MITI Optimis Pembuat Kenderaan Tempatan Mampu Hasilkan EV Nasional Pertama Menjelang 2025

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) — Kerajaan optimis syarikat pembuat kenderaan tempatan mampu mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) nasional pertama menjelang 2025, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata dari segi teknologi, pembuat kenderaan tempatan telah memulakan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk pelaburan dalam pengeluaran produk EV pertama negara.

“Malah, di MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) mereka ada berkongsi perkembangan terkini mengenai perancangan mereka. Pasukan kita dari MITI juga terlibat dalam memahami kemajuan ini.

“Jadi setakat ini, nampaknya boleh dicapai, kalau dengar daripada taklimat syarikat nasional, kita akan dapat capai matlamat yang kita sasar, pada 2025,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kenderaan smart #1 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata Proton Holdings Bhd turut menunjukkan komitmen dalam pelaburan stesen pengecasan EV. 

Justeru, Malaysia diyakini dapat menyediakan 10,000 unit pengecas EV di seluruh negara seperti yang disasarkan menjelang 2025, katanya.

Ketika ditanya mengenai EV harga mampu milik, Tengku Zafrul berkata kerajaan sememangnya menyarankan lebih banyak syarikat pengeluar EV menjalankan pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia supaya boleh menawarkan EV pada harga yang berpatutan.

“Kerajaan memang memberi banyak insentif untuk EV tetapi, seperti disebut tadi insentif ini mesti dapat dinikmati semua rakyat Malaysia, bukan sahaja mereka yang mampu beli. Kita mahu mendemokrasikan penggunaan EV, kita hendak memastikan lebih ramai rakyat mampu beli EV.

“Mengenai cukai jalan EV, kita telah berbincang dalam Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC). Kini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke (Siew Fook) sedang memuktamadkannya dan saya percaya beliau akan membuat pengumuman dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata kemasukan pembuat kereta berkelas dunia seperti Smart ke dalam pasaran Malaysia menunjukkan kerelevanan negara dengan landskap automotif serantau, khususnya dalam segmen EV.

Beliau berkata pengalaman global dan akses Smart yang luas kepada teknologi terkemuka akan memberi kesan limpahan kepada industri tempatan dalam menjana idea baharu dan memacu R&D berteknologi tinggi.

“Lebih penting lagi, potensi untuk mewujudkan pekerjaan akan menjadi sangat besar apabila kemahiran baharu diperlukan untuk memenuhi permintaan sektor yang sedang pesat membangun ini.

“Ini bukan sahaja akan menarik bakat malah juga menggalakkan keusahawanan dalam ruang EV,” katanya.

Beliau berkata kerjasama baharu itu juga akan menyokong Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak, dalam visinya untuk menjadi hab automotif berteknologi tinggi dan lokasi utama pembangunan kereta masa depan oleh kumpulan Proton.

Proton New Technology Sdn Bhd (Pro-Net) milik penuh Proton Holdings adalah pengedar eksklusif bagi smart#1 di Malaysia dan Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata syarikat komited untuk membentuk semula landskap mobiliti sepenuhnya elektrik premium di negara ini.

“Dedikasi kami terletak pada usaha membentuk semula keyakinan pengguna melalui perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang, merangkumi komponen dan alat ganti yang mudah didapati, peta pengecasan awam bersepadu dan ekosistem digital yang lancar.

“Kami amat yakin bahawa kunci kepada kejayaan ini adalah dengan meletakkan keperluan dan keinginan pelanggan sebagai keutamaan dalam setiap produk dan perkhidmatan yang kami tawarkan,” katanya.

Beliau berkata Pro-Net menyasar untuk mencapai sasaran jualan 800 hingga 1,000 unit smart #1 tahun depan, selepas menerima sejumlah 500 tempahan sebelum mengumumkan harga rasminya.

smart #1 didatangkan dengan tiga varian iaitu, Pro, Premium dan Brabus masing-masing berharga RM189,000, RM219,000 dan RM249,000.

Zhang berkata sebanyak 80 peratus tempahan diterima daripada pesanan digital iaitu melalui aplikasi Hello smart sementara itu, 60 peratus daripada keseluruhan tempahan adalah untuk model smart#1 Brabus, katanya.

Bagi pasaran serantau terutama Thailand, Pro-Net menyasar untuk mengeksport ke negara itu pada pertengahan tahun hadapan, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Organisasi Malaysia Terlepas Pandang Risiko AI Demi Mengejar Permintaan

KUALA LUMPUR, 23 April 2026 – Peneraju global keselamatan AI, TrendAI telah menerbitkan kajian baharu yang mendedahkan bahawa organisasi di seluruh dunia terus mempercepatkan pelaksanaan AI walaupun menyedari risiko keselamatan dan pematuhan yang terlibat.

Di Malaysia, kajian mendapati 75% pembuat keputusan IT dan 70% pemimpin perniagaan berasa tertekan untuk meluluskan penggunaan AI walaupun terdapat kebimbangan keselamatan, dengan satu daripada tujuh responden menyifatkan kebimbangan tersebut sebagai “sangat serius” tetapi tetap diketepikan demi mengejar pesaing dan memenuhi permintaan dalaman.

Penggunaan AI Mengatasi Kawalan

Dari segi kematangan tadbir urus, hanya 29% pembuat keputusan perniagaan di Malaysia berasa sangat atau amat yakin dalam memahami rangka kerja undang-undang berkaitan AI, berbanding 63% dalam kalangan pembuat keputusan IT.

Kira-kira separuh (52%) pembuat keputusan IT telah mempunyai dasar AI yang komprehensif, manakala 39% masih dalam proses merangka. Hampir separuh (51%) pemimpin IT menyatakan kekurangan kepakaran keselamatan atau data sebagai halangan utama kepada penggunaan AI yang selamat, diikuti kekurangan peraturan dan piawaian pematuhan (49%).

Pengarah Urusan Malaysia, TrendAI, Goh Chee Hoh berkata, “Organisasi di Malaysia melaksanakan AI lebih pantas daripada keupayaan mereka mengurus risiko berkaitan, sekali gus mewujudkan jurang yang semakin melebar antara aspirasi dan pengawasan. Jurang ini turut dipengaruhi oleh perbezaan tahap kematangan tadbir urus dalam kalangan pemimpin perniagaan. Untuk merapatkan jurang ini, kepimpinan perlu bergerak melangkaui pendekatan keselamatan reaktif. Ia bermula dengan keterlihatan menyeluruh mengetahui dengan tepat bagaimana AI berinteraksi dengan data serta mewujudkan kerangka berpusat yang menggabungkan akauntabiliti dan pengawasan risiko dalam seni bina sistem.”

Beliau turut menyatakan bahawa piawaian MY-AI adalah langkah positif dalam menangani risiko seperti deepfake dan bias algoritma. Namun, ketika Malaysia mempercepatkan usaha menjadi negara AI menjelang 2030, organisasi perlu memberi tumpuan kepada tadbir urus yang kukuh dan daya tahan defensif bagi memastikan penggunaan AI yang pesat dapat diterjemahkan kepada masa depan digital yang mampan.

Ketua Platform & Perniagaan TrendAI, Rachel Jin berkata, “Organisasi bukan tidak sedar akan risiko, tetapi kekurangan keupayaan untuk menguruskannya. Apabila pelaksanaan didorong tekanan persaingan dan bukannya kematangan tadbir urus, AI akan dimasukkan ke dalam sistem kritikal tanpa kawalan yang mencukupi. Kajian ini mengukuhkan fokus kami untuk membantu organisasi mencapai hasil perniagaan kukuh dengan AI sambil mengurus risiko dengan baik.”

Risiko Pelaksanaan AI Dipacu Tekanan Semakin Meningkat

Risiko ini diperburuk oleh ketidakkonsistenan tadbir urus dan ketidakjelasan tanggungjawab terhadap risiko AI, yang kini semakin meluas. Dalam banyak kes, pasukan keselamatan terpaksa bertindak secara reaktif terhadap keputusan pelaksanaan AI dari pihak atasan, yang sering membawa kepada penggunaan alat AI tidak rasmi atau “shadow AI”.

Kajian ancaman terkini TrendAI menunjukkan penjenayah siber sudah mula menggunakan AI untuk mengautomasikan proses pengintipan, mempercepat kempen phishing dan menurunkan halangan kemasukan kepada jenayah siber, sekali gus meningkatkan kelajuan dan skala serangan.

Keyakinan terhadap AI Autonomi Masih Rendah

Keyakinan terhadap sistem AI yang lebih maju dan autonomi masih berada pada tahap perkembangan. Kurang daripada separuh (44%) pembuat keputusan perniagaan di Malaysia percaya AI berasaskan agen (agentic AI) mampu meningkatkan pertahanan siber secara signifikan dalam jangka masa terdekat, dengan kebimbangan berterusan terhadap akses data, penyalahgunaan dan kekurangan pengawasan.

Data menunjukkan kebimbangan utama organisasi adalah:

  • 57% melihat akses AI kepada data sensitif sebagai risiko terbesar
  • 45% bimbang arahan berniat jahat boleh menjejaskan keselamatan
  • 37% risau penyalahgunaan status AI yang dipercayai dan risiko pelaksanaan kod autonomi

Selain itu, 36% mengakui mereka kekurangan keupayaan pemantauan dan audit terhadap sistem ini, menimbulkan persoalan serius tentang kawalan selepas AI digunakan.

Hampir separuh (48%) organisasi menyokong mekanisme “kill switch” AI untuk menutup sistem sekiranya berlaku kegagalan atau penyalahgunaan, manakala lebih separuh masih belum pasti. Ini menunjukkan organisasi sedang bergerak ke arah AI autonomi tanpa kesepakatan jelas tentang cara mengekalkan kawalan apabila diperlukan.

Rachel Jin menambah, “AI berasaskan agen membawa organisasi ke dalam kategori risiko baharu. Kajian kami menunjukkan kebimbangan sudah jelas daripada pendedahan data sensitif hingga kehilangan pengawasan. Tanpa keterlihatan dan kawalan, organisasi sebenarnya melaksanakan sistem yang mereka sendiri belum faham sepenuhnya dan risiko ini hanya akan meningkat jika tiada tindakan diambil.”

Untuk laporan global penuh: Securing the AI-Powered Enterprise – Governance Gaps, Visibility Challenges and Rising Risk

*TrendAI melantik SAPIO Research untuk meninjau 3,700 pembuat keputusan IT dan perniagaan di 23 negara seluruh dunia.