174,347 Pekebun Kecil Persendirian Terima Sijil MSPO Sehingga Jun – Wee

TAMPIN, 13 Julai (Bernama) — Sebanyak 174,347 pekebun kecil persendirian yang mengusahakan penanaman sawit dengan keluasan keseluruhan 621,269 hektar di seluruh negara telah menerima sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga 30 Jun, 2022.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata selain itu sebanyak 232,601 pekebun kecil tersusun di bawah seliaan agensi Persekutuan dan negeri dengan keluasan 673,512 hektar tanaman sawit telah memperoleh sijil MSPO bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata kerajaan komited memastikan penanam sawit yang meliputi pengusaha ladang dan pekebun kecil dapat memenuhi kriteria pensijilan MSPO agar penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Usaha meningkatkan penyertaan pekebun kecil dalam pensijilan MSPO melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) sedang giat dilaksanakan. Melalui SPOC, pekebun kecil akan dibantu oleh Pegawai Tunas MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) untuk melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya pensijilan MSPO.

“Ini selari dengan keutamaan negara pengimport dan pengguna di seluruh dunia yang semakin memberi tumpuan kepada produk pertanian dihasilkan melalui pengeluaran mampan dan selamat untuk pemakanan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini, pada Rabu.

Beliau berkata skim pensijilan MSPO dapat memastikan industri sawit negara yang mampan dan kompetitif sekali gus menyumbang peningkatan pendapatan pengusaha sawit dalam negara.

Wee berkata bagi meringankan beban pekebun kecil dalam melaksanakan MSPO, insentif sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan dan dikawal selia oleh MPOB pada 2019.

Insentif ini merangkumi pembiayaan kos latihan, kos pengauditan, kos peralatan perlindungan diri (PPE), papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia, katanya.

Beliau berkata pihaknya juga menggalakkan penyertaan pekebun kecil dalam pengeluaran sawit menerusi Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).

“Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan amalan pertanian baik dan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/174347-pekebun-kecil-persendirian-terima-sijil-mspo-sehingga-jun-wee/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama