Hayatbun Si Tukang Kulit, Dari Hobi Ke Bisnes

Siapa sangka, semuanya bermula sebagai hobi, kemudian bertukar menjadi minat sehinggalah berjaya dikembangkan sebagai bisnes.

Hayatbun asalnya adalah seorang jurugambar profesional. Kini beliau giat mengembangkan perniagaan barangan kulit yang bermula atas minat terhadap barangan kulit. Kebolehan dan kehalusan kerja tangannya yang setaraf dengan tukang kulit luar negara telah mendapat perhatian jenama antarabangsa seperti Levi’s dan syarikat korporat seperti Bank Rakyat.

Kesungguhan anak muda ini wajar dijadikan contoh.

Antara koleksi tempahan khas barangan kulit (set tali pinggang dengan kotak hadiah) (Sumber: Koleksi Peribadi HayatBun)

Kehidupan Awal, Keluarga, Pendidikan Dan Permulaan Awal Kerjaya

Image
Hayatbun semasa sesi fotografi, (Sumber: X Hayatbun)

Nama sebenar beliau adalah Ahmad Amirul Hayat bin Mohd Hashim. Beliau berasal dari Terengganu dan merupakan anak keenam dari lapan orang adik beradik. Pemuda berusia 31 tahun ini telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. 

Hayatbun mendapat pendidikan menengahnya di MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang senibina di Universiti Teknologi Mara. Selepas tamat penggajian, beliau telah ditawarkan jawatan arkitek di salah sebuah syarikat swasta.

Penglibatan Awal Dalam Bidang Fotografi Dan Perniagaan Barangan Kulit

Image
Gambar: Tali kemera yang buat oleh Hayatbun, (Sumber: X Hayatbun)

Hayatbun meminati bidang fotografi sejak beliau berada di universiti lagi. Semasa beliau bekerja sebagai arkitek, beliau telah membuat kerja-kerja sambilan seperti jurugambar perkahwinan.

Kerana minat yang begitu mendalam dalam bidang fotografi, beliau memutuskan untuk berhenti bekerja dan membuka sebuah studio fotografi sendiri. Studio beliau diberi nama Photo Art Studio yang terletak di Shah Alam.

Selain bidang fotografi, beliau juga bercadang untuk membuat perniagaan lain sebagai sumber pendapatan tambahan. Di sinilah tercetusnya idea untuk membuat barangan kulit apabila berbual dengan rakan-rakan untuk membuat kerja sambilan. Memandangkan beliau juga merupakan peminat barangan kulit yang cantik dan unik, selain daripada hobi ia juga boleh menjana pendapatan.

Barangan kulit pertama yang dibuat sendiri oleh beliau adalah tali kamera. Tali kamera beliau telah putus, dan beliau mengambil keputusan untuk membuat tali kamera sendiri dengan mempunyai ciri-ciri yang diingini serta memudahkan kerja beliau sebagai jurugambar. Beliau telah memuat naik gambar tali kamera yang dibuat sendiri di media sosial. Bermula dari situlah beliau mendapat tempahan barangan kulit.

Perjalanan Awal

Sebagai seorang yang tidak mempunyai latar belakang dan pengalaman dalam bidang perniagaan barangan kulit, perjalanan beliau bermula dengan langkah yang sukar. Ahli keluarga beliau tiada yang membuat perniagaan sendiri. Ibu bapa beliau juga adalah seorang guru. Walaupun begitu, beliau mendapat sokongan dan dorongan yang kuat daripada isteri, ibu bapa dan ahli keluarga.

Hayatbun tidak mempunyai banyak sumber untuk dirujuk untuk mendapatkan bekalan stok kulit haiwan, peralatan menjahit dan lain-lain lagi. Pada masa itu juga penggunaan perniagaan atas talian seperti Shopee, Tiktok Shop tidak banyak. Beliau memulakan perniagaan barangan kulit dengan mengambil lebihan kulit haiwan atau di kedai menukar sarung kerusi kereta.

Dari Bengkel Ke Studio

Image
Gambar: Bilik kecil yang dikongsi lima orang sahabat (Sumber: X HayatBun)

Hayatbun memulakan perniagaan barangan kulit beliau hanya dengan sebuah meja di bilik kecil yang dikongsi oleh lima sahabat. Setelah beberapa bulan, beliau mengambil keputusan untuk menyewa ruang kerja asing yang lebih besar di Shah Alam.

Selalunya, selepas habis sesi fotografi bersama pelanggan beliau akan menyambung membuat kerja-kerja tempahan barangan kulit dibengkel beliau sehingga lewat malam. Kebanyakan hasil barangan kulit beliau adalah hasil jahitan tangan.

Gambar: Bengkel sendiri (Sumber: Koleksi Peribadi HayatBun)

Pencapaian Terbesar

Pencapaian terbesar beliau dalam bidang fotografi adalah apabila beliau dibawa ke Tanah Suci, Mekah untuk mengambil gambar-gambar orang mengerjakan ibadah umrah.

Manakala dalam bidang pembuatan barangan kulit, beliau telah diberi kepercayaan untuk membuat rantai kunci dengan syarikat pakaian terkemuka Levi’s. Selain itu beliau juga ada menerima tempahan dari Bank Rakyat Malaysia. Ada banyak lagi syarikat-syarikat besar dan orang perseorangan yang membuat tempahan barangan kulit, tetapi tidak sempat dikongsi oleh beliau di media sosial HYTLeather kerana kekangan masa.

Cabaran Dalam Bidang Fotografi dan Perniagaan Barangan Kulit

Hayatbun adalah seorang yang mementingkan kesempurnaan. Jadi beliau akan berusaha sedaya upaya untuk menghasilkan kerja-kerja yang kemas dan cantik supaya pelanggan berpuas hati.

Cabaran utama dalam bidang fotografi dan perniagaan barangan kulit adalah untuk tekal (consistent). Kadang-kadang apabila tamat sesi fotografi bersama pelanggan, untuk menyambung membuat barangan kulit di waktu malam, amat memenatkan. Namun minat beliau yang begitu mendalam di dalam kedua-dua bidang tersebut menyebabkan segala penat lelah tidak terasa.

Rancangan Masa Hadapan Untuk Servis Fotografi dan Barangan Kulit

Beliau bercadang untuk membesarkan perniagaan barangan kulit beliau dengan menambah mesin-mesin jahit supaya tempahan dalam skala besar dapat diambil dan disiapkan dengan cepat. Buat masa sekarang kebanyakan tempahan barangan kulit akan dijahit dengan menggunakan tangan kerana beliau hanya mempunyai satu mesin jahit. Beliau juga tidak mempunyai ramai pekerja, kerja-kerja beliau hanya dibantu oleh isteri beliau dan seorang pekerja.

Selain itu juga, beliau juga bercadang untuk membuat bengkel fotografi, kelas perniagaan barangan kulit dan penyediaan ruang acara di masa hadapan.

Kata-Kata Nasihat

Hayatbun berkongsi nasihat untuk sesiapa yang ingin memulakan pernigaan, perkara yang paling utama adalah belajar tentang asas-asas perniagaan seperti kos, permintaan, cara-cara pemasaran dan lain-lain lagi.

Jika anda berminat untuk mendapatkan produk-produk kulit Hayatbun, boleh dapatkannya di Shopee.

Antara produk terlarisnya ialah keychain kulit asli yang dibuat dengan tangan. Sesuai untuk gantung kunci, harga pun RM15 sahaja, boleh beli di sini.

Ada juga tali pinggang kulit lembu asli, sesuai untuk kegunaan sendiri atau dijadikan hadiah buat insan teristimewa. Boleh beli di sini.

Produk buatan tangan Hayatbun memang berkualiti dan sangat berbaloi. Kami pun dah tempah satu!

Support lokal! Buat Hayatbun, semoga maju jaya.

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.