Kerajaan Akan Pastikan Pemilikan EV Tersedia Untuk Semua – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Kerajaan akan memastikan pemilikan kenderaan elektrik (EV) adalah tersedia untuk semua kumpulan berpendapatan menerusi subsidi bersasar dan bantuan kewangan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan akan turut bertindak memperluas usaha serta meningkatkan prasarana berkaitan pengecasan EV di negara ini.

“Dalam mengambil kira masa depan serta Belanjawan 2024, tumpuan kita jelas kepada keterangkuman yang seiring dengan dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI,” katanya pada majlis pelancaran Pusat Tesla di Cyberjaya, hari ini.

Tengku Zafrul juga menekankan bahawa pelaksanaan dasar dan inisiatif itu memberi impak positif ke atas industri automotif tempatan, sekali gus memaparkan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem EV yang holistik di Malaysia.

Bilangan kenderaan EV berdaftar telah meningkat kepada lebih 3,400 unit pada 2022 dan melebihi 7,500 unit setakat September 2023 berbanding purata 300 unit pada tahun-tahun sebelum ini.

“Malah, pelaburan dalam industri EV kita juga mencecah paras memberangsangkan sebanyak RM26.2 bilion bagi tempoh 2018 sehingga Mac lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga meningatkan bahawa dasar EV perlu seiringan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu 2030 (NETR 2030) yang dilancarkan baru-baru ini.

“Ini penting kerana tiada gunanya mempunyai ribuan unit EV di atas jalan sekiranya Malaysia tidak bertindak menghijaukan grid tenaga sewajarnya dengan membangunkan lebih banyak sumber tenaga boleh baharu (TBB),” katanya.

Atas alasan itu, beliau berkata, NETR menyasarkan untuk memacu pelaburan dalam infrastruktur grid menerusi inisiatif bagi pembangunan TBB.

Mengulas kehadiran Tesla di Malaysia, Tengku Zafrul menyifatkan perkembangan tersebut sebagai pendorong yang akan meningkatkan ekosistem EV selain memacu potensi negara sebagai hab pengeluaran EV serantau yang dapat menarik lebih banyak pelaburan selanjutnya dalam sektor tersebut.

Menurutnya, menerusi kehadiran syarikat automotif terkemuka global itu juga, Malaysia bersedia mempercepat peralihan kepada EV dan seterusnya menyaksikan lonjakan kemajuan teknologi, penyelidikan dan pembangunan dalam sektor EV.

“Kita berharap dapat melihat lebih banyak bakat atau pekerja tempatan dapat dipupuk, peningkatan perniagaan tempatan dalam rantaian bekalan EV serta pertambahan inovasi yang akan meletakkan Malaysia di peta dunia dari segi pengangkutan lestari,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PNB Institusi Pelaburan Keempat Terbaik Global Dalam Skor GSR

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatat pencapaian baharu apabila menduduki tempat keempat terbaik di peringkat global dalam Papan Skor Governance, Sustainability and Resilience (GSR) 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF.

PNB turut mengekalkan kedudukan sebagai institusi pelaburan milik negara dengan penarafan tertinggi di Malaysia dalam penilaian yang membabitkan lebih 200 institusi pelaburan milik kerajaan di seluruh dunia.

Dalam penarafan itu, PNB memperoleh markah keseluruhan 88 peratus, merangkumi 90 peratus bagi tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus bagi aspek daya tahan.

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 yang direkodkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi memperkukuh tadbir urus serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Menurut PNB, skor penuh bagi komponen kelestarian diberikan berdasarkan kekuatan rangka kerja tadbir urus, ketelusan pendedahan maklumat, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian dalam aktiviti pelaburan.

PNB juga memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.

Selain itu, antara faktor yang menyokong pencapaian itu ialah kejayaan memenuhi sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025 serta usaha memperkukuh aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata peningkatan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat global dalam tempoh setahun mencerminkan usaha kolektif organisasi memperkukuh tadbir urus dan daya tahan institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.

“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.

“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan kelestarian organisasi, kepengurusan bertanggungjawab dan pembangunan negara,” katanya.

— Berita Harian