Bilangan Bayi Di Negara Maju Semakin Berkurang, Bakal Cetus Krisis Ekonomi

Populasi penduduk sesebuah negara amat penting bagi ekonomi negara tersebut. Jika dilihat daripada sejarah jumlah penduduk dunia pada tahun 1800, manusia pada zaman tersebut ada seramai 910 juta orang. Hari ini pada tahun 2021, bilangan manusia telah meningkat menjadi 7.8 bilion orang.

Ini menunjukkan dari sedekad ke sedekad, bilangan manusia semakin bertambah dan China merupakan negara yang paling ramai penduduk di dunia pada ketika ini.

Polisi Pengurangan Bilangan Kelahiran Bayi

This image has an empty alt attribute; its file name is j1OBI7I1urnfyc3fhdgqVbGx65wBKCvQaTszv0EgdrIGHbyv8yaGk50VRwrcjmvEZVBVW4e2KQH8aBNZ6V1lCF6vkiQMbi5Q4ZMBZFjaRO5js8nOsDnH-ozk-_qbL2i2gQ6PqQ=s0
Kredit Gambar: Hight3ch

Disebabkan perkara tersebut, China telah membuat satu polisi iaitu setiap keluarga perlu mempunyai sebanyak satu orang anak sahaja. Polisi ini bagi mengekang pertambahan rakyat China yang telah diperkenalkan pada akhir tahun 1970-an.

Polisi itu diperkenalkan kerana pada ketika itu, China merupakan sebuah negara miskin yang hanya bergantung kepada pertanian sebagai sumber ekonomi negara.

Parti pemerintah China telah mengeluarkan arahan supaya setiap keluarga hanya perlu satu orang anak atau berdepan dengan tindakan undang-undang tegas daripada parti komunis China. Akhirnya polisi ini telah berjaya mengurangkan jumlah penduduk di China.

Selain berjaya mengurangkan jumlah bilangan penduduk di China, ia juga menjadikan bilangan penduduk negara tersebut tidak seimbang daripada segi jantina apabila kaum lelaki melebihi kaum wanita dalam masyarakat mereka.

Ini berbeza dengan negara yang lain di mana bilangan wanita lebih ramai. Perkara ini disebabkan oleh masyarakat di China percaya bahawa kaum lelaki lebih membawa tuah berbanding dengan kaum wanita dalam kehidupan berkeluarga.

Kini, polisi tersebut telah dihapuskan dan China telah membenarkan rakyat mereka untuk memiliki lebih daripada satu orang anak. Malah mereka sangat menggalakkan rakyat mereka untuk mempunyai lebih ramai anak.

Malangnya sambutan kempen untuk meningkatkan kadar kelahiran tidak mendapat sambutan di kalangan rakyat negara China.

Bukan setakat China sahaja, kebanyakan negara maju mula mengalami masalah yang hampir sama dengan China iaitu kadar kelahiran yang samakin berkurang. Di antara negara yang mengalami masalah yang sama adalah Jepun, Korea Selatan, Jerman, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Jika difikir secara logik, sekiranya bilangan penduduk semakin kurang, persaingan dalam kalangan rakyat juga akan berkurang tetapi hakikatnya dalam dunia ekonomi tidak begitu. Bagi negara industri, kekurangan kadar kelahiran dalam tempoh yang lama akan menyebabkan ekonomi negara mereka menguncup.

Jepun kini berdepan dengan masalah yang sama. Sama seperti China, Jepun menghadkan bilangan anak sehingga rakyat mereka tidak mahu melahirkan anak dan sebahagian besarnya tidak mahu berkeluarga. Jepun kini mempunyai kadar kematian yang rendah bagi golongan warga emas dan kadar kelahiran yang sedikit.

Kesan Buruk Kekurangan Rakyat Terhadap Negara Industri

Kredit Gambar: Time

Kesan yang buruk akan berlaku kepada negara-negara industri yang besar terhadap ekonomi mereka jika perkara ini tidak dibendung. Kadar kepenggunaan produk yang dihasilkan akan berkurangan jika bilangan rakyat tidak bertambah.

Selain itu, terdapat banyak industri yang memerlukan tenaga manusia untuk beroperasi walaupun robot bakal menggantikan manusia pada masa hadapan.

Inisiatif Untuk Meningkatkan Kadar Kelahiran Bayi

Disebabkan perkara tersebut, sesetengah kerajaan di negara Eropah telah menawarkan pelbagai inisiatif menarik bagi golongan muda untuk meningkatkan kadar kelahiran bayi. Di antara inisiatif yang dijalankan adalah dengan memberi kelonggaran cukai yang luar biasa terhadap setiap kelahiran baru yang dilahirkan. Segala kos akan ditanggung oleh kerajaan bagi menarik minat golongan muda melahirkan anak.

Walaupun dengan inisiatif yang diberi oleh pihak kerajaan, kebanyakan penduduk negara maju dilihat tidak berminat untuk berkeluarga apatah lagi untuk melahirkan anak. Hanya Jerman sahaja yang menampakkan kadar kelahiran yang meningkat.

Jika perkara ini tidak diatasi dengan segera, kemungkinan krisis ekonomi yang teruk bakal berlaku kepada negara maju akibat kekurangan sumber tenaga kerja muda pada masa hadapan.

Sumber Rujukan: ISA World

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.