Tous les Jours Akan Buka Lima Cawangan Di Malaysia Tahun Ini


KUALA LUMPUR, 8 Jan — Tous les Jours, jenama utama syarikat makanan terkemuka di Korea Selatan, CJ Foodville, merancang untuk membuka lima cawangan di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Tous les Jours di Malaysia akan diuruskan oleh SEH Food, iaitu sebahagian daripada Stream Empire Holdings. Rangkaian kafe kedai roti artisanal itu akan menumpukan kepada penubuhan cawangan baharu tahun ini terutamanya di Kuala Lumpur.

Pengurus Besar SEH Food (sebahagian daripada Stream Empire Holdings), Ho Soo Ling berkata cawangan pertama akan dibuka di Sunway Pyramid Mall menjelang suku kedua tahun ini dan cawangan kedua adalah di Sunway Velocity Mall.

“Cawangan ketiga hampir dimuktamadkan dan kami sedang mencari lokasi untuk yang keempat dan kelima, ia masih dalam rundingan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Induk Francais di sini hari ini.

Bagi prospek segmen makanan dan minuman di Malaysia, Ho menjangkakan segmen itu akan berkembang kerana rakyat Malaysia sanggup membelanjakan wang mereka untuk makanan. 

Beliau berkata syarikat itu telah menjalankan banyak tinjauan dan percaya segmen itu terutamanya kafe bakeri artisanal adalah trend dalam kalangan golongan muda.

Sementara itu, Ketua Wilayah Asia Tenggara CJ Foodville Jeong Soo Won berkata selepas mengukuhkan kehadirannya di ASEAN seperti Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Singapura, syarikat itu melihat Malaysia sebagai anggota negara ASEAN seterusnya untuk pengembangan perniagaan.

“Selain itu, pelanggan Malaysia menikmati gaya hidup yang hampir serupa dengan pelanggan Korea dan saya rasa ia sesuai kerana ia sihat dan sangat bergaya,” katanya.

Jeong berkata ramai rakyat Malaysia dipengaruhi oleh budaya Korea kerana terdapat ramai peminat “hallyu” (gelombang Korea).

“Itulah sebabnya saya memutuskan untuk membawa jenama ini ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata CJ Foodville menyasarkan untuk mendapatkan sijil halal sebelum pembukaan cawangan Tous les Jours yang pertama.

“Di Indonesia, kami telah menerima pensijilan halal selama lima tahun.

“Justeru, menerusi pembukaan Tous les Jours di Malaysia, kami merancang untuk memohonnya (pensijilan halal) sebelum pembukaan kami,” katanya.

Tous les Jours kini mengendalikan lebih 1,300 kedai di Korea dan 550 cawangan global di Amerika Syarikat, Kanada, China, Mongolia dan beberapa negara anggota ASEAN.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/