Masih Ramai Yang Tak Tahu Kelebihan GO+ Touch ‘n Go

Apakah Go+?

GO + dilancarkan pada Mac 2021 sebagai langkah pertama Touch ‘n Go (TnG) meneroka bidang perkhidmatan kewangan digital. Go+ membolehkan pengguna memperoleh pulangan yang lebih tinggi atas simpanan mereka. GO+ ni lebih kurang Versa, StashAway Simple dan Best Invest.

Perkara penting yang perlu diingat, duit dalam Go+ diasingkan dengan nilai baki di dalam eWallet Touch ‘n Go.

Dana yang ditawarkan GO+ Touch ‘n Go adalah patuh Syariah. Para pelanggan eWallet Touch ‘n Go boleh mengakses pelaburan pasaran wang (money market) yang berisiko rendah melalui dana patuh Shariah ini dengan hanya serendah RM10. Pasaran wang ni hampir serupa dengan simpanan tetap (fixed deposit) seperti yang ditawarkan oleh bank.

Pengguna boleh menyimpan wang dan memperoleh kadar keuntungan sehingga 3.52% setahun. Keuntungan yang diperoleh akan dikreditkan ke akaun eWallet pengguna secara harian. Kadar 3.52% tadi adalah kadar tahunan, jadi jika harian = 3.52%/365.

Pengguna Go+ akan mempunyai pilihan untuk mengeluarkan wang ke eWallet atau terus dipindah masuk ke akaun bank yang dipilih menggunakan DuitNow dengan serta merta!

Bagaimana ia berfungsi?

Pengguna boleh memindahkan jumlah wang yang diingini dari baki eWallet Touch ‘n G mereka ke ciri Go+. Jumlah yang dilaburkan akan dikendalikan oleh Principal Asset Management Berhad, sebuah syarikat pengurusan dana yang berlesen di Malaysia. Kerjasama di antara Touch ‘n Go dan Principal ini akan menjadi pemangkin kepada pasaran kewangan Islam, dan membolehkan lebih ramai lagi mendapat manfaat daripada simpanan berbentuk eWallet.

Siapa boleh buka akaun Go+?

Buat masa ini Go+ terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan pengguna Touch ‘n Go eWallet yang telah membuat pengesahan akaun.

Berapakah jumlah pelaburan minimum dan maksimum?

Jumlah pelaburan minimum untuk Go+ adalah RM10 manakala jumlah pelaburan maksimum adalah RM9,500.

Berbaloikah menyimpan dalam GO+?

Jika simpanan biasa dalam bank, ada yang menawarkan kadar keuntungan sekitar 0.2% – 0.35% sahaja setahun, sedangkan Go+ menawarkan kadar keuntungan setinggi 3.52% setahun.

Adakah ia selamat dan terjamin?

Ya, Go+ adalah selamat tetapi tidak terjamin sebab tidak dilindungi oleh PIDM. Touch ‘n Go eWallet dikawal selia di bawah Bank Negara Malaysia dan menggunakan protokol keselamatan standard industri untuk memastikan keselamatan dana dan maklumat peribadi pengguna.

Kesimpulannya, kelebihan GO+:

  • Mudah dan pantas untuk membuka akaun – anda hanya perlu tambah nilai baki GO+
  • Jumlah simpanan awal yang berpatutan – tambah nilai minimum adalah RM10
  • Kemudahan tambah nilai baki TNG eWallet melalui fungsi Quick Reload Payment
  • Pulangan yang dikreditkan setiap hari
  • Pengeluaran wang boleh dibuat bila-bila masa sahaja
Previous ArticleNext Article

Di Sebalik Isu eFishery: Menjejak Duit RM169.8 Bilion Milik KWAP

Isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP ke dalam syarikat agritech Indonesia, eFishery, baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen. Ramai yang mempersoalkan mengapa dana pencen penjawat awam Malaysia dibawa keluar untuk membiayai syarikat asing, apatah lagi apabila timbul pula spekulasi mengenai status risiko pelaburan tersebut.

Namun adalah penting untuk kita memahami bagaimana institusi bernilai RM169.8 bilion ini berfungsi. Ke mana sebenarnya duit KWAP mengalir dan adakah pengurus dana kita benar-benar terlepas pandang permata di tanah air sendiri?

1. Skala Gergasi: RM81.5 Bilion Di Pasaran Saham

Berdasarkan Laporan Tahunan KWAP 2023, saiz dana terkumpul agensi ini telah mencecah RM169.8 bilion.

Daripada jumlah gergasi itu, sebanyak 48% (sekitar RM81.5 bilion) diperuntukkan ke dalam pasaran saham (public equity). Strategi pengurusannya pula boleh dibahagikan kepada dua segmen utama:

  • Sebanyak 70% daripada portfolio ekuiti ini dilaburkan dalam negara untuk menyokong pasaran modal tempatan, manakala baki 30% lagi dibawa ke pasaran global.
  • 85% daripada portfolio ekuiti ini diuruskan sendiri secara in-house oleh pasukan penganalisis KWAP, sekali gus menjimatkan yuran pengurusan pihak ketiga.

Pada tahun 2023, strategi ini membuahkan hasil yang lumayan. Portfolio antarabangsa KWAP mencatatkan pulangan luar biasa sebanyak 29.1%, menjadi penyelamat kepada pasaran domestik yang agak perlahan pada ketika itu (sekadar untung 4.4%). Angka ini membuktikan mengapa dana seperti KWAP perlu “memburu” pulangan di luar negara demi mengimbangi prestasi portfolio keseluruhan.

Berbeza dengan institusi lain seperti KWSP yang biasanya telus menyenaraikan Top 10 atau pegangan saham terbesar mereka, KWAP tidak menyenaraikan kedudukan ‘Top 10’ saham yang mereka pegang di dalam laporan tahunan.

Kita hanya mengetahui KWAP memiliki pegangan dalam syarikat seperti Farm Fresh Berhad (7.31%) atau Orkim Berhad (9.2%) apabila nama mereka tertera dalam maklumat pemegang saham utama di skrin bursa atau pemfailan rasmi syarikat.

2. Realiti Sebenar: Misteri Di Sektor ‘Private Equity’

Bila menyentuh tentang isu eFishery, pelaburan ini tidak jatuh di bawah pasaran saham biasa, sebaliknya ia berada di bawah portfolio Private Equity (PE) atau ekuiti swasta. Di dalam laporan KWAP, portfolio PE ini merangkumi sekitar 5% (kira-kira RM8.5 bilion) daripada keseluruhan saiz dana.

Satu perkara yang perlu disedari oleh orang awam ialah: Dunia PE memang terkenal dengan sifatnya yang misteri.

KWAP tidak menyenaraikan secara terperinci satu-persatu syarikat swasta yang mereka labur di dalam laporan tahunan. Mengapa?

  1. Perjanjian Kerahsiaan (NDA): Syarikat swasta tidak terikat dengan syarat ketat Bursa Malaysia untuk mendedahkan maklumat pelabur mereka.
  2. Pelaburan Melalui Dana Pihak Ketiga (Fund of Funds): KWAP selalunya tidak melabur secara terus. Mereka menyerahkan dana kepada firma PE global terkemuka. Firma pihak ketiga inilah yang kemudiannya menapis dan menyumbat duit tersebut ke dalam ratusan startup global termasuklah eFishery.

Persoalan yang timbul sekarang: Dalam baki RM8.5 bilion dana PE yang tersorok daripada mata awam itu, berapa banyak lagi pelaburan ‘high risk’ yang telah dibuat?

Dalam laman web KWAP hanya menyatakan secara umum bahawa mereka telah melabur dalam 54 dana ekuiti swasta dalam pelbagai strategi dan geografi, dengan pendedahan terutamanya di pasaran maju (iaitu Amerika Utara, Eropah & Asia Utara), dan secara selektif dalam pasaran membangun Asia.

3. Bolehkah Pengurusan KWAP Didakwa Jika Rugi?

Apabila pelaburan luar negara ini berdepan masalah, reaksi pertama netizen adalah mendesak agar pengurusan KWAP dihadapkan ke mahkamah. Namun dari sudut undang-undang korporat, ia tidak semudah itu.

Di bawah prinsip Business Judgement Rule, selagi pihak pengurusan membuat keputusan berdasarkan proses due diligence yang betul, mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan dan tiada unsur niat jahat (mala fide), kerugian komersial dianggap sebagai adat resam perniagaan. Sektor Venture Capital dan PE sememangnya berkonsepkan high-risk, high-reward. Daripada 10 syarikat yang dilabur, mungkin sebahagian besarnya tersangkut, namun satu syarikat yang meletup akan menutup segala kerugian.

Tindakan undang-undang atau siasatan jenayah oleh badan seperti SPRM hanya akan bermula sekiranya terdapat bukti kukuh berlakunya rasuah (menerima komisen), pecah amanah (CBT), memalsukan dokumen atau konflik kepentingan. Jika ia sekadar “salah percaturan perniagaan”, tindakan maksimum biasanya hanyalah rombakan pengurusan atau penamatan kontrak oleh kerajaan.

4. Permata Tempatan vs Luar Negara

Di sebalik kerancakan KWAP melabur di luar, mereka sebenarnya tidak mengabaikan pasaran tempatan. Sebagai contoh, berdasarkan data pegangan saham terkini, KWAP merupakan antara pelabur institusi utama dalam syarikat tenusu terkenal tanah air, Farm Fresh Berhad.

KWAP memegang kepentingan sebanyak 7.31% (bersamaan 137 juta unit saham) dalam syarikat tersebut, duduk sebaris dengan gergasi pelaburan negara yang lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional dan Lembaga Tabung Haji. Malah dalam sektor perkapalan tenaga, KWAP juga memegang sekitar 9.2% saham dalam Orkim Berhad pasca-IPO.

Namun, ini membawa kita kepada satu persoalan yang lebih besar mengenai ekosistem startup di Malaysia.

Malaysia mempunyai barisan startup bertaraf global yang hebat seperti Carsome, Aerodyne, StoreHub dan PolicyStreet. Malah, pelabur bertaraf dunia seperti Temasek Holdings (Singapura) dan Qatar Investment Authority (QIA) sudah lama menyuntik dana ke dalam syarikat seperti Carsome. Pakar teknologi dron tempatan, Aerodyne, pula sentiasa menjadi rebutan konglomerat Jepun.

Kesimpulan

Isu eFishery ini seharusnya menjadi loceng amaran buat semua pengurus dana institusi di Malaysia. Walaupun diversifikasi portfolio antarabangsa itu penting demi memburu pulangan yang agresif, ketelusan dalam segmen Private Equity juga perlu dipertingkatkan.

Tugas kita sebagai rakyat bukan sekadar mengecam apabila rugi, tetapi menuntut akauntabiliti agar setiap ringgit yang dilaburkan benar-benar memberi pulangan strategik kepada masa depan negara dan bukannya sekadar hangus di bumi asing.

Penafian: Artikel ini ditulis semata-mata untuk tujuan perkongsian maklumat, analisis am dan pandangan peribadi berdasarkan laporan tahunan rasmi KWAP 2023 serta data pasaran terbuka setakat tahun 2026. Ia tidak boleh dianggap sebagai nasihat kewangan, perundangan, atau cadangan rasmi untuk sebarang aktiviti pelaburan.