Pavilion REIT Cadang Beli Pavilion Bukit Jalil Bernilai RM2.2 Bilion

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) — Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) telah bercadang untuk membeli Pavilion Bukit Jalil Mall (PBJ) daripada Regal Path Sdn Bhd dengan pertimbangan belian sebanyak RM2.2 bilion.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya Regal Path akan menjual satu blok pusat beli-belah runcit lima tingkat dengan dua aras tempat letak kereta bawah tanah yang terletak di Bukit Jalil City, Kuala Lumpur berserta aset dan hak berkaitan.

Pavilion REIT akan turut membeli harta alih tambahan bagi operasi PBJ Mall termasuk komputer riba, bugi dan platform kerja mengangkat mudah alih (pembelian sampingan).

“Pertimbangan belian bagi pembelian sampingan itu akan berpandukan kepada jumlah nilai buku bersih aset berkenaan pada tarikh ia selesai. Pada tarikh praktik terkini, jumlah nilai buku bersih aset-aset ini dianggarkan kira-kira RM3.4 juta,” katanya.

Regal Path ialah syarikat usaha sama anak syarikat milik penuh Malton, Khuan Choo Realty Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Qatar Investment Authority, Q PBJ Sdn Bhd, dan Tan Sri Desmond Lim menerusi syarikat persendiriannya, Jelang Tegas Sdn Bhd.

Malton berkata penjualan itu dijangka tidak menyebabkan syarikat itu muncul sebagai syarikat PN17 seperti yang ditakrifkan di bawah Keperluan Penyenaraian.

Penjualan itu adalah sejajar dengan strategi Malton yang sentiasa menilai portfolio pelaburannya dan memburu peluang untuk membuka dan merealisasikan nilai pelaburannya untuk kebaikan para pemegang saham.

Susulan pembelian itu, Pavilion REIT turut berhasrat melaksanakan cadangan penempatan saham unit baharu untuk meraih sehingga RM1.27 bilion pada harga terbitan yang akan ditentukan kelak menerusi proses penetapan harga.

Katanya cadangan penempatan saham itu dijangka dilaksanakan menerusi dua tranche bagi penyelesaian pertimbangan belian PBJ iaitu Tranche 1 yang menyasarkan untuk mengumpul hasil sebanyak RM720 juta untuk digunakan sebagai sebahagian daripada bayaran tarikh siap berjumlah RM650 juta dan perbelanjaan (RM70 juta).

“Penempatan Tranche 2 pula menetapkan sasaran untuk mengumpul sehingga RM550 juta untuk bayaran membaiki kerosakan (RM50 juta), bayaran hak milik strata (RM100 juta) dan bayaran baki akhir (RM400 juta),” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pavilion-reit-cadang-beli-pavilion-bukit-jalil-bernilai-rm2-2-bilion/

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840