Ikuti Rahsia Kejayaan 4 Usahawan OKU

Walaupun tak normal seperti orang lain, golongan Orang Kelainan Upaya juga ingin menjalani kehidupan seperti kebanyakan orang lain. Mereka ingin menuntut ilmu sehingga ke menara gading, mempunyai pekerjaan dan berniaga demi masa depan yang cerah.

Jom ikuti kisah dan rahsia kejayaan insan-insan istimewa ini, semoga kita bersemangat kental dan berusaha untuk menempa kejayaan.

1. Lee Thiam Wah, 99 Speedmart Sdn Bhd

Kredit Gambar: World Of Buzz

Dilahirkan pada tahun Naga, kepercayaan orang Cina mereka yang lahir pada tahun ini merupakan orang-orang berkuasa yang akan menjalani kehidupan luar biasa. Lee Thiam Wah, jutawan 99 Speedmart yang berkerusi roda tetapi mampu tersenyum melihat rekod kewangan syarikatnya hasil daripada kerja kerasnya selama ini.

Cepat dan mudah merupakan slogan yang memberi seribu makna kepada pembeli setia 99Speedmart. Saban hari mereka semakin mendapat tempat di hati orang ramai kerana 99 Speedmart menawarkan harga runcit yang lebih murah daripada harga pasaran.

Ketika berusia 23 tahun, Lee Thiam Wah memulakan perniagaan kedai runcit dengan wang simpanan sebanyak RM5,000. Beliau telah berjaya membuka 8 pasar mini di sekitar bandar Klang, Selangor pada hujung tahun 1990-an walaupun kegawatan ekonomi sedang melanda negara.

Lee berkerusi roda sejak dari kecil lagi. Sewaktu bayi, Lee lumpuh disebabkan polio dan hilang fungsi kakinya. Bapanya seorang buruh pembinaan dan ibunya seorang penjaja, mereka bekerja keras untuk menyara 11 orang anak.

Mereka cuma mampu menyediakan pendidikan peringkat sekolah rendah kepada Lee. Untuk menghilangkan rasa sunyi, Lee belajar sendiri dengan membaca buku yang dipinjam dari jiran, dan menjual makanan ringan serta snek di tepi jalan.

Kini, beliau memiliki lebih daripada 1,000 cawangan 99 Speedmart di seluruh Malaysia.

2. Syukri Ibrahim, D Strike Solution Sdn Bhd

Kerdil tetapi semangatnya setinggi awan, sehingga berjaya menubuhkan syarikat D Strike Solution Sdn. Bhd.

Pemenang Anugerah OKU Cemerlang Kebangsaan (Keusahawanan) ini menjalankan bisnes perkhidmatan membekal dan memasang permaidani ‘wall-to-wall’ di masjid, pejabat dan bermacam-macam tempat sejak tahun 2010.

Syukri Ibrahim pernah gagal sebanyak 3 kali, perniagaan membekal dan memasang karpet yang dijalankan sekarang merupakan perniagaan keempat yang berjaya sehingga sekarang.

Pengurusan kewangan yang lemah, perbelanjaan melebihi pendapatan, terikut-ikut dengan kononnya ‘luxury lifestyle’ dan cetek ilmu tentang keusahawanan merupakan punca kegagalan perniagaan yang diceburinya sebelum ini.

Bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini juga merupakan seorang penceramah motivasi dan penasihat kewangan.

3. Zhariff Afandi, The Zhariff Initiative (TZI) Sdn Bhd

Kredit Gambar: EPIC

Penerima Anugerah Belia Perdana 2011 ini merupakan pemilik syarikat The Zhariff Initiative (TZI) Sdn Bhd.

Peranan Zhariff Initiative bertujuan memupuk dan membangunkan nilai-nilai sosial yang bertanggungjawab untuk agensi korporat, kerajaan, institusi akademik dan pertubuhan lain.

Pernah beberapa kali gagal dalam mendapatkan pekerjaan di syarikat tempatan, Zhariff yang merupakan lulusan luar negara bertekad untuk membuka syarikat sendiri bagi membuktikan keupayaan dan kebolehan yang dimilikinya walaupun kekurangan daripada segi fizikal.

4. Ruzimi Mohamed, Imi Creative Solution Sdn Bhd

Pemilik syarikat Imi Creative Solution Sdn. Bhd ini merupakan seorang usahawan yang kreatif dan inovatif.

Anak kelahiran Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan ini telah mencipta motosikal roda tiga berkuasa bateri yang dinamakan Imi Creative Car (ICC) bagi kegunaan golongan OKU dan warga emas.

Projek yang menelan kos sebanyak RM25,000 itu dilengkapi aplikasi teknologi hijau dan menggunakan bateri untuk menggerakkannya.

Syarikat Ruzimi Mohamed turut menyediakan perkhidmatan pembangunan laman web, kursus motivasi dan teknologi maklumat. Beliau juga menawarkan perkhidmatan jahitan dan sulaman.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.