Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) Masih Kekal 3.00%

Hari ini (7 September 2023) Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa kadar OPR kekal pada paras 3.00%. OPR dikekalkan buat kali ketiga tahun ini.

Ada yang baru pertama kali dengar ke OPR ni? Kalau nak tahu lebih lanjut, jemput baca Apa Itu Kadar Dasar Semalaman Atau Overnight Policy Rate (OPR) Dan 3 Kesan Penurunannya.

Pernyataan Dasar Monetari

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh. Walau bagaimanapun, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi. Perdagangan global juga terjejas disebabkan oleh peralihan perbelanjaan (rotation of spending) daripada barangan kepada perkhidmatan serta permintaan yang terus berkurang dalam sektor elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E). Pertumbuhan di China yang lebih perlahan daripada jangkaan turut menjejaskan ekonomi global. Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun. Meskipun inflasi teras semakin perlahan di ekonomi maju, inflasi tersebut masih melebihi purata jangka panjang. Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh momentum ekonomi negara maju yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.

Pada suku kedua tahun 2023, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah terkesan akibat permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang menurun. Pada masa hadapan, pertumbuhan akan terus didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dalam keadaan persekitaran luaran yang mencabar. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, terus menyokong perbelanjaan isi rumah. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional yang diumumkan baru-baru ini. Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan. Faktor-faktor ini akan terus menyokong momentum pertumbuhan menjelang tahun 2024. Meskipun prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan dan penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan. Namun, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan, permintaan E∓E yang pulih dengan lebih teguh serta pelaksanaan projek sedia ada dan projek baharu yang lebih pantas.

Selaras dengan jangkaan, inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus mereda berikutan keadaan kos yang lebih sederhana. Trend menurun ini dijangka berterusan pada separuh kedua tahun 2023, mencerminkan sebahagiannya asas yang lebih tinggi daripada separuh kedua tahun 2022 dan momentum kenaikan harga yang terus reda. Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga, perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan, serta inflasi teras yang berlarutan.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi. MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

Kadar perubahan OPR dari awal 2023 sehingga September 2023

Paras OPR Tertinggi Ialah 3.50% Pada Bulan April 2006

Pada masa itu, ekonomi sedang berkembang dengan stabil, inflasi IHP adalah pada 4.6% dan OPR yang lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.

Paras OPR Terendah Ialah 1.75% (Julai 2020 – Mei 2022)

Paras OPR terendah ialah 1.75% pada bulan Julai 2020 hingga Mei 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik COVID-19. Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Hal ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis.

Apakah Perkembangan Ekonomi Terkini?

Ekonomi Malaysia terus berkembang

  • Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan akan menyokong perbelanjaan isi rumah
  • Ketibaan dan perbelanjaan peloncong terus meningkat, lantas menyokong perniagaan tempatan
  • Projek berskala besar akan terus berjalan dengan lancar
  • Namun, eksport akan menjadi lebih rendah disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih lemah
  • Seperti yang dijangka, inflasi berkurang berikutan keadaan kos yang telah reda

BNM terus memantau keadaan ekonmi Malaysia untuk memastikan OPR terus menyokong pertumbuhan dan pada masa yang sama terus mengawal inflasi.

Sumber: Bank Negara Malaysia

Previous ArticleNext Article

56 Peratus Isi Rumah PPR Cuma Ada Simpanan Hingga 3 Bulan, 17 Peratus Langsung Tiada

KUALA LUMPUR: Lebih separuh isi rumah yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di Lembah Klang hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka antara satu hingga tiga bulan sekiranya berdepan kejutan kewangan.

Menurut laporan ‘From Roof to Resilience: A Social Assessment of Malaysia’s Public Housing’ oleh Think City, 56 peratus isi rumah mempunyai simpanan bagi tempoh berkenaan, manakala 17 peratus lagi langsung tidak mempunyai simpanan.

“Dapatan ini menggambarkan sebuah komuniti yang berada dalam keadaan ekonomi tidak kukuh, di mana kejadian seperti masalah kesihatan, kerosakan kenderaan atau kehilangan sumber pendapatan boleh memberi kesan negatif yang serius kepada isi rumah.

“Bagi kebanyakan keluarga, sumber utama dana kecemasan adalah melalui simpanan peribadi atau keluarga, selain terpaksa mendapatkan bantuan daripada pajak gadai.

“Keadaan ini menunjukkan pilihan kewangan yang terhad serta mengukuhkan lagi kedudukan mereka yang serba rapuh dari segi ekonomi,” katanya.

Think City ditubuhkan pada 2009 oleh Khazanah Nasional Bhd, sayap pelaburan kerajaan Malaysia.

Kajian berkenaan membabitkan 2,884 isi rumah di 10 kawasan perumahan awam dan PPR di Lembah Klang sepanjang 2023 menerusi Program Kita-untuk-Kita (K2K) yang dibiayai Kementerian Kewangan.

Antara kawasan yang terlibat ialah PA Seri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PA Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru Hicom dan PPR Lembah Subang 1.

Menurut Think City, hampir 40 peratus keluarga di kawasan kajian bergantung kepada seorang pencari nafkah sahaja, manakala kira-kira sembilan peratus isi rumah dilaporkan tidak mempunyai pencari nafkah.

Laporan itu turut mendapati tanggungjawab menjaga anak dan warga emas menjadi antara faktor yang mengehadkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan, sekali gus menyekat pertumbuhan pendapatan isi rumah.

Think City berkata, gabungan pendapatan yang rendah dan tidak stabil menyebabkan ramai penghuni perumahan awam sukar membina daya tahan kewangan walaupun terhadap kejutan ekonomi yang kecil.

Menurut laporan itu, kos sara hidup di sesetengah kawasan turut meningkat akibat faktor setempat seperti kerosakan lif yang kerap, isu keselamatan dan stigma terhadap kawasan perumahan berkenaan yang secara tidak langsung menjejaskan akses kepada peluang ekonomi.

Think City berkata, keadaan itu berisiko menjadikan perumahan awam sebagai perangkap kemiskinan sekiranya peluang mobiliti sosial dan ekonomi terus terbatas, sekali gus menyebabkan kelompok berpendapatan rendah kekal tertumpu di kawasan yang sama untuk tempoh yang panjang.

Kajian itu turut mendedahkan hampir satu daripada setiap 10 isi rumah (9 peratus) melaporkan bahawa mereka tidak mempunyai pencari nafkah.

“Dapatan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan kewujudan kelompok kemiskinan yang ketara dalam komuniti berkenaan.

Kajian turut mendapati bahawa daripada isi rumah yang tidak mempunyai pencari nafkah, sebanyak sembilan peratus mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).

“Sehubungan itu, usaha menyasarkan golongan ini serta memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan sosial yang sewajarnya perlu diberikan perhatian sebagai satu keutamaan dasar yang penting,” katanya.

— Berita Harian