Walaupun tak normal seperti orang lain, golongan Orang Kelainan Upaya juga ingin menjalani kehidupan seperti kebanyakan orang lain. Mereka ingin menuntut ilmu sehingga ke menara gading, mempunyai pekerjaan dan berniaga demi masa depan yang cerah.
Jom ikuti kisah dan rahsia kejayaan insan-insan istimewa ini, semoga kita bersemangat kental dan berusaha untuk menempa kejayaan.
Dilahirkan pada tahun Naga, kepercayaan orang Cina mereka yang lahir pada tahun ini merupakan orang-orang berkuasa yang akan menjalani kehidupan luar biasa. Lee Thiam Wah, jutawan 99 Speedmart yang berkerusi roda tetapi mampu tersenyum melihat rekod kewangan syarikatnya hasil daripada kerja kerasnya selama ini.
Cepat dan mudah merupakan slogan yang memberi seribu makna kepada pembeli setia 99Speedmart. Saban hari mereka semakin mendapat tempat di hati orang ramai kerana 99 Speedmart menawarkan harga runcit yang lebih murah daripada harga pasaran.
Ketika berusia 23 tahun, Lee Thiam Wah memulakan perniagaan kedai runcit dengan wang simpanan sebanyak RM5,000. Beliau telah berjaya membuka 8 pasar mini di sekitar bandar Klang, Selangor pada hujung tahun 1990-an walaupun kegawatan ekonomi sedang melanda negara.
Lee berkerusi roda sejak dari kecil lagi. Sewaktu bayi, Lee lumpuh disebabkan polio dan hilang fungsi kakinya. Bapanya seorang buruh pembinaan dan ibunya seorang penjaja, mereka bekerja keras untuk menyara 11 orang anak.
Mereka cuma mampu menyediakan pendidikan peringkat sekolah rendah kepada Lee. Untuk menghilangkan rasa sunyi, Lee belajar sendiri dengan membaca buku yang dipinjam dari jiran, dan menjual makanan ringan serta snek di tepi jalan.
Kini, beliau memiliki lebih daripada 1,000 cawangan 99 Speedmart di seluruh Malaysia.
2. Syukri Ibrahim, D Strike Solution Sdn Bhd
Kerdil tetapi semangatnya setinggi awan, sehingga berjaya menubuhkan syarikat D Strike Solution Sdn. Bhd.
Pemenang Anugerah OKU Cemerlang Kebangsaan (Keusahawanan) ini menjalankan bisnes perkhidmatan membekal dan memasang permaidani ‘wall-to-wall’ di masjid, pejabat dan bermacam-macam tempat sejak tahun 2010.
Syukri Ibrahim pernah gagal sebanyak 3 kali, perniagaan membekal dan memasang karpet yang dijalankan sekarang merupakan perniagaan keempat yang berjaya sehingga sekarang.
Pengurusan kewangan yang lemah, perbelanjaan melebihi pendapatan, terikut-ikut dengan kononnya ‘luxury lifestyle’ dan cetek ilmu tentang keusahawanan merupakan punca kegagalan perniagaan yang diceburinya sebelum ini.
Bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini juga merupakan seorang penceramah motivasi dan penasihat kewangan.
3. Zhariff Afandi, The Zhariff Initiative (TZI) Sdn Bhd
Penerima Anugerah Belia Perdana 2011 ini merupakan pemilik syarikat The Zhariff Initiative (TZI) Sdn Bhd.
Peranan Zhariff Initiative bertujuan memupuk dan membangunkan nilai-nilai sosial yang bertanggungjawab untuk agensi korporat, kerajaan, institusi akademik dan pertubuhan lain.
Pernah beberapa kali gagal dalam mendapatkan pekerjaan di syarikat tempatan, Zhariff yang merupakan lulusan luar negara bertekad untuk membuka syarikat sendiri bagi membuktikan keupayaan dan kebolehan yang dimilikinya walaupun kekurangan daripada segi fizikal.
4. Ruzimi Mohamed, Imi Creative Solution Sdn Bhd
Pemilik syarikat Imi Creative Solution Sdn. Bhd ini merupakan seorang usahawan yang kreatif dan inovatif.
Anak kelahiran Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan ini telah mencipta motosikal roda tiga berkuasa bateri yang dinamakan Imi Creative Car (ICC) bagi kegunaan golongan OKU dan warga emas.
Projek yang menelan kos sebanyak RM25,000 itu dilengkapi aplikasi teknologi hijau dan menggunakan bateri untuk menggerakkannya.
Syarikat Ruzimi Mohamed turut menyediakan perkhidmatan pembangunan laman web, kursus motivasi dan teknologi maklumat. Beliau juga menawarkan perkhidmatan jahitan dan sulaman.
Hampir setiap ketua keluarga mempunyai bajet yang cukup terperinci untuk perlindungan kesihatan samada menerusi insurans atau takaful.
Di Majalah Labur, kami percaya ramai pembaca setia kami rata-rata bersetuju yang sejumlah 5% – 15% dari gaji bulanan adalah amaun yang cukup sihat untuk perlindungan kesihatan.
Akan tetapi, ada satu perkara yang sering tidak mempunyai bajet khusus: pemeriksaan kesihatan berkala.
Kita lebih mudah menyediakan RM200 untuk membaiki sesuatu selepas rosak berbanding memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan masalah itu dapat dikenal pasti lebih awal.
Dalam kewangan peribadi, cara berfikir seperti ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, penangguhan boleh membawa kepada keadaan yang memerlukan lebih banyak masa, rawatan dan perbelanjaan.
Sebab itu preventive healthcare wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga, bukan sekadar perbelanjaan tambahan.
Ada bajet insurans. Bagaimana dengan bajet kesihatan?
Insurans atau takaful penting untuk melindungi kewangan apabila berlaku keadaan yang memerlukan rawatan atau kemasukan ke hospital.
Tetapi perlindungan kewangan tidak semestinya bermaksud kita tidak perlu menyediakan bajet untuk penjagaan kesihatan rutin.
Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko, memberi nasihat pengurusan risiko dan membuat rujukan lanjut jika diperlukan.
Pada asasnya, terdapat perbezaan antara:
“Saya mempunyai perlindungan jika sesuatu berlaku”
dengan
“Saya memperuntukkan wang untuk mengetahui keadaan kesihatan saya secara berkala.”
Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan kesihatan.
Kesilapan ibu bapa : tunggu anak sakit baru bawa berjumpa doktor gigi
Perkara ini lebih mudah berlaku dalam kalangan ibu bapa. Anak tidak mengadu sakit, jadi pemeriksaan ditangguhkan. Gigi susu pula dianggap tidak begitu penting kerana akhirnya akan tanggal.
Apabila sakit mula berlaku, barulah ibu bapa mencari rawatan. Masalahnya, ketiadaan sakit tidak semestinya bermaksud tiada masalah.
Masalah ini yang cuba diketengahkan oleh Dr. A’tikah U’zed (Doktor Gigi di Klinik Pergigian Aesira) yang melihat ada keperluan untuk ibu bapa di Malaysia mengkhususkan wang untuk rawatan gigi anak mereka atau mereka sendiri!
Penegasan ini nampak ada intinya selepas kami melihat bahawa data National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 menunjukkan ;
“Prevalens karies dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas ialah 85.1%, manakala dalam kumpulan umur 15–19 tahun pun prevalensnya masih 51.7%. Dalam kalangan orang dewasa yang mempunyai gigi, 40.7% mempunyai keperluan rawatan restoratif, 28.9% keperluan cabutan dan 4.5% keperluan rawatan endodontik.”
Masalah gusi juga tidak semestinya bermula dengan kesakitan.
NOHSA 2020 mendapati hanya 5.1% populasi bergigi mempunyai periodontium yang sihat, sementara 38.2% mempunyai periodontitis. KKM turut menerangkan bahawa penyakit periodontal boleh tidak disedari kerana pada peringkat awal ia boleh berlaku tanpa sakit.
Ini menjadikan pemeriksaan berkala satu perkara yang relevan bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada cara keluarga merancang perbelanjaan.
Kos rawatan gigi sebenarnya boleh dilihat sebagai kos tahunan
Bil
Rawatan
Anggaran kos
Kekerapan /
Perspektif
1
Konsultasi & pemeriksaan gigi
RM30–RM100
6–12 bulan / mengikut risiko
Kos asas untuk mengetahui keadaan gigi sebelum membuat keputusan rawatan
2
X-ray gigi kecil (periapikal/bitewing)
RM30–RM80
Jika diperlukan doktor
Membantu melihat masalah yang tidak jelas melalui pemeriksaan biasa
3
X-ray panoramic (OPG)
RM80–RM200
Jika diperlukan
Biasanya untuk penilaian keseluruhan rahang, gigi bongsu atau perancangan tertentu
4
Scaling & polishing
RM80–RM250
Mengikut keadaan gigi/gusi
Penjagaan berkala yang boleh dimasukkan dalam bajet pergigian tahunan
5
Rawatan fluorida
RM50–RM120
Berdasarkan risiko, terutama kanak-kanak
Preventive care yang boleh dirancang lebih awal
6
Fissure sealant
±RM50–RM100/gigi
Terutama gigi tertentu kanak-kanak
Perbelanjaan pencegahan yang dibuat berdasarkan penilaian doktor
7
Tampalan gigi
RM80–RM300/gigi
Apabila terdapat karies
Contoh kos rawatan yang mungkin timbul selepas pemeriksaan
8
Cabutan gigi biasa
RM80–RM300/gigi
Jika gigi tidak dapat dikekalkan / perlu dicabut
Kos meningkat berbanding penjagaan rutin apabila masalah memerlukan prosedur
9
Rawatan saluran akar (root canal)
±RM600–RM2,000/gigi
Untuk gigi dengan masalah pulpa tertentu
Contoh bagaimana rawatan boleh menjadi lebih kompleks dan memerlukan bajet lebih besar
10
Pembedahan gigi bongsu
±RM800–RM2,500/gigi
Jika impaksi/kerumitan memerlukan pembedahan
Contoh kos prosedur yang lebih besar dan sukar dirancang sebagai perbelanjaan rutin
“Berapa bajet saya perlu sediakan setiap tahun untuk penjagaan gigi?”
Ini tidak bermaksud seseorang perlu menjalani rawatan setiap tahun.
Sebaliknya, bajet tersebut boleh merangkumi pemeriksaan, penjagaan pencegahan dan rawatan yang diperlukan berdasarkan penilaian doktor gigi.
Kekerapan pemeriksaan pula bukan satu angka yang wajib sama untuk semua orang. Sesetengah individu mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap berdasarkan risiko karies, keadaan gusi, sejarah rawatan dan faktor kesihatan lain.
Matlamatnya ialah tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula merancang.
Contohnya, gigi jarang bukan semata-mata soal kosmetik
Ambil contoh diastema, atau gigi jarang.
Menurut Dr. A’tikah U’zied, diastema ialah ruang antara dua gigi yang paling kerap dilihat pada gigi hadapan atas.
Ia boleh berkait dengan saiz gigi berbanding rahang, faktor struktur semula jadi atau tabiat tertentu. Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah ruang yang jelas antara gigi atau ruang yang semakin melebar.
Tetapi apabila ibu bapa atau individu menyedari perubahan pada kedudukan atau jarak gigi, pemeriksaan memberikan peluang untuk menentukan sama ada ia sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan pemantauan atau rawatan.
Inilah konsep financial planning yang sering terlepas pandang.
Pemeriksaan bukan bermaksud kita sudah bersetuju untuk menjalani rawatan.
Pemeriksaan bermaksud kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu.
Dengan maklumat itu, keluarga boleh membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, bila ia perlu dilakukan dan bagaimana perbelanjaannya boleh dirancang.
Jadi, enam bulan atau setahun sekali?
Jawapannya bergantung kepada individu.
Jadual pemeriksaan gigi sepatutnya mengambil kira keadaan gigi dan gusi, tahap risiko, umur, sejarah rawatan serta penilaian doktor gigi.
Bagi sesetengah orang, pemeriksaan enam bulan sekali mungkin sesuai. Bagi yang lain, doktor mungkin mencadangkan sela masa yang berbeza.
Yang penting ialah jangan menjadikan “tidak sakit” sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada pemeriksaan diperlukan.
Konsep yang sama digunakan dalam kesihatan secara umum. KKM menerangkan bahawa saringan kesihatan bertujuan membantu mengenal pasti faktor risiko dan penyakit lebih awal supaya pengurusan dapat dimulakan.
Bagaimana keluarga boleh masukkan kesihatan dalam financial planning?
Satu pendekatan mudah ialah membahagikan perancangan kepada beberapa lapisan:
Pertama, perlindungan. Insurans atau takaful untuk risiko kesihatan yang besar, mengikut kemampuan dan keperluan keluarga.
Kedua, dana kecemasan. Simpanan tunai untuk perbelanjaan kesihatan atau kecemasan yang tidak dirancang.
Ketiga, preventive healthcare. Bajet tahunan untuk pemeriksaan dan saringan yang bersesuaian dengan umur serta faktor risiko.
Keempat, penjagaan rutin. Termasuk pergigian dan keperluan kesihatan lain yang boleh dijangka.
Dengan cara ini, kesihatan tidak hanya muncul dalam bajet apabila sesuatu sudah berlaku.
Kesihatan juga perlukan bajet sebelum ia menjadi kecemasan
Financial planning yang baik bukan sekadar mempunyai wang apabila berlaku masalah.
Ia juga tentang mengetahui perbelanjaan yang boleh dijangka, menyediakan ruang untuk penjagaan berkala dan membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum keadaan menjadi mendesak.
Pemeriksaan kesihatan tidak menjamin seseorang akan terlepas daripada penyakit atau rawatan mahal. Begitu juga pemeriksaan gigi tidak menjamin seseorang tidak akan memerlukan prosedur kompleks pada masa hadapan.
Namun, pemeriksaan memberikan sesuatu yang penting dalam perancangan kewangan:
maklumat lebih awal.
Dan maklumat lebih awal memberikan keluarga peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang, sama ada perlu merawat sekarang, memantau dahulu atau menyediakan bajet untuk rawatan pada masa akan datang.
Jadi, apabila menyediakan bajet keluarga untuk tahun hadapan, jangan hanya tanya:
“Berapa saya perlu simpan kalau saya jatuh sakit?”
Tanya juga:
“Berapa yang saya sanggup peruntukkan untuk mengetahui keadaan kesihatan saya sebelum ia menjadi kecemasan?”
Kerana dalam pengurusan kewangan kesihatan, bil rawatan bukan satu-satunya kos yang perlu difikirkan.
Masa, ketidakselesaan, kehilangan produktiviti dan keputusan yang dibuat ketika keadaan sudah mendesak juga mempunyai nilai.
Preventive healthcare bukan tentang berbelanja sebanyak mungkin untuk kesihatan.
Ia tentang merancang supaya kesihatan tidak menjadi kejutan kewangan kepada keluarga.
Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat doktor atau doktor gigi. Keperluan pemeriksaan, saringan dan rawatan berbeza mengikut keadaan individu.