Khazanah, MARA Meterai LOI Rancang Bina Dua Hangar Pesawat

SHAH ALAM, 13 Sept (Bernama) — Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikatnya, Impeccable Vintage Properties (IVP) memeterai Surat Niat (LOI) dengan Mara Corporation Sdn Bhd untuk membina dua hangar pesawat seluas 2.8 hektar.

Ketua Pegawai Eksekutif IVP, M Fuad Sharuji berkata kerjasama itu dijangka merancakkan lagi industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, dekat sini.

“Jumlah keluasan tanah IVP adalah 40 hektar namun, ada kira-kira 1.6 hektar belum diteroka dan bersempadan dengan tanah UniKL (dimiliki sepenuhnya oleh Mara Corporation Sdn Bhd).

“UniKL pula mempunyai lebih kurang 1.2 hektar dan jika digabungkan akan menjadi 2.8 hektar yang boleh dijadikan hangar,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian LOI itu di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 pada Jumaat.

Pada majlis sama, IVP turut memeterai LOI bersama Malaysia Airlines Group (MAG) bagi pengoperasian hangar empat yang berkeluasan 220,000 kaki persegi sebagai pusat MRO di LTSAAS.

“Kerjasama ini memberi peluang kepada MAG untuk mewujudkan hangar penyelenggaraan di Subang (LTSAAS) selain, dua hangar di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya.

Pemeteraian kedua-dua LOI itu turut dihadiri oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris.

SAS 2023 selama tiga hari sehingga hari ini, menempatkan hampir 50 pesawat statik selain 119 pempamer dari enam negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Perancis, Denmark, Singapura dan Hong Kong yang mengambil bahagian tahun ini.

Pengunjung boleh melayari media sosial SAS 2023 di Facebook, Instagram dan Linkedln (@selangoraviationshow) serta Twitter (@SelAviationShow) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menyasarkan Semula Paras MYR4,680 Apabila Rentak Kenaikan Mengukuh

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO mengalami permintaan yang kukuh pada hari Rabu dengan meningkat MYR42 untuk ditutup pada paras lebih tinggi sebanyak MYR4,578. Selepas membuka sesi dagangan pada harga lebih rendah iaitu MYR4,527, ia susut ke paras terendah intrahari pada MYR4,491 dan meningkat ke paras tertinggi pada MYR4,583. Sesi dagangan ini ditamatkan dengan corak lilin menaik, yang menandakan kembalinya minat belian. RSI yang bergerak ke atas semula menunjukkan bahawa momentum kembali menyebelahi para pedagang yang meramalkan kenaikan harga.

Mengikut pemerhatian kami, keadaan teknikal yang lebih meluas masih positif, dengan garisan SMA 50 dan 200 hari mengekalkan pergerakan ke atas. Sekiranya komoditi ini bergerak ke paras lebih tinggi, ia membuka ruang untuk penembusan paras rintangan melepasi harga MYR4,680. Hal ini patut menyambung trajektori kenaikan untuk menguji paras MYR4,800. Kami tetap berpegang pada bias dagangan positif melainkan harga jatuh bawah paras sokongan MYR4,400.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac, iaitu MYR4,367. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Sebaliknya, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh MYR4,800.