Capital A Perkenal ‘Ask Bo’, Pembantu Maya Dikuasakan AI

SEPANG, 8 Feb (Bernama) — Capital A Bhd, syarikat induk AirAsia memperkenalkan pembantu maya ‘Ask Bo’ serba baharu yang mempunyai ciri kemampuan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin yang dipertingkatkan untuk menggantikan AirAsia Virtual Allstar (AVA).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A, Tony Fernandes berkata syarikat itu mengulangi komitmen terhadap komunikasi yang telus dan pengalaman pelanggan lebih baik kepada tetamu sebagai sebahagian daripada visi untuk tampil sebagai jenama paling komunikatif, responsif dan bertanggungjawab di rantau ini.

“Kalangan tetamu kami telah bersuara, dan kami mendengar dan belajar. Kami merasai kekecewaan mereka terhadap chatbot AI pertama kami, AVA yang sentiasa berada pada ‘kerja dalam proses.’ Kami sedar ia (AVA) gagal memenuhi jangkaan orang ramai dan kami mahu melaksanakan dengan lebih baik.

“Sejak lapan bulan lepas, pasukan pengalaman pelanggan telah menumpukan kepada aspek yang diperlukan dan dimahukan tetamu, apakah aduan utama mereka, dan hari ini kami gembira untuk memperkenalkan Ask Bo, yang dinamakan sempena (nama) CEO AirAsia Aviation Group, Bo Lingam,” katanya selepas melancarkan Ask Bo di sini hari ini.

Tony berkata Capital A akan berkongsi maklumat secara langsung mengenai prestasi tepat masa dan maklumat pengendalian bagasi di laman web dan Super App, sebagai antara usaha berterusan kumpulan untuk lebih terbuka dan telus.

Ketua Pegawai Lapangan Terbang dan Pengalaman Pelanggan AirAsia Aviation Group, Kesavan Sivanandam berkata banyak ciri menarik baharu yang ditambah kepada Ask Bo, termasuk boleh memberikan kemas kini secara langsung mengenai status penerbangan pelanggan serta perubahan dan maklumat untuk menaiki pesawat dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris, Cina, bahasa Melayu dan Indonesia, Thailand, Jepun, Korea dan Vietnam.

“Ask Bo akan menghantar pemberitahuan mengenai sebarang perubahan pada saat akhir semasa hari operasi dan memberikan maklumat bagasi (antaranya menjejaki dan laporan bagasi babas) serta memaklumkan kemas kini automatik masa nyata waktu berlepas pada pas masuk elektronik,” katanya.

Kesavan berkata tetamu boleh bercakap secara langsung dengan wakil (manusia) semasa menggunakan interaksi Ask Bo menjelang Mac tahun ini.

“Kami akan terus melakukan inovasi untuk memastikan standard perkhidmatan penjagaan pelanggan yang tertinggi dalam segala yang kami laksanakan demi memenuhi keperluan tetamu.

“Tetamu kami akan mempunyai lebih autonomi kerana mereka boleh menukar penerbangan dan memohon bayaran balik,” katanya.

Sehingga Disember 2022, AirAsia telah melaksanakan bayaran balik sebanyak 98 peratus daripada jumlah tuntutan yang dibuat sejak pandemik COVID-19 pada 2020, dan US$2.1 bilion telah dibayar kepada tetamu dalam pelbagai bentuk antaranya secara tunai, akaun kredit dan baucar perjalanan (US$1 = RM4.30).

— BERNAMA  

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.