Selangor Rekod RM30.82 Bilion Pelaburan Tempatan, Asing Sejak 2020

SHAH ALAM, 23 Nov (Bernama) — Selangor merekodkan sebanyak RM30.82 bilion nilai pelaburan tempatan dan asing antara 2020 sehingga Jun 2022, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian serta Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim berkata dalam tempoh sama, sebanyak 689 projek perkilangan telah diluluskan di negeri itu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM19.160 bilion adalah daripada pelaburan tempatan manakala RM11.659 bilion daripada pelaburan asing selain 39,287 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan,” katanya menjawab soalan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) mengenai jumlah pelaburan yang diterima oleh kerajaan negeri sejak 2020 sehingga kini.

Beliau berkata antara sektor industri yang menjadi fokus untuk pelabur adalah sains hayat, pembuatan makanan dan minuman, pembuatan produk elektrik dan elektronik, kelengkapan pengangkutan serta mesin dan peralatan.

“Selain itu, terdapat dua industri baharu turut dikenal pasti dan berpotensi melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan iaitu perkhidmatan logistik serta pelaburan digital seperti perkhidmatan perniagaan global, pusat data dan teknologi kandungan kreatif,” katanya.

Beliau berkata pihaknya melalui Invest Selangor kini sedang melaksanakan kajian bagi menilai semula sektor yang menjadi tumpuan sebelum ini dan meneroka sektor baharu yang berpotensi.

“Ia menjadi kekuatan Selangor untuk dipromosikan pada masa hadapan dalam usaha menarik pelaburan dalam pelbagai sektor yang berpotensi,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/selangor-rekod-rm30-82-bilion-pelaburan-tempatan-asing-sejak-2020/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama