Inflasi Di Asean Dijangka Sederhana Lebih Cepat Daripada Negara Maju – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) — Inflasi berbeza dalam kalangan negara tetapi di rantau Asean, ia dijangka sederhana dan bertambah baik dengan lebih cepat daripada negara-negara maju, kata ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi ANZ Bank (Asia Tenggara dan India) Sanjay Mathur berkata inflasi di rantau ini dilihat lebih disebabkan kejutan harga komoditi, dan bukan disebabkan kekurangan tenaga kerja yang agak kritikal di negara-negara maju.

Bagi langkah-langkah yang diambil oleh negara untuk menangani inflasi, katanya ia tidak dapat ditentukan berikutan sifat inflasi adalah berbeza.

“Langkah-langkah yang diperlukan di Asean adalah berbeza. Di sini, ia lebih mengenai meningkatkan bekalan makanan, justeru dari segi peruntukan dalam dasar fiskal misalnya, ia boleh dari segi sokongan tunai kepada kumpulan berpendapatan rendah.

“Manakala di Amerika Syarikat, langkah-langkah yang diambil lebih kepada mengekang permintaan, justeru, ia lebih melalui kitaran kadar faedah,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Inovasi Kewangan Asean di sini hari ini.

Mengenai langkah pengukuhan monetari di rantau ini, katanya sebahagian besar langkah tersebut telah selesai dengan hanya beberapa negara yang mengunjurkan kenaikan kadar. Ia termasuk Filipina dan Thailand.

“Bagi Malaysia, kami berpendapat Bank Negara Malaysia telah menamatkan kitaran pengukuhannya dan tidak perlu lagi untuk berbuat demikian.

“Inflasi di Malaysia hanya lebih sedikit tiga peratus, yang agak terkawal. Kami berpendapat inflasi dan pertumbuhan akan perlahan yang akan mengurangkan banyak tekanan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya subsidi tidak dinafikan memainkan peranan penting dalam memerangi inflasi di negara ini.

Mengenai langkah kepada subsidi bersasar seperti yang dirancang oleh kerajaan, katanya ia sudah tentu akan menaikkan harga.

“Bagaimanapun, itu akan menjadi langkah sekali sahaja dan melainkan harga minyak naik semula. Saya fikir kita akan selesai pada tahap yang tinggi dan kemudian, ia akan turun semula pada tahun depan,” katanya.

Mengulas mengenai langkah-langkah pandemik oleh Malaysia, beliau menyambut baik skim subsidi pendapatan oleh kerajaan selain sokongan kepada sektor korporat tetapi untuk jangka panjang, penyatuan fiskal perlu terus diperkukuh, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Felda, FGV Teroka Semula Peranan Minyak Sawit, Ubah Sisa Kepada Kekayaan

KUALA LUMPUR (Bernama) — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Bhd sedang meneroka semula peranan minyak sawit dalam ekonomi masa depan Malaysia, dipacu kecanggihan teknologi, dengan menilai produk sampingan minyak sawit sebagai sumber strategik dan bukan lagi sisa tradisional.

Pengarah Kumpulan, Bahagian Perladangan FGV, Izham Mustaffa berkata peranan pihaknya melangkaui operasi perladangan dengan menekankan bahawa fungsi teras FGV menyumbang kepada pembinaan negara melalui sektor pertanian.

“Pemodenan pertanian, melalui penggunaan teknologi, inovasi dan amalan terbaik penting untuk menjamin kerelevanan pada masa depan dan peningkatan sektor ini, Bagaimanapun, untuk melonjakkan nilai, kita mesti mengubah pemikiran asas.

“Sisa bukan lagi isu pelupusan sebaliknya satu sumber dan bahan mentah yang kita boleh manfaatkan,” katanya ketika berucap pada seminar bertajuk “Waste to Wealth: Opportunities in Green Energy and Circular Economy” bagi Program Jawatankuasa Penasihat 2026, secara dalam talian hari ini.

Izham berkata justeru, pertama sekali, syarikat perladangan dan komoditi itu menumpukan kepada pembangunan tanah bagi memastikan tanah digunakan secara produktif, cekap dan mampan untuk menjana nilai sosioekonomi jangka masa panjang.

Kemajuan sosioekonomi juga merupakan keutamaan penting, dengan operasi menyumbang untuk meningkatkan pendapatan, mewujudkan pekerjaan dan membentuk komuniti yang lebih kukuh, katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengubah biojisim kepada tenaga hijau, yang semakin penting susulan ketidaktentuan global.

“Biojisim mesti dilihat sebagai satu sistem, bukan sebagai produk sampingan atau sisa. Kita boleh mengguna pakai model ‘Hab dan Jejari, dengan ladang dan komuniti berperanan sebagai nod bekalan manakala hab pemprosesan berpusat memastikan kualiti dan kecekapan,” katanya.

— BERNAMA