumpang-melebihi-paras-7-juta-pada-mei-tertinggi-dalam-tempoh-dua-tahun-mahb/

Previous ArticleNext Article

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.