Sektor Ladang Paling Terjejas Susulan Langkah Indonesia Beku Kemasukan Pekerja

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) — Keputusan Indonesia membekukan sementara kemasukan pekerja warganegaranya ke Malaysia akan memberi impak paling ketara terhadap sektor perladangan yang banyak bergantung kepada tenaga kerja itu bagi tujuan pungutan buah sawit.

Malah, kesan itu lebih ketara memandangkan pekerja terbabit amat diperlukan bagi tempoh kemuncak pengeluaran pada bulan-bulan akan datang, demikian menurut CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.

“Pembekuan (pengambilan pekerja asing) akan menyaksikan unjuran pengeluaran minyak sawit bagi separuh kedua 2022 turun ke paras lebih rendah berbanding setahun lepas.

“Isu kekurangan pekerja berserta kenaikan kos (gaji minimum dan harga baja) serta kemerosotan harga minyak sawit mentah (MSM), adalah sesuatu yang negatif bagi pendapatan suku kedua 2022 serta berisiko mengurangkan perolehan hasil peladang Malaysia,” katanya dalam nota tinjauan hari ini.

Menurut Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain, Indonesia merupakan negara sumber pekerja asing yang penting yang menyumbang kira-kira 35 peratus pekerja asing dan 70 peratus tenaga pembantu rumah di Malaysia.

CGS-CIMB berkata Malaysia dilaporkan mengalami masalah kekurangan tenaga kerja yang ketara membabitkan masing-masing industri pembuatan (627,000 pekerja), perladangan seramai 120,000 orang dan pembinaan sebanyak 550,000 orang.

“Secara keseluruhannya, kami melihat laporan mengenai tindakan terbaharu Indonesia itu sebagai berisiko menurunkan pendapatan korporat,” katanya.

Semalam, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan sebagai berkata bahawa negara itu menghentikan sementara semua proses berkaitan penghantaran pekerja warganegaranya ke Malaysia atas alasan berlakunya pelanggaran dalam perjanjian persefahaman yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 1 April, 2022.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan pula mengesahkan bahawa kementerian itu telah menerima surat makluman rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia mengenai langkah pembekuan tersebut dan beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Kementerian Dalam Negeri.

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Hamzah Zainudin sebaliknya enggan membesarkan keputusan Indonesia tersebut dan berkata Malaysia akan mengambil pekerja dari negara lain termasuk Bangladesh.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/sektor-ladang-paling-terjejas-susulan-langkah-indonesia-beku-kemasukan-pekerja/

Previous ArticleNext Article

SC Perkenal Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP), satu pelan tindakan strategik untuk memposisikan pasaran modal Malaysia sebagai pemacu utama pertumbuhan negara dan kemakmuran ekonomi.

Dengan visi jangka panjang 20 tahun, CMP menyokong transformasi ekonomi dengan mempercepatkan pertumbuhan dalam sektor baru muncul sambil memperkukuh peranan pasaran dalam membina ekonomi yang lebih maju, inklusif, mampan dan bersepadu serantau.

Di bawah CMP, pasaran modal Malaysia diunjurkan mengatasi pertumbuhan KDNK, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6-8%, kepada RM5.8-6.3 trilion menjelang 2030 daripada RM4.3 trilion pada tahun 2025. Ini didorong oleh penyenaraian baharu, mobilisasi modal institusi, program penciptaan nilai dan pembiayaan bon korporat yang lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, melancarkan CMP di SC hari ini dengan dihadiri oleh Menteri-menteri Kabinet utama dan pemimpin industri kewangan dan pasaran modal.

CMP merupakan usaha seluruh negara (whole-of-nation effort) yang selaras dengan keutamaan pertumbuhan negara termasuk rangka kerja Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia ke-13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

CMP juga secara langsung menyokong aspirasi Malaysia untuk menaikkan siling bagi prestasi ekonomi dan menaikkan lantai bagi kualiti hidup rakyat, dengan pasaran modal sebagai asas kepada ekosistem yang berkesan untuk pengumpulan dana dan pelaburan.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata CMP mencerminkan usaha kolektif oleh pembuat dasar dan peserta pasaran modal untuk memajukan pasaran modal Malaysia dan menyokong aspirasi negara.

“Pelan Induk ni merupakan pelan yang bercita-cita tinggi. Kami menyasarkan untuk mengembangkan saiz pasaran modal sebanyak RM1.5 hingga RM2 trilion dalam tempoh lima tahun. Ia mencerminkan kepercayaan bahawa kita mempunyai banyak ruang penambahbaikan dan keperluan untuk mengejar, dari segi pertumbuhan,” katanya.

Dengan mengambil kira aspirasi dan megatrend global Malaysia, CMP berlandaskan empat tema luas tetapi saling berkaitan iaitu kerancakan, keterangkuman, kemampanan dan peluang serantau. Ini akan memanfaatkan pasaran modal Islam Malaysia serta kekuatan kawal selia dan tadbir urus:

1) Kerancakan

CMP bertujuan untuk meningkatkan dengan ketara penilaian pasaran Malaysia, aktiviti dagangan dan akses untuk syarikat yang ingin mendapatkan modal. Kunci kepada matlamat ini adalah mengoptimumkan penilaian pasaran ekuiti serta memperkukuh cadangan nilai untuk bon dan sukuk dalam pasaran modal Malaysia.

Inisiatif bersasar akan dilaksanakan untuk meningkatkan keterlihatan syarikat awam tersenarai (PLC) berkualiti tinggi melalui inovasi yang lebih besar dan kecekapan modal yang lebih baik, yang membawa kepada penciptaan nilai yang lebih baik.

2) Keterangkuman

Bagi memastikan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat secara saksama daripada pertumbuhan negara, CMP bertujuan untuk meningkatkan lantai dengan meluaskan akses kepada produk dan perkhidmatan pasaran modal untuk penciptaan kekayaan jangka panjang. Usaha ini akan disokong dengan meningkatkan literasi kewangan, dengan memanfaatkan teknologi digital untuk keberkesanan.

3) Kemampanan

Bagi menyokong komitmen pembangunan mampan Malaysia, CMP menyasarkan untuk menggerakkan pembiayaan bagi mitigasi iklim, peralihan, penyesuaian, daya tahan dan hasil sosial yang lebih luas. Ini menyokong agenda kemampanan Malaysia dan memperkukuh peranan pasaran modal dalam memajukan memajukan peralihan ke arah sifar bersih dan daya tahan jangka panjang negara.

4) Peluang Serantau

Bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk serantau yang dipercayai, CMP akan menyokong pengembangan serantau juara tempatan, memudahkan penerbitan produk khusus dan kompetitif yang berasaskan aset asas asing, menarik lebih banyak penyenaraian dan penerbitan bon/sukuk oleh syarikat asing.

Hasil ini diperkukuh lagi oleh kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam, menerapkan prinsip Maqasid Al-Syariah (objektif Syariah yang lebih tinggi) ke dalam penawaran yang boleh dilaburkan dan berdaya saing di peringkat global.

Di samping itu, kecemerlangan pengawalseliaan dan tadbir urus adalah penting untuk memastikan pasaran modal kekal adaptif, stabil dan bersedia untuk masa hadapan.

Bagi memastikan penyampaian dan akauntabiliti yang berkesan, Jawatankuasa Pemandu Pelan Induk Modal, yang terdiri daripada pegawai kerajaan utama dan wakil sektor swasta, akan ditubuhkan untuk menyelia pelaksanaan CMP. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang CMP, sila layari https://www.sc.com.my/capitalmarket-masterplan